2 Ramadhan 1430H(Ahad)
Hari ni hari ahad. Semalam ada kelas, ganti untuk cuti pada hari jumaat nanti. Jadi, pagi ahad ni, cadangnya hendak masakkan sahur untuk ahli rumah, malangnya terlajak pula hingga matahari telah terbit.
Bangun, dan berfikir sambil menyusun aktiviti yang hendak dilakukan hari ini. Mandi dan terus menyiapkan diri untuk memasak iftar petang ni. Puding triffle, resepi yang menjadi pilihan. Target, pukul 11pg semuanya telah selesai. Malangnya, sinki dapur yang tersumbat agak mengganggu konsentrasi memasak. Alhamdulillah segalanya siap lebih kurang pukul 12.30tghari.
Tiada yang menarik berlaku. Kitab ar-Raheeq makhtum dibelek, membaca tentang peribadi penulis sebelum diteruskan dengan segala isinya yang pasti menarik. Alhamdulillah sejak diri ini menjadi 'Islam' semula, buku-buku sirah semakin mendapat tempat di hati. Nafsu saya pada buku sangat kuat, sehinggakan hampir setiap kali keluar shopping dengan tujuan lain, pasti akhirnya ada satu atau dua buah buku yang terbeli.
Rak buku dibelek, buku "Ramadhan Tetamu Yang Dirindui" karangan Ustaz Abdul hadi Awang pula menjadi pilihan. Kisah ini disingkap daripada catatan beliau dalam karyanya ini.
Demi menyelusuri ramadhan kali ini dengan lebih baik, marilah kita sama-sama menyingkap kembali peristiwa yang berlaku pada 2 Ramadhan yang lalu.
2 Ramadhan 0002H(Jumaat)
Pada hari ini berlakunya peperangan yang pertama dalam Islam, yang dikenali sebagai Perang Badar. Badar adalah nama tempat yang terletak di antara Madinah dan Mekah. Alhamdulillah, tentera Islam berjaya mengawal kawasan strategik, tsumari, berjaya menguasai sumber air di kawasan itu.
Peperangan antara 313 orang tentera muslimin, bertembung dengan 1000 orang tentera musyrikin Mekah yang lengkap bersenjata. Pada peringkat awal, tentera Islam tidak bercadang untuk berperang, tetapi mereka ingin memintas pasukan pemimpin Mekah bernama Abu Sufian dalam perjalanan pulang dari Syam. Supaya bekalan musuh yang berpusat di Mekah dapat dilumpuhkan.
Tiba-tiba, mereka terpaksa berhadapan dengan tentera musuh yang lebih ramai dan kebanyakannya adalah di kalangan ahli keluarga mereka sendiri. Tetapi tentera Islam tetap teguh berperang menegakkan agama Allah, dengan disertai oleh para malaikat.
"Sesungguhnya Allah menolong kamu dalam perang badar, sedangkan pada masa itu kamu orang yang lemah. Kerana itu bertakwalah kepada Allah, supaya kamu mensyukurinya." (surah Ali-Imram:123-125)
Peperangan berakhir dengan kemenangan berpihak kepada tentera Islam. Sebanyak 70 orang tentera musyrikin terbunuh, 70 orang lagi ditawan manakala bakinya melarikan diri. Perang ini sangat luar biasa kerana kemenangan berpihak kepada tentera Islam yang jumlahnya lebih kecil. Tambahan pula, para sahabat sedang menjalani ibadah puasa ketika itu. Hal ini membuktikan puasa bukanlah penyebab kurangnya produktiviti kita, malah umat Islam saat itu masih boleh berperang dalam keadaan lapar dan dahaga. Itulah orang-orang yang berjuang mencapai redha Allah SWT.
Allah SWT mengangkat martabat para sahabat yang menyertai perang badar, dan kesemua mereka dijanjikan syurga olehNya. Merekalah para Hizbullah, iaitu orang yang menegakkan agama Allah.
"Kamu tidak akan mendapati kaum yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, saling berkasih-sayang dengan orang yang menentang Allah dan Rasulnya, sekalipun orang-orang itu bapa-bapa, anak-anak, saudara-saudara ataupun keluarga mereka. Mereka itulah orang yang menanamkan iman dalam hati mereka dan menguatkan mereka dengan pertolongna yang datang daripadaNya dan dimasukkanNya mereka ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai dan mereka kekal di dalamnya. Allah redha kepada mereka dan mereka pun berasa puas kepada(limpahan rahmat)Nya. Mereka itulah golongan Allah. Ketahuilah, sesungguhnya hizbullah itu adalah golongan yang beruntung." (surah al-Mujadalah:22)
Pengajaran Untuk Kita
Begitu teguh sekali umat terdahulu mendokong agama ini. Sesungguhnya golongan inilah yang banyak memotivasikan diri saya untuk terlibat dalam dakwah dan tabah mengahrungi hidup yang penuh dengan cabaran dan dugaan. sekurang-kurangnya, saya tidak diuji sehebat mereka. Terpaksa memilih antara Allah dan rasulNya mahupun ahli keluarga tercinta. Nyata cinta kepada Allah dan rasulNya tetap utuh di hati mereka. Lantas, jadilah mereka orang yang beruntung dan beroleh syurganya.
Golongan ini jugalah golongan pertama yang ditarbiyah oleh Rasulullah SAW. Qaidah sulbah yang menyambung perjuangan baginda menegakkan Islam di bumi Allah SWT. Golongan yang menyebabkan kita semua lahir dalam agama Islam hari ini. Maka, secara tak langsung, menjadi kewajipan bagi kita semua, menyambung perjuangan Rasulullah SAW dan para sahabat bagi memberi keamanan kepada seluruh umat manusia, dengan ketundukan kepada Allah SWT, dan pengamalan cara hidup Islam.
Yang paling utama, bercita-citalah untuk menjadi seperti mereka dengan langkah pertama, mengubah diri kita sendiri. Berusahalah untuk menjadikan diri kita sehebat mereka, supaya agama mulia ini, tidak terfitnah dengan adanya kita. Semoga Allah memberi kita kekuatan untuk memperbaiki diri di bulan mulia ini. Semoga 1 Syawal nanti, kita dapat keluar dalam keadaan fitrah kembali.
>melihat SATU kepada banyak, melihat banyak kepada SATU<
No comments:
Post a Comment