Showing posts with label diari kembara. Show all posts
Showing posts with label diari kembara. Show all posts

Wednesday, January 5, 2011

sahabat datang dan pergi..

Assalamualaikum wbt..

Selamat Tahun Baru..あけましておめでとうございます!!
Baru 2 hari menjejakkan kaki semula ke bumi Jepun. Buat semua yang terlibat dalam jaulah kali ini, ribuan terima kasih diucapkan atas segala kerjasama dan tolak ansur yang diberikan. Kenangan indah bersama kamu semua sentiasa mekar di hati. Semoga ukhwah antara kita, sentiasa dalam rahmatNya.

Sekarang, tiba masa untuk kita muhasabah kembali, seminggu yang telah berlalu. Seminggu yang telah kita habiskan di sana.

Tercapaikah segala matlamat yang telah kita tetapkan?
Penat lelah, suka duka, wang ringgit yang dilaburkan, berbaloikah?
Apa pula perancangan kita untuk memperbaiki diri?

Semoga trip kali ini menghadiahkan kita seribu satu pengajaran, yang akan membantu kita untuk sama-sama berusaha menuju redhaNya. Pengalaman yang tidak boleh dijual beli atau dipindah milik, setinggi-tinggi kesyukuran kepadaNya yang menganugerahkan kita dengan Islam. Pertama kali bersua, terasa seakan sudah kenal lama. Cuaca serendah -15 darjah celcius, kita tetap selamba menikmati keindahan alam ciptaanNya. Tanpa ilmu yang cukup, kita masih berani meluncur ski. Biasiswa yang banyak, kita mampu berbelanja lebih untuk sahabat dan keluarga.

Betapa banyak nikmat yang dikurniakan kepada kita, berapa banyak pula kesyukuran kita padaNya?

Semoga pengalaman seminggu di sana, memberi kita kekuatan dan semangat baru untuk menjadi hamba yang lebih baik kepada Tuhannya.

Minna, aishiteru fillah~




^melihat SATU kepada banyak, melihat banyak kepada SATU^

Wednesday, November 17, 2010

Rayaku di perantauan

Eido mubarak minna~

Alhamdulillah, kali ni Allah bagi peluang untuk menyambut raya di Jepun. Tambahan pula kelas tiada pada hari ini. Maka seusai solat subuh, dengan cuaca yang sejuk 7 darjah Celcius, saya tunaikan mandi sunat hari raya Aidiladha. Setelah itu, siap-siap, bersarapan sedikit dan bergerak ke Masjid Otsuka yang terletak berhampiran rumah saya(15minit menaiki train).

Sewaktu sampai di train station yang terletaknya masjid tersebut, kelihatan ramai yang berkopiah menuju ke arah train station, menandakan solat sunat hari Raya telah selesai ditunaikan dan mereka perlu bergegas ke tempat kerja masing-masing memandangkan hari ini adalah hari bekerja. Mujur juga hari ini hujan, maka saya dan sahabat pun menyorokkan muka kami dengan payung, menundukkan pandangan dari eye contact dengan orang-orang masjid yang telah selesai bersolat. Kami nekad untuk tetap ke masjid, biarpun solat sudah selesai ditunaikan.

Sesampainya di sana, kelihatan orang ramai beratur panjang menghala ke masjid. Saya dan sahabat pun seakan-akan hairan. Di hujungnya kelihatan gerai-gerai kebab, choco banana, gula-gula dan lain-lain dijual. Maka, kami pun menganggap "diorang ni beratur untuk jamuan makan kot...sebab dah habis solat kan..."

Orang beratur membeli kebab setelah round ke2 solat

Namun, setibanya dihadapan pintu masjid, rupa-rupanya barisan panjang itu adalah barisan orang yang mengambil giliran untuk menunaikan solat sunat Aidiladha. Disebabkan ruang masjid yang sempit, solat terpaksa diadakan banyak kali dan para jemaah terpaksa menunggu giliran untuk bersolat.

Sugoi!!MasyaAllah, ramai rupanya umat Islam di bumi Jepun ini. Ramai rupanya yang nak bersolat jemaah di masjid, biar terpaksa beratur dalam hujan pun. Saya seakan-akan terlihat sinar kebangkitan Islam semula. Biar bermacam masalah yang melanda umat hari ini, selagi masih ada golongan yang mahukan Islam, komited dalam beramal dengan Islam, insyaAllah cita-cita menjadikan Islam itu ustaziyatul alam akan tercapai jua satu hari nanti.

Ramainya para pemuda ni, sampai kami tiada ruang untuk masuk ke ruangan solat wanita. Dengan keadaan teragak-agak nak masuk, sahabat saya bertanyakan seorang perempuan di gerai di luar masjid, (dialog dalam bahasa jepun tapi sudah dialih bahasa)

"Boleh masuk ke ni? Macam mana nak masuk?"
"Boleh, awak cakap je, tumpang lalu..."

Maka, kami pun meredah mereka. Satu lagi keindahan Islam yang menakjubkan saya. Para pemuda tersebut memberi laluan kepada kami. Malah ada pakcik(bangsa ape tak tau) yang tolong cakap kat pemuda-pemuda yang berasak-asak untuk keluar dan masuk masjid,

"Brothers, make way please...let the ladies first..."

Tapi ada juga yang tidak mendengar, atau mungkin mereka sedang mencari-cari kasut di hadapan masjid sebelum memberi laluan kepada kami. Laluan sedikit terbuka, tapi memang tak boleh mencelah masuk ke ruangan wanita tanpa bersentuhan dengan mereka. Sekali lagi pakcik tersebut mendepakan tangannya dan menolak brothers yang menghalang laluan kami, dan memberikan laluan yang agak luas untuk kami lalu.

Subhanallah~!!Indahkan Islam mengajar umatnya untuk memelihara dan menghormati para wanita. Hampir menitis air mata saya mengenangkan pakcik tersebut dan betapa bertuahnya saya memeluk Islam. Ya Allah tetapkan hatiku untuk terus bersama dan izzah dengan agamaMu.

Setelah itu kami ke Malaysian Embassy untuk makan besar bersama rakan-rakan Malaysia di sekitar tokyo.

Comel kan baby ni? Macam astronaut bile pakai baju sejuk (anak nihonjin muslim)
Jumpe di masjid Otsuka



p/s : saya kehilangan handphone sewaktu di Embassy. Sesiapa yang berhajat untuk menghubungi saya boleh berhubung melalui housemate saya buat masa ini.

Sunday, November 14, 2010

Trip ke Korea, Winter 2010(kepada yang berkenaan)

Ketua : Farah Liana bt Mohd Redzuan

Bendahari : Nafisah bt Hamidon

Pendahuluan

Alhamdulillah, setelah di shortlisted, kita seramai 11 orang akan bersama-sama ke trip menziarahi bumi Korea pada winter kali ini. Segala maklumat tentang lawatan kita kali ini adalah seperti yang tertera di bawah. Namun ini semua hanyalah sekadar perancangan kita, manusia yang hakikatnya lemah dalam merancang, yang pandangannya tak mampu untuk melihat masa depan. Mungkin berlaku perubahan dari semasa ke semasa, harap semua dapat berlapang dada dengan setiap perubahan. Apa yang utama adalah niat kita ke sana. Apa yang ingin kita capai dengan ke sana. Kita berhabis duit, penat lagi, menahan cuaca sejuk, mungkin terpaksa berlapar, sakit hati dengan ahli rombongan, harap segalanya mendapat ganjaran di sisi Allah SWT, dan menambah keimanan kita kepadaNya.

Life is about making decision. Setiap kita akan mendapat apa yang kita niatkan. Setiap kita juga bertanggungjawab atas setiap jalan yang kita pilih dalam hidup ini. Segala yang diaturkan, perkara yang dilistkan sebagai perkara wajib dibuat, kepatuhan kepada ketua bergantung kepada diri kita sendiri untuk mematuhinya atau tidak. Tidak timbul isu paksaan di sini. Terpulang kepada anda semua untuk melaksanakannya atau tidak. Tapi kesatuan antara hati-hati kitalah yang akan menjayakan trip kali ini, dengan izinNya jua. Doa-doa kitalah akan menambah barakah terhadap lawatan kali ini. Kesabaran dan kerjasama antara kita jualah yang akan membuahkan kemanisan ukhwah di antara kita.

Semoga trip kali ini menjadikan kita lebih dekat denganNya, lebih ringan untuk patuh kepada suruhan dan laranganNya, lebih menghargai erti sebuah ukhwah dan persahabatan yang dijalin keranaNya.

Objektif

1. Menambah keimanan dengan melihat keindahan bumi sonata ciptaan Allah SWT

2. Merasai kemanisan ukhwah, membetulkan niat kita berhubungan kerana Allah SWT

Penginapan 28~29 Dec

JIN Guesthouse, seorang ±20000Won/per nite.

Penginapan 30Dec~3Jan

Rumah student Malaysia di Seoul.

Makan&Minum

Masak sendiri dan makan di restoran halal/restoran makanan Korea. Tertakluk kepada suara ramai.

(Pencarian makanan halal di Korea mungkin lebih susah dari Jepun, student Malaysia di sana suggest kita untuk masak sendiri, lagipun disediakan dapur di Guesthouse)

Kos

Segala perbelanjaan di sana, termasuk kos penginapan, transport, makan minum, shopping dan sebagainya adalah sebanyak ±350000Won=±25000Yen. Tertakluk kepada kadar penggunaan wang masing-masing.

Tentatif

28 Dec 2010

Ketibaan di bumi sonata lebih kurang pukul 1600petang waktu tempatan. Bergerak terus ke JIN Guesthouse. Perjalanan menaiki bas, mengambil masa lebih kurang 1jam 45 minit dari airport, dengan kos ±15000Won. InsyaAllah, bajet untuk sampai dan check in di Guesthouse, pukul 1800petang. Rehat, urusdiri dan lepak-lepak sehingga jam 2000malam.

Seterusnya kita akan ke bandar Myeongdong. Terletak 1 stesen dari Guesthouse. Tempat menarik untuk aktiviti membeli-belah aka shopping.

29 Dec 2010

Untuk perjalanan hari kedua, waktu tak dapat nak diperincikan, terpulang bagaimana kita di sana nanti. Namun, tempat-tempat yang di plan untuk dikunjungi adalah:

1. Namdaemun

Tempat shopping yang murah dan berpatutan untuk barang-barang seperti brooch dan omiyage. Ala-ala Pasar Siti Khadijah di TerengganuKelantan, ataupun Ueno di Tokyo. =)

2. Ittaewon

Ini pun tempat shopping juga. Mari melabur lagi di sini. =) Di Bandar ini juga terdapat restoran makanan halal. Bajet untuk solat zuhur dan asar di sini sambil menikmati makanan halal setelah penat shopping.

3. 63 Building

Kalau siapa yang biasa tengok drama Korea, bangunan ni banyak dipopularkan, dikatakan sangat cantik pemandangan waktu malam dari atasnya. Maka, kita juga insyaAllah, tidak akan ketinggalan untuk melihat keindahan bumi sonata dari tingkat 63 bangunan ini nanti.

4. Han River

Menikmati pemandangan malam yang cantik di Sungai Han. Kalau berpeluang mungkin kita akan menaiki cruise merentasi sungai ini.

30 Dec 2010

Hari ini dikhususkan untuk aktiviti bermain salji. Kita akan bertolak ke kawasan bersalji untuk sama-sama mencuba sukan-sukan yang melibatkan salji seperti ski, snowboard dan lain-lain. Setakat ni masih tak jumpa lagi kawasan yang berdekatan dengan Seoul. Kebanyakan tempat-tempat bersalji yang menarik terletak di utara Korea Selatan, dan perjalanan ke sana mengambil masa yang agak lama. Mungkin seperti kita mahu ke Hokkaido. Tapi ada juga yang berhampiran(2 jam lebih dari Seoul). Kalau sesiapa ada info tempat menarik untuk kita bermain salji, sila maklumkan ye.

Pagi sebelum bertolak kita akan check out dari Guest House, tempatkan segala barang di rumah student Malaysia dahulu sebelum bertolak ke tempat Ski. Perjalanan mungkin panjang, dan kita akan menghabiskan keseluruhan hari di sana sebelum pulang semula ke rumah student Malaysia pada malam tersebut. Bermain dengan salji akan membasahkan pakaian kita. Maka, harap semua bersedia dengan sebuah beg kecil selain beg besar kita untuk memudahkan kita membawa pakaian persalinan.

Kos juga bergantung kepada tempat ski yang ingin dikunjungi. Akan dimaklumkan kemudian.

31 Dec 2010

Badan dah penat. Duit pun dah habis membeli-belah. Maka hari ini kita akan berjalan melihat keindahan alam di Pulau Nami(Nami Island). Pulau yang cantik terletak berhampiran Seoul. Dipopularkan oleh cerita Winter Sonata. Hari ini kita akan bergambar kenangan sepuas-puasnya di sini.

Malamnya kita akan bergerak ke Camp Site, untuk join program winter gathering student Malaysia di Korea. Beramah mesra dan menambah kenalan. Mana tahu lepas ni kita akan ke sini lagi kan?

1 Jan 2010

Berprogram bersama student Malaysia Korea sepanjang hari. Program indoor dan outdoor. Main salji dengar talk dan sebagainya.

2 Jan 2010

Bertolak pulang ke rumah student Malaysia dan bersiap-siap untuk ke destinasi terakhir. Kita akan menaiki Korea Tower, bershopping kali terakhir di kawasan sekitarnya. Dinner terakhir dengan masakan Korea.

3 Jan 2010

Pulang ke nihon.

Perkara Wajib dibuat

Sebelum Terbang ke Korea

1. Mulai hari ini, berdoa agar Allah selamatkan perjalanan pergi dan balik kita. Semoga diberkati permusafiran kita, dirahmati ukhwah di antara kita.

2. Pagi sebelum bertolak, solat sunat musafir 2 rakaat di rumah masing-masing.

3. Flight kita semua adalah selepas masuknya waktu Zuhur, maka harap semua dapat tunaikan solat Jamak takdim, qasar sewaktu di Narita/Osaka airport.

4. Sebelum bertolak, pastikan niat kita ke Korea adalah seperti yang tertera di objektif. InsyaAllah kita akan dapat apa yang kita niatkan. Harap perjalanan kita tidak menjadi sia-sia tanpa pahala disisiNya.

5. Sebab kita bertolak secara berasingan, berlainan airport dan sebagainya, harap di setiap airport sebelum bertolak dilantik seorang yang akan mengetuai bacaan doa untuk musafir, sebelum menaik kapal terbang.

Sewaktu di Korea

1. Setiap solat fardhu dilaksanakan secara berjemaah, kecuali ada kesulitan tertentu(solat di tempat umum, laluan orang ramai yang sempit) yang tidak membolehkan kita untuk berjemaah.

2. Membaca al-Ma’thurat secara berjemaah selepas solat subuh.

3. Menjaga niat kita ke sana dan bersabar dengan sebarang kesulitan.

4. Patuh pada setiap arahan ketua.

Selepas Pulang dari Korea

1. Solat sunat syukur 2 rakaat kerana selamat tiba.

2. Muhasabah kembali segala yang telah kita lalui,adakah kita mencapai objektif ke sana ataupun tidak. Perbaiki segala kelemahan diri.

注意事項

1. Kita akan ke sana sewaktu winter, maka siang akan menjadi lebih pendek daripada malam. Cuaca sejuk, masa mungkin sangat padat, harap semua dapat all out untuk menjayakan trip kali ini. =)

2. Kita pergi secara berkumpulan, ada 11 kepala di sini, maka ada 11 ragam juga. Ada yang shopping brooch 5 minit, ada juga yang memilih brooch sampai 2 jam lamanya. Harap semua dapat bertolak ansur antara satu sama lain dan patuh pada arahan ketua.

3. Ini sekadar perancangan awal. Jadual mungkin berubah bergantung kepada keadaan kita dan pengurusan masa kita di sana.

4. Sebarang ketidakpuashatian, bolehlah dirujuk terus kepada ketua.

Lain-lain

Lain-lain perkara bilangan baju yang perlu dibawa, bekalan makanan, pembahagian tugas memasak dan sebagainya akan diupdate dari semasa ke semasa.

Wallahu'alam.


Yang menjalankan tugas,

Dzulaikha Mat Zaini

AJK Penyiaran dan perhubungan

Friday, March 26, 2010

Jepun di mataku...

Alhamdulillah, selamat tiba di Narita Airport pukul 6.05pm waktu Jepun. Maka bermulalah kembara saya di bumi sakura. Pengembaraan mencari ilmu yang menuntut pelbagai pengorbanan. Terkenang kembali buku tulisan Ustaz Hasrizal, “Rindu Bau Pohon Tin” yang saya hadam seminggu sebelum bertolak ke sini. Hingga saat ini saya masih memikirkan berbaloikah pengorbanan ini?Sedangkan banyak keuntungan dan pastinya lebih mudah untuk belajar di negara sendiri bergaul, makan, hidup di tanah air sendiri.

Berkorban untuk tinggal berjauhan dengan keluarga.

Berkorban untuk belajar ilmu kejuruteraan menggunakan bahasa dan tulisan yang sangat asing.

Berkorban untuk tertinggal majlis-majlis perkahwinan adik-beradik dan saudara-mara.

Berkorban untuk meninggalkan makanan yang sedap-sedap di tanah air.

Berkorban untuk hidup di Negara asing yang tidak faham tentang Islam.

Berkorban meninggalkan zaman belajar universiti tempatan bersama-sama teman seperjuangan.

Akhirnya, saya menyimpulkan bahawa berbaloi atau tidaknya pengorbanan ini, segalanya bergantung kepada diri saya sendiri. Segalanya bergantung kepada bagaimana saya melalui kehidupan di sini, yang menjadikan segala yang saya korbankan ini, membuahkan pengajaran berguna untuk kehidupan dan masa depan saya sendiri.

Hari ini, saat artikel ini ditulis, merupakan hari ke-5 saya di sini. Terdapat beberapa pandangan tentang Jepun terbentang di mata saya. Segala imej yang saya bayangkan dahulu, lenyap entah kemana dan menimbulkan pelbagai imej baru di mata saya.

Sejuk

Ya, Jepun sangat sejuk rupanya. Sejuk yang tidak tergambar oleh saya sebelum ini. Selalunya di Malaysia, cuaca panas menyebabkan kita masuk ke bilik berair-cond, tetapi di sini, keluar sahaja bilik, terasa seakan ada air-cond besar yang sentiasa berangin, dengan suhu yang amat rendah. Serius sejuk. Subhanallah, ternyata air-cond yang Allah ciptakan ini maha hebat berbanding ciptaan manusia.

Menakutkan

Saat pertama kali dibawa keluar ke bandar oleh sempai tachi, saya dapat merasakan Jepun adalah sebuah negara yang menakutkan. Walaupun banyak yang mengatakan Jepun Negara yang selamat, dan saya juga yakin tentang itu, tetapi mungkin kerana kita merupakan warga asing di sini, terasa sangat takut. Takut sesat. Takut nak berhadapan dengan orang Jepun. Takut dengan pandangan pelik masyarakat sini. Takut dengan deretan makanan-makanan sedap yang tidak halal. Takut dengan waktu solat yang tidak seperti Malaysia. Takut dengan cuaca sejuk yang melahirkan malas dan macam-macam lagi.

Mudah

Walaubagaimanapun, hidup di Jepun mengajar saya 1 perkara. Yakni mengajar saya bahawa Islam itu mudah sebenarnya. Mampu diamalkan oleh semua peringkat. Tidak mustahil untuk diamalkan walau di mana jua kita berada. Saya belajar untuk mengurangkan was-was dalam wudhu’ dan solat apabila terpaksa mengambil wudhu’ dalam keadaan cuaca yang sejuk, juga belajar untuk yakin bersolat di mana jua kerana hakikatnya bumi Allah ini bersih.

Macam-macam

Macam-macam saya jumpa di sini. Macam-macam jenis orang, dengan bermacam-macam pula perangai dan peribadi. Macam-macam pula peraturan yang dibuat untuk kemudahan bersama. Macam-macam jenis makanan yang tidak lalu diterima oleh tekak ini. Terasa ingin pulang sahaja ke Malaysia apabila terpaksa berlapar kerana tidak dapat menerima dengan baik makanan-makanan di sini. Terkenang kembali dialog bersama teman-teman sebilik di sini,

“Kalau ada doraemon kan best. Boleh mintak pintu suka hati.”

“Haah la. Nak balik Malaysia. Tak kenyang makan kat sini…”

“huhu..tu la…kalau ada pintu suka hati boleh la kite balik selalu…”

“ok, nanti saya belikan doraemon, awak mintakkan pintu suka hati dekat dia ek…”

Maka, roommate lain pun menjerit, “dzu……….dia buat serius pulak…”

Sekadar lawak serius di malam hari yang menyembunyikan rasa hati yang rindukan tanah air. Rindu mak ayah, rindu teman-teman, rindu makanan, rindu cuaca, rindu toilet, rindu segalanya. Kesusahan di sini menjadikan saya membenarkan peribahasa, hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, lebih baik di negeri sendiri. Semoga pengembaraan ini mematangkan diri, melahirkan insan baru yang lebih matang, sabar dan berhati-hati dalam menjalani hidup penuh dugaan ini.

p/s : Doakan saya ye kawan-kawan. Doa kalian penguat semangat saya untuk terus bertahan dan bersabar dengan kehidupan di sini. Mohon sangat…

Tempat orientasi, tinggal di sini sehingga 31Mac ni InsyaAllah