Showing posts with label muhasabah. Show all posts
Showing posts with label muhasabah. Show all posts

Sunday, August 28, 2011

Di dalam hati ini..


“di dalam hati terdapat sebuah robekan yang tidak mungkin dapat dijahit kecuali dengan mengadap penuh kepada Allah s.w.t.

di dalam hati ini juga ada sebuah keterasingan yang tak mampu diubati kecuali dengan menyendiri bersama Allah.

di dalam hati ini juga ada sebuah kesedihan yang tidak akan mampu diseka kecuali dengan kebahagiaan yang tumbuh kerana mengenal Allah dan ketelusan berinteraksi dengan-Nya.

di dalam hati ini juga terdapat sebuah kegelisahan yang tidak mampu ditenangkan kecuali dengan berhimpun kerana Allah dan pergi meninggalkan kegelisahan itu menuju Allah.

dan di dalam hati ini juga terdapat gejolak api yang tidak mampu dipadamkan kecuali oleh keredhaan akan perintah, larangan, dan keputusan Allah, yang diiringi dengan ketabahan dan kesabaran sampai tiba saat perjumpaan dengan-Nya.”

Ibnu Qayyim

Thursday, March 3, 2011

tak semua perkara sesuai

Saya ada cita-cita yang tinggi. Nak buat robot untuk bantu orang lumpuh berjalan dengan normal. Alhamdulillah, ditakdirkan Allah terpilih untuk masuk rikadai, terpilih pulak untuk masuk lab yang buat robot. Walau sesibuk mana pun lab tersebut, saya tetap bulatkan hati, tetap dengan keputusan untuk masuk lab tersebut. Alhamdulillah, sewaktu memilih tema research untuk tahun terakhir ini, saya diberi peluang untuk memilih tajuk tersebut. Syukur ke hadrat Ilahi, yang mempermudah langkah saya mengejar impian. Sewaktu memilih tema tersebut, senior-senior ramai yang cakap,

"eh, susah la tema tu.."
"biar betul nak buat?susah la..."

Lecturer pun tanya saya banyak kali,
"betul ni awak nak buat?tema ni susah. Saya bukan tak bagi awak buat, kalau awak nak jugak, buatlah. Tapi memang susah."

semua orang pun macam tak bagi saya ambil tema tu. Tapi waktu tu dengan yakinnya saya jawab,
"hm, saya nak try buat jugak!"

Lepas tu semua orang pun biar je lah, sebab saya nak jugak. Tapi lepas tengok robot yang senior dah buat, tiba-tiba saya rasa saya takkan mampu untuk sambung tema tersebut. Baru tersedar, hakikatnya saya ni seorang perempuan, muslimah pulak tu. Tak semua yang saya inginkan dan cita-citakan dapat saya kecapi.

1. Saya kene buat semua sorang2, sebab ini projek saya seorang. Dari proses design, buat setiap part, order skru, buat controller, dan pasang siap. Bab design dan buat setiap part saya macam boleh usaha lagi, tapi bab pasang siap, saya rasa sebagai perempuan, kudrat saya tak mampu nak mengangkat besi-besi besar tersebut, dan untuk ketatkan skru dan bukak skru pun saya tak mampu rasanya. (Dulu masa kat jad, waktu jisshu bukak&pasang semula enjin pun saya tak lepas nak bukak skru dan start enjin)Oh, lupa nak bagitau, saya ni boleh tahan KECIK orangnya. Tenaga saya memang tak banyak. Kalau ada pameran atau apa2 konvensyen, saya terpaksa bawak robot tersebut, tapi macam mana saya nak angkat? Lepas tu, projek ni kene test dekat pesakit, nanti siapa pulak nak angkat pesakit?

2. Lab saya semua lelaki. Kalau saya nak buat test ke atas robot saya, terpaksa minta mereka jadi model saya. Maksudnya saya kene pakaikan mereka robot saya. Sewaktu senior saya menerangkan tentang robot beliau kepada saya, senior tersebut pun pakai(robot untuk angkat orang lumpuh, jadi nak pakai tu, macam pakai pampers dekat baby, supaya boleh support bahagian bawah badan untuk dirikan orang) robot tersebut dan buat demo. Selepas tu, senior tu pun cakap,

"Cuba awak try pakai pulak...eh, tapi awak pakai skirt..."
(sebenarnya saya tengah pakai baju muslimah)
"tudung memang tak boleh tanggalkan kan?tapi skirt tak semestinya pakai kan?kalau awak nak cuba, awak tak payah la pakai skirt.."
Tak tau nak respon macam mana time ni. Ada perasaan taknak pakai, dan taknak buat projek ni. Macam pakai pampers depan orang pun ade. Kalau pakai sendiri boleh tahan lagi, tapi mesti senior tu nak tolong pakaikan sebab saya pon bukan reti sangat. Oh, tidak!!T_T

Atas 2 sebab ni, saya rasa saya tak sesuai untuk buat tema ni. Walau saya suka macam mana sekalipun, walau projek ni sangat baik dan ade market value sekalipun, dapat membantu ramai orang sekalipun, saya tak sanggup nak korbankan diri dan agama saya. Saya tak sanggup nak pakai t-shirt pendek, saya tak sanggup nak pegang orang lelaki dan biar orang lelaki pegang saya, saya tak sanggup nak asyik mintak tolong dengan kawan satu lab untuk pasangkan skru kat robot saya.

Oleh sebab itu, hari ni saya jumpa lecturer dan cakap, saya ubah fikiran. Saya rasa saya tak mampu nak buat. Lecturer macam marah jugak,
"Semalam awak jugak yang cakap awak nak. Saya dah cakap kan projek tu susah."

Jadi, hari ni saya pilih tajuk baru untuk research saya. Pasal rail kren kat tapak pembinaan. buat mesin/robot untuk mengesan retak yang ada pada rail. Semua kene buat sendiri jugak, tapi sebab robot ni lebih kecil, insyaAllah harap-harap berjaya.

Hal ini menyedarkan saya, betapa wanita itu tempatnya bukan di bidang mekanikal, yang memerlukan tenaga yang banyak, dan tempat kerja yang penuh dengan lelaki. Tapi, tiada yang lebih baik daripada apa yang telah berlaku. Selagi punya pilihan, pilihlah yang terbaik untuk agama dan diri kamu wahai rakan-rakan Muslimah. Semoga segalanya tidak tergadai dengan alasan memenuhi impian dan cita-cita.

Ya Allah, permudahkanlah...

Monday, February 14, 2011

Pedas

"Kalau dah bertahun-tahun join tarbiyah, tapi orang sekeliling tak merasai perubahan diri kita. Mesti ada salah-silap dimana-mana dalam tarbiyah kita" (Ustaz Abdul Halim)
Pedas rasanya kata-kata ustaz ni. Tapi di situ ada kebenarannya. Tarbiyahlah yang membentuk kita untuk menjadi Muslim yang lebih baik. Seharusnya perubahan kita itu, memberi tempias yang baik kepada mereka yang berada di sekeliling kita. Seharusnya sinar keindahan Islam yang kita pupuk dalam diri kita itu, menjadikan insan-insan sekeliling kita juga turut terasa kehangatannya. Seperti mana keindahan akhlak Rasulullah SAW, yang berjaya mengIslamkan dan melemparkan sinar hidayah pada para sahabat, dan penduduk tanah arab.

Tapi, setiap kali balik Malaysia dan berkumpul dengan family dan adik beradik, mereka akan cakap, "Akak ni tak berubah langsung perangai..."

Setiap kali reunion dengan rakan-rakan SERATAS dulu, mereka pun akan cakap perkara yang sama, "Ko ni tak berubah la dz.."

Ya Allah, perbetulkanlah hambaMu ini..
Bantulah aku untuk berubah, menjadi Muslim yang Engkau redhai...
Ampunilah dosaku, terimalah amalku Ya Tuhanku....

Wednesday, February 9, 2011

Hamba Allah atau hamba makhluk?

Tajuknya nampak begitu keras. Seolah ingin menikam dan menghentak kepala si pembaca dengan tukul besi dan memecahkan hati dan perasaan orang yang terkait. Tapi ini antara salah satu uslub yang biasa dan tabi’i dalam menyampaikan peringatan. Di dalam al-Quran, Allah menceritakan kepada kita seksa azab neraka dan syurga dengan jelas. Neraka amat menyeksakan dan syurga amat menyenangkan.

Dan Allah juga ada membezakan antara orang yang inginkan syurga dan neraka dengan jelas juga. Allah menyebut orang-orang yang ingkar dengan panggilan fasiq, zalim, munafiq, kafir dan pelbagai lagi. Kerana di situ perlu ada garis pemisah yang jelas dan terang.

Jadi dari tajuk di atas pun jelas juga. Persoalannya antara hamba Allah atau hamba dunia? Cuba kita nilai-nilaikan berdasarkan soalan-soalan di bawah:

  • Antara solat dan bermain video game, mana yang kita utamakan? Kalau dah azan dan masih terlekat di video game sehingga berlalu waktu baru hendak solat, kita hamba Allah atau hamba video game?
  • Antara menutup aurat dan berpakaian yang dituntut syara’ dengan berpakaian mengikut peragaan semasa, mana yang menjadi keutamaan kita? Jika ke kenduri kahwin kita berkebaya ketat belah ke peha, atau ketika bermain bola sepak berseluar pendek hingga nampak bahagian atas peha, kita hamba Allah atau hamba makhluk?
  • Antara menunaikan solat dan teruskan belajar di perpustakaan ketika sudah masuk waktu, yang mana menjadi keutamaan? Jika kita lebih selesa teruskan belajar dan tunaikan solat saat dah pulang ke rumah sedangkan masjid/musolla/ruang solat hanya sekangkang kera dari perpustakaan adakah kita hamba Allah atau hamba ilmu?

Ini hanyalah beberapa persoalan yang masih kabur. Pastinya ramai yang akan mendatangkan hujah untuk mendapatkan ketenangan jiwa, agar terus menjadi hambaAllah.

Bagi yang beria-ia belajar tentang agama dan menelaah pelbagai fiqh da’wah etc, perlulah kita pandai menilai, antara menjadi hamba Allah dan hamba makhluk, yang mana pilihan hati?

Mungkin kita perlu terjemahkan semula erti ‘hamba’ dan memperkenalkan istilah lain bagi penganut islam. Mungkin boleh guna ‘muslim 50′ kerana iltizamnya ia pada perintah Allah 50-50. Waktu mudah dan senang, dia jadi hamba Allah, waktu susah sedikit, dia pilih untuk ‘relax’ sebentar dari mengabdikan diri kepada Allah. Boleh juga ‘flexi muslim’, bila ada perkara atau urusan yang menguntungkan dia atau boleh menggugat keadaannya, ia menjadi hamba makhluk tetapi jika tiada apa-apa yang berisiko, ia kembali menjadi muslim – tersengguk-sengguk bersolat dan mencari Quran.

Betullah apa yang difirmankan Allah s.w.t.

Maka apabila manusia ditimpa bahaya ia menyeru Kami, kemudian apabila Kami berikan kepadanya nikmat dari Kami ia berkata: “Sesungguhnya aku diberi nikmat itu hanyalah karena kepintaranku.” Sebenarnya itu adalah ujian, tetapi kebanyakan mereka itu tidak mengetahui. (Az-Zumar: 49)

Allah s.w.t. yang mengurniakan ilmu kepada kita, tetapi kita lebih bergantung kepada usaha dan keringat dan waktu kita berpulun berjam-jam untuk mendapatkan ilmu dari meletakkan anugerah ilmu itu sebenarnya daripada Allah s.w.t.

Suatu kata hikmah daripada Syeikh Ibn Athaillah as-Sakandari; Tanda bergantung kepada amal adalah lemahnya raja’ (pengharapan) kepada Allah saat ditimpa kepayahan”.

Herm…musim imtihan melanda lagi. Apakah kita akan menjadi hamba Allah atau hamba makhluk? Fikir-fikirkan.

Artikel dipetik dari sini.

p/s: buat yang masih belum habis exam, teruskan perjuangan. Buat kouhai tachi yang tengah exam di Malaysia, semoga dipermudahkan segalanya. Tingkatkan usaha dan tawakal. Percaya diri, yakini janji Ilahi!


Monday, January 31, 2011

Dakwah Bukan Milik Kita


Ketika sedang berhenti di lampu trafik dalam perjalanan membayar bil di Bandar Seremban, sebuah kereta kancil cuba untuk mencelah masuk ke dalam barisan kereta, berhampiran saya. Saya perhatikan kereta tersebut, ada pelekat kereta Palestin di belakangnya, ‘mungkin al-akh’ getus hati saya. Kelihatan zaujahnya (saya sangka) bertudung labuh di sebelah, sayup-sayup pada mata saya. Saya terus memberi ruang untuk dia masuk apabila lampu telah hijau. Apabila dia sudah melepasi saya melihat kembali pelekat Palestin tadi, dia bukan al-akh dari organisasi saya. Di sepanjang perjalanan saya berfikir-fikir tentang ibrah daripada apa yang baru saya lalui tadi.

‘Dan siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah dan mengerjakan kebajikan serta berkata “Sungguh, aku termasuk orang-orang Muslim (yang berserah diri)”.’ [QS:41:33]

Dakwah ini milik siapa? Adakah dakwah ini milik golongan tertentu? Apakah ianya sesuatu yang hanya boleh dilakukan oleh golongan yang eksklusif? Dakwah yang merupakan seruan ini adalah daripada Allah dan akan kembali akhirnya kepada Allah jua. Maka, ia bukan milik sesiapa. Sesiapun tidak bisa menyatakan bahawa dakwah ini hanyalah milik dirinya, hanya dia yang layak mengerjakannya seterusnya menafikan kerja dakwah orang lain, apalagi melakukan dakwah untuk menyeru manusia kepadanya (menjadi pengikutnya).

Ketika di awal fasa menyertai organisasi dakwah, kita difahamkan bahawa seruan Islam ini bukan tanggungjawab yang digalas oleh golongan yang bergelar ‘ustaz’ dan ‘ulama’ semata-mata, maka dengan itu kita dibersihkan dari stigma yang hampir melumpuhkan ummah seluruhnya. Kemudian setelah berada bersama para pendukung dakwah, kita melihat bahawa dunia dakwah ini bukan satu benderanya, malah berjenis-jenis dan bermacam warna, pendukung dakwah ini bukan kita sahaja, bukan di Malaysia sahaja, malah bertebaran fikrah Ikhwanul Muslimin di seluruh pelusuk dunia. Namun, di situ punya cela.

Celanya pada kita yang tidak betah melihat orang lain melakukan kerja dakwah, kita berasa tidak senang apabila ramai orang mengikut seruan mereka. Walhal, dakwah ini (andai kita faham dan cerna) di akhirnya akan ditujukan kepada Allah jua, juga berapa ramai yang terlupa bahawa dakwah ini bukan hak milik eksklusif kita. Bayangkanlah dalam keadaan ummah terkeliru dan masih melekat pada stigma siapa yang berhak menyeru kepada Islam, kita yang berada dalam kelompok sedar yang kecil ini bertelingkah pula siapa yang berhak mengangkat panji dakwah. Apa untungnya untuk ummah? Apa manfaatnya untuk para mad’u?

Kalau saya mahu umpamakan, ummah ini adalah seperti sebuah kota yang di di kelilingi oleh benteng-benteng teguh lagi utuh. Dalam keadaan dan situasi kota ini dihunjam dan dijarah oleh musuh Allah yang sentiasa mencari titik kelemahan untuk menerobos memusnahkan kita, ummah di dalamnya telah bobrok dan rosak dengan parasit sosialisasi yang dihantar secara sulit oleh musuh Allah. Namun, mereka masih lagi boleh diselamatkan kerana adanya pengawal-pengawal benteng yang mengelilingi kota tersebut. para du’atlah yang mengawalnya. Andai para pengawal di pintu utara, timur, barat dan selatan bergaduh sesama mereka, maka nantikanlah keruntuhan benteng ini, seterusnya membenarkan para penjarah menerobos dan membunuh anak-anak kecil dan para wanita kita.

Kitalah pelindung ummah ini, kitalah pembela ummah ini, kitalah harapan ummah ini. Di sebalik mereka tidak menyedari bahaya yang meragut jiwa mereka serta tidak melihat kita sebagai penyelamat, kitalah para du’at yang menjadi jata maruah kepada ummah. Kepelbagaian warna dan bentuk bendera dakwah kita tidak sepatutnya menjadikan kita musuh antara satu sama lain, kerana di sebalik kibaran bendera itu, kita masih saudara seaqidah yang ingin memimpin ummah kepada Allah.

Saya erti ada komplikasi dan isu yang terselit di sebalik cela ini, ia dikomplekskan dengan pelbagai masalah yang berselirat membawakan kita kepada sesuatu yang membawa mudharat seperti ini. Di sebalik semuanya ini, kita perlu mengerti bahawa ada maslahah ‘ammah yang perlu diberi perhatian kerana ia akan memberi impak besar kepada ummah. Ummah tidak akan nampak hal ini kerana kebanyakan daripada mereka sedang tidur. Berapa banyak pula ummah yang inginkan Islam tetapi ditipu oleh penggerak-penggerak dakyah sesat akhirnya kecundang?

Usahlah kita menzalimi diri dan saudara du’at kita, bergeraklah kita masing-masing di medan sendiri dan raikanlah para ikhwan dan akhwat kita yang sama-sama bergerak tanpa menafikan mereka. Berhentilah mencaci dan mengadu domba tanpa kebenaran. Jujurnya saya penat mendengar cerita-cerita seperti ini, yang tiada asasnya, yang tidak jelas beritanya, yang hanya mengeruhkan hubungan sesama ikhwah. Cukuplah, kurangkan berkata-kata, perbanyakkan kerja kita, pembaikpulihan ummah ini banyak memerlukan perih jerih dan usaha kita.

Ya, saya tahu, faham dan sedar, bercakap memang mudah daripada membuatnya, namun membuatnya meskipun dalam penuh kesukaran adalah bukti kesetiaan kita kepada tarbiyyah dan fikrah yang kita yakini. Dakwah bukan milik kita, bukan hak milik eksklusif kita.

Artikel diambil dari : Kalam Yang Berbicara

Wednesday, January 26, 2011

Betulkan langkah kakimu sayangku..

Kepada insan yang kucintai, Dzulaikha..

Esok, mengikut kiraan kalendar masihi, genaplah engkau berumur 22 tahun.
Selama 22 tahun ini apa yang telah engkau lakukan?
Bersediakah engkau untuk menemui Penciptamu?

Rasulullah s.a.w. bersabda,

“Saya akan beritahukan kepada kalian suatu kaum dari kalangan umatku. Mereka datang pada hari kiamat dengan kebaikan sebesar gunung. Namun Allah menjadikan kebaikan tersebut seperti debu yang berterbangan.”

Tsauban berkata,

“Ya Rasulullah! Terangkan sifat-sifat mereka pada kami, sehingga kami tidak termasuk dari golongan mereka, sedangkan kami tidak menyadarinya.”

Rasulullah s.a.w. bersabda,

“Mereka adalah saudara kalian, dari kalangan kalian pula. Mereka mengisi waktu malam dengan beribadah, seperti yang kalian biasa lakukan. Namun mereka jika sedang bersendirian dan mempunyai kesempatan melakukan perbuatan haram, maka mereka melakukannya”(HR Ibnu Majah)

Ya Allah, peliharalah hambaMu ini daripada amal yang sia-sia.
Ya Allah, tingkatkanlah amalku, kerendahan hatiku, keyakinanku padaMu,
semangat aku dalam mencari redhaMu, seiring dengan pertambahan umurku.
Ya Allah, tanamkanlah dalam hatiku cinta kepadaMu dan RasulMu.
Ya Allah, peliharalah aku daripada sifat-sifat mazmumah dan sifat-sifat orang munafik.
Ya Allah, peliharalah aku daripada perkara-perkara yang menjauhkan aku dariMu.
Hanya kepadaMu tempat aku merintih dan mengadu.

Sedarlah sayangku Dzulaikha, masamu untuk bertemu Tuhanmu telah semakin hampir.
Manfaatkan saki baki hidupmu sebaiknya.
Semoga di sana nanti, kau dikurniakan ketenangan dan kesenangan.

-------------------------------------------------------------------

Bismillahirrahmanirrahim.

Kutujukan bingkisanku ini buat mereka yang bergelar pendokong serta penggerak dakwah walau di mana kalian berada.

Kutujukan juga tulisanku ini buat adik-adik rantaian dakwah yang bakal bergelandangan di arena dakwah luar negara.

Juga kutitipkan perkongsianku ini buat sahabat yang tetap teguh di atas jalan yang dipilih ini. Moga Allah memberkati usaha kalian.

…………………………………………

Penulis pernah diingatkan oleh seseorang bahawa suatu jalan tidak akan ada penamatnya melainkan dengan adanya titik mulanya. Tidak akan ada perjalanan melainkan dengan adanya permulaan kepada perjalanan tersebut. Maka amatlah penting bagi kita untuk memilih permulaan yang betul bagi mencapai penamat yang benar. Langkahan pertama itu akan menjadi penentu ke mana kita bakal menjejakkan kaki di akhirnya. Adakah di tempat yang benar-benar ingin dituju ataupun tersimpang jauh dari penamat yang satu.

Begitu juga dalam memilih permulaan kepada jalan dakwah ini. Jika permulaannya cacat, maka pengakhirannya sudah pastinya hanya penat yang kita dapat dan jika permulaannya adalah hasad, maka di hujungnya sudah pastinya fasad. Tetapi jika ianya dimulakan dengan niat yang suci, maka sudah tentu pengakhirannya adalah murni dan jika ianya dmulakan dengan langkahan yang benar, maka di hujungnya pasti ada sinar.

Ibtida’ yang murni ataupun permulaan yang murni.

Permulaan kepada usaha menyampaikan kebenaran.

Permulaan kepada suatu usaha yang berpanjangan.

Permulaan kepada suatu jalan yang dipenuhi onak duri serta cabaran.

“Wahai orang-orang yang beriman! Jika kamu menolong (agama) Allah, nescaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu.” [Muhammad, 47 : 7]

Bagi menjadi rujukan kepada alam (ustaziatul alam), ianya dimulai dengan pembinaan jiwa yang lunak kepada Islam. Bagi membina jiwa sebegitu, akal dan hati perlu bersama berganding bahu. Bagi memastikan ianya terjadi, maka kuncinya adalah niat yang suci. Pendidikan (tarbiyah) yang berterusan akan memastikan lahirnya seorang akh yang jiwanya selembut Abu Bakr, setegas Umar, sepintar Ali malah tinggi sifat malunya laksana Uthman.

“Dan siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah dan mengerjakan kebajikan dan berkata, ‘Sungguh, aku termasuk orang-orang muslim yang berserah diri?” [Fussilat, 41 : 33]

Sama-sama membetulkan langkahan pertama kita, menyucikan niat kita semata-mata kerana Allah serta murnikan hasrat kita semua. Mudah-mudahan Allah melihat segala usaha murni kita.

Penulis akhiri tulisan kali ini dengan kata-kata seorang alim:

“Al fatrah ba’da mujahadah min fasadil ibtida” (kelesuan selepas mujahadah disebabkan oleh kecacatan di permulaannya).

Mohd Zol Helmi Md Zuki
Sumber: Laman Web ISMA Eropah

Wednesday, December 1, 2010

Tersentap di pagi hari..

Ini cerita hujung minggu lalu. Baru berkesempatan untuk menulis pada hari ini.
Dalam kesibukan menyiapkan seizu, curi masa sebentar untuk berkongsi dengan pembaca.

Hujung minggu lalu saya dikunjungi oleh beberapa orang teman, jauh dan dekat. Perbualan kosong kami pagi itu entah bagaimana boleh berkisar tentang sebuah hadith.

Dan daripada Wabisoh ibni Ma’bad r.a. beliau berkata: Aku telah menemui Rasulullah SAW lalu baginda bersabda: Engkau datang mahu bertanya tentang kebajikan? Aku berkata: Ya. Baginda bersabda: Mintalah fatwa dari hatimu. Kebajikan itu ialah suatu perkara yang diri dan hati merasa tenang tenteram terhadapnya,dan dosa itu ialah suatu perkara yang tergetar dalam dirimu dan teragak-agak di hati, sekalipun ada orang yang memberikan fatwa kepadamu dan mereka memberikan fatwa kepadamu.(Hadis Hasan riwayat Imam Ahmad dan Ad-Darimi dengan sanad yang baik)

"Macam mana nak bezakan antara was-was dan rasa tak tenteram dalam hati?"
"Ulama' kata, was-was tu datangnya dari syaitan. Kene cuci hati dulu untuk hilangkan was-was."

Kata-kata yang memberi kesan mendalam pada saya. Sentiasa terngiang-ngiang di telinga dan bermain dalam fikiran. Rupanya, bukan sebarangan hati boleh memberi fatwa atau petunjuk kepada diri. Hanya hati yang suci, mampu membolehkan kita atau memberikan kita keputusan sama ada sesuatu perkara itu baik atau sebaliknya.

Maka, mari sama-sama kita muhasabah kembali. Bila kali terakhir kita cuci hati kita?
Agak-agak hati kita, bagaimana keadaannya sekarang?

Dosa-dosa kita sewaktu bergaul seharian dengan teman-teman dan masyarakat.
Dosa membuang masa dengan sia-sia.
Dosa bercakap perkara-perkara lagho.
Dosa solat di akhir waktu.
Dan macam-macam lagi. Sudahkah kita pinta ampunan dariNya?
*Peringatan : Taubat bukan untuk penzina dan peminum arak sahaja.

Bila kali terakhir kita bercakap dengan Allah?
Bila kali terakhir kita solat dengan sebenar-benar solat?
Bila kali terakhir air mata kita bergenang membaca ayat-ayat Allah?
Bila kali terakhir kita menangis sewaktu berdoa kepadaNya?
Bila kali terakhir kita rasa diri kita hamba yang sangat perlu kepadaNya?




Ya Allah, terima kasih atas peringatan ini.
Semoga aku, ibu bapaku, dan insan-insan yang aku kasihi sentiasa dalam jagaanMu..
Golongkanlah kami dalam golongan insan-insan yang Engkau kasihi...
Amin...


Baca link untuk huraian lanjut berkenaan hadith di atas.

Wednesday, September 29, 2010

Setelah ku dipaling

Suka sangat tengok orang yang Allah hadiahkan hidayah di celah-celah kejahilan diri.
Mereka sangat bersih ibarat bayi yang baru lahir ke dunia.
Bersungguh-sungguh untuk mencari Tuhan dan mengekalkan hidayah yang dikurniakanNya.

Baru-baru ini, pulang ke Malaysia, Allah beri peluang untuk bertemu dengan murabbi pertama dalam hidup ini. Didikannya tegas, tapi lembut dalam menyetuh hati-hati untuk kembali mencari hakikat diri.

Di kesempatan itu, anak beliau, yang sebaya dengan saya, berkongsi sedikit tentang kehidupannya. Beliau yang sejak kecil bersekolah agama(MATRI), terdidik dengan biah solehah di sana. Namun semenjak memasuki alam kampus, ditakdirkan pula sebilik dengan rakan-rakan pelbagai aliran, menghantar rasa kurang selesa dalam diri beliau. Namun, itu tidak melunturkan semangatnya, malah beliau rasa bertanggungjawab untuk menyampaikan dakwah kepada rakan-rakannya.

Ditakdirkan Allah berkat kemuliaan peribadinya, dan kesabarannya berhadapan dengan jahiliah rakan-rakannya, beserta iringan doa buat mereka, salah seorang dari rakannya semakin hari semakin rapat dengan beliau. Perubahan dapa mula dilihat dari cara berpakaian, amalan harian dan perhubungan dengan lelaki.

Suatu hari, rakannya yang dihadiahkan Allah hidayah itu, mengajaknya untuk solat hajat bersama. Lantas ukhti ini pun bertanya kepada rakannya,

"Awak nak hajat apa untuk solat ni?"

"ye la..nak solat hajat kenelah ada hajatkan...saya hajat dan harap sangat Allah kurniakan saya KEIMANAN.."

Subhanallah!!Betapa hidayah itu milik Allah. Mulia sungguh hati insan ini yang berhajatkan keimanan kepada Tuhannya, yang dipohon pada Pemiliknya. Sedangkan diri ini masih lagi terleka dengan hajat-hajat duniawi yang tak pernah puas bila dikecapi.

Semoga Allah kurniakan hidayah itu buat diri ini, dan rakan-rakan pembaca semua.
Semoga hati-hati kita kembali disuluh dengan cahaya ilahi.
Mari, ikhlaskan hati, tingkatkan amal, bersama-sama mengorak langkah menuju redha Ilahi.




^melihat SATU kepada banyak, melihat banyak kepada SATU^

Wednesday, September 22, 2010

oh kedua-duanya penting!!!


Muhasabah Diri
Kadang-kadang tak tahu apa yang dipelajari.
Tak pasti sejauh mana ilmu yang diperoleh, mampu untuk diaplikasikan lagi pada masa akan datang.
Sebab belajar kini, tak seperti sewaktu di sekolah dahulu, pelajaran selama 2tahun, diuji dengan ujian 2jam setengah yang akan menentukan masa depan. Sekurang-kurangnya, ilmu selama 2 tahun itu, nak tak nak harus ditelaah sehabis baik supaya berjaya dalam peperiksaan.

Kini, segala yang dipelajari selama 3 atau 4 bulan, akan diuji dalam masa 1jam. Ujian yang menentukan lulus atau tidak, berjaya menyambung pengajian ke tahun berikutnya atau tersadai mengulangi tahun yang sama.

Pening Memilih Subjek
Lagi 1 semester, aku akan melangkah ke tahun akhir pengajian. Kebiasaan di sini, pelajar tahun akhir sudah tidak lagi mengambil subjek. Seluruh masa hanya ditumpukan pada lab research sahaja. Maka inilah semester akhir untuk menimba sebanayk ilmu di sini, ini juga semester yang menentukan samada aku dapat terus melangkah ke tahun 4 pengajian, atau terpaksa mengulangi tahun 3 sekali lagi untuk mencukupkan jam kredit demi memasuki tahun 4.

Alhamdulillah, semester lepas telah berlalu dengan result semester yang multi colour.
Habis semua gred aku sapu untuk semester lepas. Alhamdulillah tiada yang gagal.
Makanya untuk semester ini, hanya tinggal 4 subjek wajib yang harus kuambil.
Untuk subjek pilihan pula, jam kredit telah pun mencukupi. Maka persoalannya, haruskah kuambil lebih subjek?Subjek apa pula yang perlu diutamakan?

Oh, cita-citaku!
Saat ini terfikir, apakah cita-citaku?
Kalau nak jadi engineer, nak fokus dalam bidang apa?
Kalau nak jadi lecturer, nanti nak mengajar subjek apa?

Saat ni terkenang kembali segala yang telah dipelajari dari dulu hingga kini.
Apa aset yang aku ada?Apa kelebihan yang harus diasah?
Nak jadi engineer atau nak jadi lecturer?
Nak ambil subjek apa?

Kedua-duanya sama penting
Lepas tu pulak terfikir, mana yang lebih utama, result yang best, atau ilmu yang ingin dipelajari.
Ada subjek yang senior cakap, boleh/mudah untuk score(tapi tak pastilah aku boleh score atau tidak).
Ada subjek yang diminati dan ingin dipelajari, tapi tiada keberanian pula untuk kuambil.

Saat ini terfikir pula, kalau result cemerlang, alhamdulillah, peluang untuk sambung master(nak jadi pensyarah) semakin cerah.

Kalau ambil subjek yang diminati, tapi kemudian fail, lain pula ceritanya nanti.

Setakat ni masih tak dapat membuat keputusan apa yang terbaik untuk diri sendiri.

Cuma teringat pesanan nabi SAW,
"Tidak akan rugi sesiapa yang beristikharah dan tidak akan menyesal sesiapa yang bermusyawarah"
Semoga apapun keputusan yang diambil, diakhirnya harap diri ini tidak rugi dan tidak menyesalinya.

Jalannya Rasulullah SAW dah tunjuk, tinggal kita nak laksanakan atau tidak.
Pandangan anda semua sangat berharga buat saya dalam menentukan apa yang terbaik buat diri ini, smeoga tiada penyesalan di kemudian hari kelak.

みんな、よろしくお願い致します。

Saturday, June 12, 2010

Langit tak selalu cerah....

Hidup tidak selalunya indah...
Langit tak selalu cerah...

Usah mengharapkan kesenangan..
Dalam perjuangan perlu pengorbanan...

"Lebih baik belajar menerima takdir daripada menyesali apa yang telah berlaku.."

Teruskan langkah kakimu..

Demi waktu dhuha.
Dan demi malam apabila telah sunyi
Tuhanmu tidak meninggalkanmu, dan tidak pula membencimu
dan sungguh yang kemudian itu lebih baik bagimu daripada yang permulaan.
Dan sungguh, kelak Tuhanmu pasti memberikan kurniaNya kepadamu, sehingga engkau menjadi puas.
Bukankah Dia mendapatimu sebagai seorang yatim, lalu Dia melindungimu.
Dan Dia mendapatimu sebagai seorang yang bingung, lalu Dia memberikan petunjuk.
Dan Dia mendapatimu sebagai seorang yang kekurangan, lalu Dia memberikan kecukupan.
Maka terhadap anak yatim janganlah engkau berlaku sewenang-wenang.
Dan terhadap orang yang meminta-minta, janganlah engkau mengherdiknya.
Dan terhadap nikmat Tuhanmu, hendaklah engkau nyatakan dengan bersyukur.
(ad-Duha : 1~11)






Dalam sukar hitunglah kesyukuranmu...
Dalam senang awasi kealpaanmu...
Setitis derita melanda...
Segunung kurniaanNya...

Daripada Abu Said al-Khudri r.a. dan Abu Hurairah r.a., Nabi SAW bersabda:"Tidak menimpa seorang Mukmin suatu penyakit yang berpanjangan, kepayahan, sebarang jenis kesakitan, dan kesedihan malahan kedukacitaan, melainkan dihapuskan sebahagian dosa-dosanya." (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Daripada Abu Hurairah r.a., Nabi SAW bersabda:"Siapa yang Allah kehendaki kepadanya kebaikan, nescaya Allah mengujinya." (Riwayat al-Bukhari)

Yeay~
Allah sayang Dzulaikha.
Tuhanmu tidak meninggalkanmu, dan tidak pula membencimu
dan sungguh yang kemudian itu lebih baik bagimu daripada yang permulaan.
Dan sungguh, kelak Tuhanmu pasti memberikan kurniaNya kepadamu, sehingga engkau menjadi puas.
you just have to believe!!



~melihat SATU kepada banyak, melihat banyak kepada SATU~

Sunday, February 14, 2010

Khas Buat Housemateku

Post kali ini saya tujukan khas buat housemate tersayang. Telah 2 tahun kami ditakdirkan untuk serumah, Alhamdulillah Allah permudahkan segalanya kerana adanya mereka ini disekeliling saya. Tahun pertama kami serumah, masing-masing dalam fasa mengenali hati budi. Setelah 4 bulan di KRM, Klang, di Taman Bukit Pelangi kami ditemukan untuk tinggal serumah.

Kenangan Tahun Pertama(2007-2008)
Dengan semangat yang berkobar-kobar setelah berjaya menempatkan diri di JAD, kami merancang pelbagai aktiviti untuk kemudahan belajar kami bersama. Aktiviti menguruskan rumah dirancang dan disusun sebaiknya. Ada jadual memasak, membasuh pinggan malah mengelap meja pun ada. Kadang-kala di saat lapang pada hujung minggu kami bergotong-royong membersihkan toilet dan mengemas rumah.

Waktu makan kami pula sebelum maghrib, dan semua selesa dengan jadual makan yang sebegitu. Sambil makan kami akan menonton televisyen, pada masa tersebut cerita Bella agak famous dan kami semua memang mengikuti cerita tersebut. Pagi-pagi pula kami akan tunggu setiap ahli rumah bersiap dan akan turun sama-sama dari rumah menuju bus. Kalau seorang lambat, yang lain tetap akan tunggu. Sayang sangat dengan korang semua.

Yang menariknya, mungkin kerana semua ahli rumah ini agak skema, kurang rungutan yang didengar atau kuranglah rasa tidak puas hati antara satu sama lain kerana masing-masing seakan faham tanggungjawab masing-masing dan faham adat hidup bermasyarakat yang menuntut kerjasama kita dalam melakukan sesuatu.

Paling tidak dapat dilupakan adalah kenangan Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri yang kami adakan untuk batch 3. Bergotong-royong bersama-sama menyediakan juadah, sangat menggembirakan bila dapat buat rakan-rakan lain berkumpul dan melihat senyuman mereka yang hadir.

Tahun Kedua di JAD
Pada tahun kedua di JAD, kami dipecahkan pula, daripada duduk 1 batch, kepada campur-campur. Bukan nak cakap rumah tahun kedua ni tidak menarik, banyak pengalaman dan pengajaran yang kita boleh dapati apabila bergaul dengan orang yang tidak sebaya dengan kita sebenarnya. Boleh berjumpa dengan orang-orang yang mempunyai gaya berfikir yang pelbagai, dan minda sedikit terbuka dengan perkembangan sekeliling. Tidak hanya berada dalam dunia kita sahaja. Namun, kerana post ini untuk mereka yang serumah dengan saya selama 2 tahun ini, maka saya hanya bercerita tentang mereka sahajalah ya.

Kenangan Tahun Ketiga(2009-2010)
Akhirnya, setelah diberi peluang untuk kembali duduk serumah dengan batch sendiri, dan diberi peluang pula untuk memilih teman serumah, kami sepakat untuk tinggal serumah kembali. Banyak konflik juga sebenarnya apabila diberi pilihan sendiri untuk memilih teman serumah, kerana mungkin banyak hati yang akan terluka apabila kita tidak memilih mereka, atau mungkin kita sendiri yang terluka apabila ada yang memilih untuk tidak serumah dengan kita. Namun, apabila kami memilih untuk serumah kembali, semua tiada komen kerana kami bukanlah terlalu rapat antara satu sama lain, tapi kami mungkin sudah dapat menerima segala baik buruk teman serumah kali ini sebab pengalaman yang lalu.

Alhamdulillah, tahun ketiga ini selari dengan peningkatan umur barangkali, semua semakin matang mengharungi kehidupan bersama. Kami sudah tidak perlukan jadual lagi untuk memasak, membasuh pinggan dan mengemas rumah. Semua seakan-akan sudah faham kalau hari ini Kah yang memasak lauk, Nafisah akan volunteer masak nasi, adik akan tolong potong sayur, Saerah akan tolong menghidang dan saya tolong makan bersama. Hehe..Tapi begitulah keadaanya. Tanpa disuruh setiap hari akan ada yang volunteer memasak. Oleh sebab jadual kelas ME dan EE berlainan, kalau ME balik awal, budak ME akan masak, dan begitulah sebaliknya.

Begitu juga kalau keadaan rumah terlalu kotor, pinggan banyak yang tidak berbasuh, instead of membebel dekat ahli rumah yang lain, akan ada yang volunteer untuk tolong mengemas dan membasuh pinggan tanpa disuruh pun. Tiada pula isu ungkit-mengungkit yang berlaku. Tapi sendiri faham la kalau dalam minggu ni atau bulan ni kita tidak pernah lagi memegang penyapu menyapu rumah, atau tidak pernah lagi mengemas dapur, maka rajin-rajinkanlah diri untuk buat bagi pihak orang lain pula. Dan kerana konsep ‘sendiri mau ingat’ tugas masing-masing ni sangat difahami oleh ahli rumah ini, menjadikan saya sangat bersyukur ditempatkan bersama mereka.

Untuk Kah
Terima kasih sebab selalu bagi pinjam broadband saat-saat saya sangat memerlukannya. Terutamanya ketika malam Rabu, malam yang saya perlu post artikel untuk azzariyat. Kah yang tidak pernah mengeluh dan meminta bayaran walaupun boleh dikatakan sejak ketiadaan internet setiap malam Rabu saya dengan muka tebalnya akan meminjam broadband kah. Terima kasih sangat Kah. InsyaAllah, you got the share too. Terima kasih jugak kah sebab selalu tolong basuh pinggan kat dapur tanpa mengeluh. Sayang Kah sangat. Kalau tak bagi pinjam pun sayang jugak. =D

Untuk Fani@Adik
Sebab Fana panggil Fani adik, maka yang lain pun terikut-ikut jugak. Lagipun bila panggil adik ni terasa lebih mesra sedikit. Nak buli pun takde la rasa bersalah sangat, sebab macam buli adik sendiri. Hehe..gomenne adik atas kenakalan saya selama ni. Terima kasih adik sebab selalu teman saya makan kat shasha semenjak kami memberhentikan aktiviti memasak ni. Terima kasih jugak sebab adik tak pernah mengungkit walaupun hampir setiap hari adik terpaksa mengunci pintu rumah dan menutup lampu di ruang tamu sebab orang lain semua tidur awal. Sayang sangat kat adik. Duduk kat Kinki nanti jangan lupa kat saya ye. =D

Untuk Nafisah@K.cah
Terima kasih sebab menjadi pendengar yang setia pada masalah-masalah saya. Terima kasih juga sebab tak pernah berkira dalam aktiviti mengemas rumah. K.cah yang paling rajin dan pandai memasak antara kami semua. K.cah yang paling rajin mengelap meja makan. Really appreciate it.Terima kasih jugak sebab selalu jadi imam solat asar kitorang kat rumah ni. Sayang k.cah sangat. Terima kasih untuk segalanya.

Untuk grosh@sae
Last but not least for my future housemate too, saerah.Mungkin sebab selalu bersama-sama sae kemana-mana pun, saya jarang dapat mengucapkan terima kasih kepadanya. Betullah orang cakap, bila kita sudah terbiasa dengan kebaikan, kita jarang bersyukur malah merasakan ia adalah suatu hak yang perlu kita perolehi, jadi tidak perlu lagi berterima kasih. Tapi hakikatnya, banyak yang saya terhutang budi dengan sahabat yang seorang ini. Terima kasih sebab selalu mengetuk pintu bilik saya sebelum ke sekolah untuk memastikan saya tidak terlewat. Terima kasih sebab selalu menghalalkan makanan-makanannya yang saya makan tanpa izin. Terima kasih sebab tak pernah berkira dengan saya. Terima kasih sebab selalu menasihatkan saya dan mengingatkan saya. Sayang sangat ke mung sae. Terima kasih atas segalanya.

Terima Kasih Tuhanku
Setinggi-tinggi kesyukuran kepada Allah SWT, Dia Yang Maha Memberi kerana mengurniakan saya sebaik-baik insan sebagai teman serumah yang sangat membantu dalam memudahkan kehidupan yang amat sibuk di JAD ini. Nikmat yang tidak terhingga ini, menjadikan diri saya berasa sangat rendah diri dan terhina, kerana terasa seakan-akan sayalah yang paling bermasalah dan teruk apabila hidup di kalangan insan-inan yang sangat baik dan memahami ini. Seakan-akan sayalah yang paling tidak menyumbang dalam rumah ini.

Apa-apa pun, inilah peluang untuk saya kembali memuhasabah diri. Semoga saya juga termotivasi dengan kebaikan mereka, semoga saya juga dapat menjadi teman serumah yang menyenangkan buat orang lain, walaupun mungkin tidak mampu untuk menjadi sebaik mereka.

Akhir kata, salama sayang dan rindu dari saya buat semua.

Hadirnya keempat-empat kamu dalam hidup saya, sangat besar ertinya buat diri ini.

Semoga ukhwah ini dapat kita jalinkan hingga ke syurganya.

Berpisah di kehidupan sementara ini, semoga bertemu kembali di sana nanti.


p/s : saya tidak perlu berfikir 2 kali untuk mempromote mereka menjadi surirumah tangga anda semua yg masih mencari-cari calon kerana saya yakin mereka mampu untuk menjadi surirumah tangga yang baik...serius, tak tipu=)

Wednesday, January 6, 2010

tak semudah yang disangkakan

"Ape ni mazni, dah setengah jam dalam kereta, tak gerak-gerak pon lagi...."

"Haha...mati enjin lagi...korang ni reti bawak kereta ke tak?hehe.."

"kalau gerak macam siput ni...bile kite nak sampai?"

Astaghfirullah...kejam kan saya?pasti ramai sahabat-sahabat saya di luar sana terutamanya mazni, siti shafarwati, diyaizzati dan lain-lain pernah merasakan betapa tensionnya mendengar mulut ini mengomel dan mengkritik mereka memandu kereta. Hanya kata maaf yang mampu kuucapkan, semoga segalanya tidak berbekas di hati kawan-kawan semua. Gomennasai...

Tak semudah yang disangkakan
Alhamdulillah, akhirnya diberi peluang juga oleh Allah SWT untuk mendalami ilmu baru, ilmu memandu kereta. Akhirnya dapat juga keizinan daripada mak dan ayah untuk mendapatkan lesen memandu setelah berbagai-bagai hujah diberikan. Ternyata, ianya tidak semudah yang disangkakan.


Enjin mati di persimpangan.
Termasuk gear salah.
Tertukar kiri dan kanan.

Dan banyak lagi masalahnya. Maka, hari ini, saya belajar untuk menghargai mereka yang banyak memandu saya kemana-mana. Mak, ayah, Farah, Mas, Mazni dan lain-lain. Saya juga belajar untuk mengomen secara empati. Tak semua perkara mudah di dunia ini. Mungkin mudah bagi orang lain, tak mudah pula bagi sesetengah yang lain.

Mulut dan hati
Apa yang terluah di mulut, selalunya akan memberi kesan di hati. Sedari kecil terkenal sebagai seorang yang agak laser, hingga terbawa-bawa ke sekolah menengah, juga ke JAD, banyak hati yang telah saya calari dengan kata-kata yang menyakitkan. Walaupun hakikatnya, kebanyakannya hanyalah sekadar gurauan di bibir saya.

Walaupun kata maaf saya tidak dapat menyembuhkan luka-luka lama di hati anda semua, ketahuilah, hanya itu yang mampu saya ucapkan saat ini. Dan saya hanya mampu berdoa agar Allah membuka hati kalian untuk memaafkan segala kekhilafan diri ini. InsyaAllah, saya akan lebih berhati-hati selepas ini.


Belajarlah untuk melihat orang lain dengan pandangan mata hati kita. Tiada yang tidak pernah melakukan kesilapan dalam hidup ini. juga, tiada manusia yang sempurna segalanya dalam dunia ini. Maka, berpijaklah di alam realiti, nilailah seseorang dengan mata hati kita. Agar mulut dan tindakan kita tidak bertindak sewenang-wenangnya dalam menghakimi orang lain.

Azam Tahun Baru

#Banyakkan berfikir daripada berkata-kata, tak semua yang baik pada pandangan kita, baik pada pandangan orang lain. Gunakanlah neraca Allah untuk menilai baik buruk dalam hidup ini.

#Kurangkan gurauan yang berlebihan dan menghiris perasaan orang. Mungkin saya tidak banyak bergurau berlebihan dengan rakan-rakan JAD, tapi mai, nisa, wawa, maimis, mazni knows me better. InsyaAllah, i'll try my best to zip my lips and i'll learn ways to communicate appropriately.

#Banyakkan mengisi masa dengan membaca.


Semoga segala yang diimpikan, bisa direalitikan. InsyaAllah.
Last words, friends, sorry for all my wrong doing and please help me to improve myself and pray for my success. Love all of you...


XOXO
Dzulaikha Mat Zaini


p/s : saya QTI test hari jumaat ni, doakan ye...

>melihat SATU kepada banyak, melihat banyak kepada SATU

Friday, January 1, 2010

Memori di JAD dan harapan 2010

Terasa seperti masa terlalu cepat berlalu. 2010 menjelma juga akhirnya. InsyaAllah bulan mac ini, saya dan rakan-rakan akan berangkat meninggalkan Malaysia. Berpisah mencari sebuah kehidupan untuk masa depan masing-masing. Post ini lebih kepada hidup saya selama 3 tahun di JAD. Kenangan yang amat berharga sepanjang 20 tahun hidup saya ini. Di sini tempat saya mengenal kembali diri saya dan untuk apa saya hidup. Bumi tempat saya menerima tarbiyah. Pastinya kenangan itu sangat manis. Dan tarbiyah itu menjadi bekalan untuk menempuh kehidupan penuh cabaran di masa akan datang.

Semoga pengajaran 3 tahun ini, akan menjadikan saya dan rakan-rakan semua insan yang lebih berjaya dalam meniti kehidupan di dunia dan akhirat.

Menyingkap Memori
2007 : Matrix
Tanggal 7 Januari 2007, saya dan rakan-rakan lain telah diterima untuk program intensif bahasa inggeris dan bahasa jepun. Sejak itu, kami membina ukhwah, berkenalan dan bersahabat dengan orang dari serata negeri. Sebilik dengan Baqiah dan Afiqah, banyak membantu saya untuk mempelajari dialek kelantan. Suatu yang amat saya hargai. Terima kasih kepada kamu berdua.

Tahun ini juga, saya diterima menjadi pelajar JAD. Seminggu selepas mendaftar, seseorang telah datang, menjalin hubungan, menawarkan sesuatu yang berharga buat diri ini dan rakan-rakan. Alhamdulillah, Allah mempermudahkan jalan saya untuk mendekatiNya. Tarbiyah datang tanpa dipinta.

Program-program ilmu pula sangat banyak memenuhi hujung-hujung minggu. Tahun yang sangat bermakna buat saya. Terima kasih kepada sempai-sempai yang tidak jemu-jemu mengajak untuk ke majlis-majlis ilmu ini.

Prestasi akademik juga meningkat, membuatkan hati ini lebih yakin. Yakin yang terjun ke medan tarbiyah dan dakwah bukanlah suatu keputusan yang salah, walaupun banyak masa dicurahkan di sini.

Kepada kouhai tachi : Walaupun dah agak lambat, tapi pesan akak gunakanlah masa anda di zaman matrix dengan sebaiknya untuk menggali ilmu-ilmu yang banyak di bumi JAD. Carilah matlamat sebenar anda di sini.

2008 : U1
Tahun ini adalah tahun yang penuh cabaran buat saya. Tahun yang paling banyak ujian dariNya. Tahun yang penuh dengan kedukaan yang mendewasakan. Tahun yang banyak mendedahkan saya realiti medan juang ini. Tahun yang paling banyak kesilapan dan konflik.

Sungguh, jalan ini tidak ditaburi dengan karpet merah dan kemewahan, tapi penuh dengan duri-duri dan cabaran. Cabaran yang mendewasakan.

Konflik dengan rakan-rakan.
Konflik dengan sempai.
Konflik dalaman untuk memilih yang terbaik buat diri sendiri.

Tarbiyah setahun itu, belum cukup untuk saya menjadi seorang hamba Ilahi yang sempurna. Maka, banyak kesilapan yang dilakukan dalam proses mengenali diri sendiri dan menegakkan apa yang dirasakan benar. Kesilapan yang banyak mengajar saya untuk menjadi seorang pemikir. Berfikir sebelum bertindak dan berkata-kata. Kata orang, ibarat menarik rambut di dalam tepung, berhati-hati agar tepung tidak berselerak dan rambut tidak terputus.

Kepada sesiapa yang pernah terlibat dalam konflik bersama saya tahun 2008 dulu, hanya maaf yang mampu saya ucapkan atas segala kekhilafan diri. Saya juga seorang manusia yang tidak terlepas dari berbuat salah. Kata-kata yang tidak sedap didengari, tindakan yang kurang ajar dan sebagainya, harap tidak berbekas di hati kalian.

Tahun ini juga, saya membuat keputusan yang besar dalam hidup saya. Melaburkan diri dalam medan dakwah secara serius, demi mengutip janjiNya di akhirat nanti. Demi sebuah pembelaan, yang saya juga sebahagian daripada pejuang agamaNya.

2009 : U2
Tahun ini adalah tahun kenangan. Tahun saya meneliti kembali segala potensi diri untuk bergerak mencapai redha Ilahi.

Ada jatuh, ada bangunnya sendiri.

Yang pasti, tahun ini lebih tenang daripada tahun-tahun sebelumnya. Fokus saya hanya kepada pentarbiyahan diri, dan belajar untuk memberi. Memberi demi diri sendiri.

Pelajaran yang semakin sukar, mengajar saya erti kegagalan. Hidup ini ibarat roda. Up is good, but down is not for eternal. Kita tidak selalu berada di atas. Adakalanya perlu berada di bawah, agar dapat belajar kerendahan hati dan kesabaran.

Hubungan sesama rakan dan kouhai semakin baik. Tahun yang menceriakan keseleruruhannya.

Hanya iman yang naik dan turun secara ekstrim. Menstabilkannya adalah terlalu sukar. Semoga Allah kuatkan hati ini untuk terus berusaha mencapai redhaNya dalam hidup ini.

Tahun ini juga, saya mula bergiat aktif sebagai seorang penulis dan blogger. Menulis di sini dan juga di azzariyat. Balajar melakar kata-kata yang mampu menyuntik hati sendiri dan orang sekeliling, agar sama-sama mendapat manfaat untuk hari akhir nanti. Sukar sebenarnya untuk menjadi seorang penulis yang merealisasikan kata-katanya sendiri. Terbayang azab Allah terhadap golongan yang hanya pandai berkata-kata, membuatkan kadangkala saat iman menurun, saya bertindak menyepikan diri. Takut diri ini tidak mampu untuk melaksanakannya.

Semoga segala yang telah berlalu, memberi pengajaran buat diri ini untuk memperbaiki diri pada tahun-tahun akan datang.

Harapan 2010
Takut sebenarnya melangkah ke tahun baru ini. Takut untuk berazam baru, takut untuk meniti hari-hari yang mendatang. Semoga segalanya lebih baik daripada tahun-tahun sebelumnya. Ada beberapa perancangan sebelum melangkah keluar dari bumi Malaysia. Rasa tanggungjawab untuk meninggalkan sesuatu yang berharga buat kouhai tachi di sini. Agar tarbiyah di bumi JAD ini akan berterusan.

Peperiksaan akhir yang hanya tinggal sebulan sahaja lagi, harap dapat dihadapi dengan sebaiknya.


Ya Allah, bantulah kami semua untuk menjalani kehidupan ini dalam redhaMu.
Bantulah kami untuk memperbaiki diri kami, dan meningkatkan amal kami untuk dipersembahkan kepadaMu nanti.
Ikhlaskanlah hati kami dalam setiap amal kami. Semoga segalanya diterima disisiMu.

Amin.


>melihat SATU kepada banyak, melihat banyak kepada SATU