Saturday, October 24, 2009

Kita takkan mampu

Ingin saya kongsikan sebuah hadith yang sangat memberi kesan kepada hati ini. Semoga kita semakin sedar dengan kekerdilan kita sebagai hamba dan kekuasaanNya sebagai Pencipta dan Penguasa seluruh alam.

Anas meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW pernah menjenguk salah seorang kaum muslimin yang keadaannya lemah hingga seperti orang yang sangat lemah badannya lantaran beratnya penyakit yang dihidapinya.

Rasulullah SAW kemudian bertanya,

“Apakah engkau berdoa dengan sesuatu atau memohon sesuatu kepadaNya?”

“Benar, aku berdoa: Ya Allah, janganlah engkau hukum aku kerananya di akhirat, tapi segerakanlah hukuman untukku di dunia,” jawab orang tersebut.

Maka Rasulullah SAW berkata,

“Mahasuci Allah, engkau tidak akan mampu dan tidak akan sanggup(menerima hukumanNya). Mengapa engkau tidak berdoa, ‘Ya Rabb kami, berikanlah kebaikan kepada kami di dunia dan akhirat, serta jauhkanlah kami dari api neraka’.”

Anas berkata, “Maka Rasulullah SAW pun mendoakannya hingga Allah pun menyembuhkannya.”

[Hadith riwayat Muslim(2688) dan sebahagiannya diriwayatkan oleh al-Bukhari(4522)]

Ketahuilah yang kita takkan mampu untuk menerima azabNya di dunia mahupun akhirat. Tetapi pohonlah keampunan atas segala salah silap yang kita lakukan kerana sesugguhnya Dia Maha Pengampun lagi Maha Penerima Taubat. Semoga kita semua terkesan dengan hadith ini.

Sumber : Seni Menikmati Ujian-Hani Saad Ghunaim


>melihat SATU kepada banyak, melihat banyak kepada SATU<

No comments:

Post a Comment