Friday, March 26, 2010

Jepun di mataku...

Alhamdulillah, selamat tiba di Narita Airport pukul 6.05pm waktu Jepun. Maka bermulalah kembara saya di bumi sakura. Pengembaraan mencari ilmu yang menuntut pelbagai pengorbanan. Terkenang kembali buku tulisan Ustaz Hasrizal, “Rindu Bau Pohon Tin” yang saya hadam seminggu sebelum bertolak ke sini. Hingga saat ini saya masih memikirkan berbaloikah pengorbanan ini?Sedangkan banyak keuntungan dan pastinya lebih mudah untuk belajar di negara sendiri bergaul, makan, hidup di tanah air sendiri.

Berkorban untuk tinggal berjauhan dengan keluarga.

Berkorban untuk belajar ilmu kejuruteraan menggunakan bahasa dan tulisan yang sangat asing.

Berkorban untuk tertinggal majlis-majlis perkahwinan adik-beradik dan saudara-mara.

Berkorban untuk meninggalkan makanan yang sedap-sedap di tanah air.

Berkorban untuk hidup di Negara asing yang tidak faham tentang Islam.

Berkorban meninggalkan zaman belajar universiti tempatan bersama-sama teman seperjuangan.

Akhirnya, saya menyimpulkan bahawa berbaloi atau tidaknya pengorbanan ini, segalanya bergantung kepada diri saya sendiri. Segalanya bergantung kepada bagaimana saya melalui kehidupan di sini, yang menjadikan segala yang saya korbankan ini, membuahkan pengajaran berguna untuk kehidupan dan masa depan saya sendiri.

Hari ini, saat artikel ini ditulis, merupakan hari ke-5 saya di sini. Terdapat beberapa pandangan tentang Jepun terbentang di mata saya. Segala imej yang saya bayangkan dahulu, lenyap entah kemana dan menimbulkan pelbagai imej baru di mata saya.

Sejuk

Ya, Jepun sangat sejuk rupanya. Sejuk yang tidak tergambar oleh saya sebelum ini. Selalunya di Malaysia, cuaca panas menyebabkan kita masuk ke bilik berair-cond, tetapi di sini, keluar sahaja bilik, terasa seakan ada air-cond besar yang sentiasa berangin, dengan suhu yang amat rendah. Serius sejuk. Subhanallah, ternyata air-cond yang Allah ciptakan ini maha hebat berbanding ciptaan manusia.

Menakutkan

Saat pertama kali dibawa keluar ke bandar oleh sempai tachi, saya dapat merasakan Jepun adalah sebuah negara yang menakutkan. Walaupun banyak yang mengatakan Jepun Negara yang selamat, dan saya juga yakin tentang itu, tetapi mungkin kerana kita merupakan warga asing di sini, terasa sangat takut. Takut sesat. Takut nak berhadapan dengan orang Jepun. Takut dengan pandangan pelik masyarakat sini. Takut dengan deretan makanan-makanan sedap yang tidak halal. Takut dengan waktu solat yang tidak seperti Malaysia. Takut dengan cuaca sejuk yang melahirkan malas dan macam-macam lagi.

Mudah

Walaubagaimanapun, hidup di Jepun mengajar saya 1 perkara. Yakni mengajar saya bahawa Islam itu mudah sebenarnya. Mampu diamalkan oleh semua peringkat. Tidak mustahil untuk diamalkan walau di mana jua kita berada. Saya belajar untuk mengurangkan was-was dalam wudhu’ dan solat apabila terpaksa mengambil wudhu’ dalam keadaan cuaca yang sejuk, juga belajar untuk yakin bersolat di mana jua kerana hakikatnya bumi Allah ini bersih.

Macam-macam

Macam-macam saya jumpa di sini. Macam-macam jenis orang, dengan bermacam-macam pula perangai dan peribadi. Macam-macam pula peraturan yang dibuat untuk kemudahan bersama. Macam-macam jenis makanan yang tidak lalu diterima oleh tekak ini. Terasa ingin pulang sahaja ke Malaysia apabila terpaksa berlapar kerana tidak dapat menerima dengan baik makanan-makanan di sini. Terkenang kembali dialog bersama teman-teman sebilik di sini,

“Kalau ada doraemon kan best. Boleh mintak pintu suka hati.”

“Haah la. Nak balik Malaysia. Tak kenyang makan kat sini…”

“huhu..tu la…kalau ada pintu suka hati boleh la kite balik selalu…”

“ok, nanti saya belikan doraemon, awak mintakkan pintu suka hati dekat dia ek…”

Maka, roommate lain pun menjerit, “dzu……….dia buat serius pulak…”

Sekadar lawak serius di malam hari yang menyembunyikan rasa hati yang rindukan tanah air. Rindu mak ayah, rindu teman-teman, rindu makanan, rindu cuaca, rindu toilet, rindu segalanya. Kesusahan di sini menjadikan saya membenarkan peribahasa, hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, lebih baik di negeri sendiri. Semoga pengembaraan ini mematangkan diri, melahirkan insan baru yang lebih matang, sabar dan berhati-hati dalam menjalani hidup penuh dugaan ini.

p/s : Doakan saya ye kawan-kawan. Doa kalian penguat semangat saya untuk terus bertahan dan bersabar dengan kehidupan di sini. Mohon sangat…

Tempat orientasi, tinggal di sini sehingga 31Mac ni InsyaAllah



Tuesday, March 2, 2010

tentang saya dan...

Maaflah kerana terlalu lama tidak mengupdate blog ini. Ingatkan minggu peperiksaan adalah minggu yang tersibuk, tapi nampaknya selepas peperiksaan lebih sibuk. Tambahan pula apabila berada di rumah sendiri bersama keluarga, komitmen dan tanggungjawab lebih besar berbanding di hostel menguruskan diri sendiri sahaja. Ala kulli hal, berikut adalah perkembangan terbaru saya untuk teman-teman yang sentiasa tertanya-tanya, bila lah budak ni nak fly.

Perkembangan Terbaru
InsyaAllah, saya dijangka akan bertolak ke jepun pada 21 Mac ini. Teringin sangat nak jumpa kawan-kawan lama sebelum fly, harapannya anda dapatlah menghubungi saya dalam masa terdekat ini untuk kita sama-sama spend masa. Maaf kerana tidak dapat menghubungi anda semua kerana saya kehilangan handphone baru-baru ini, makanya saya juga kehilangan nombor telefon rakan-rakan semua kecuali mereka yang masih setia menghubungi saya. Btw, weekend ni cadangannya nak overnite kat rumah nisa, sesiapa(x-schoolmates) yang nak join meh la. =)

Yang ini pula terbuka kepada rakan-rakan JAD yang berminat nak melawat Taiping, bandar bersejarah pada 13 & 14 Mac ini, dialu-alukan untuk bermalam di rumah saya. Penginapan percuma, cuma tambang sendiri-sendiri la ek. Banyak la juga tempat-tempat menarik di sini. Boleh naik Maxwell Hill, mandi air terjun belakang rumah saya, night SAFARI, bersiar-siar di tasik buatan tertua di Malaysia dan macam-macam lagi. InsyaAllah, tak rugi. Siapa yang berminat boleh hubungi saya terus.

Memasang Niat
Antara perkara terpenting sebelum kita melakukan sesuatu adalah memasang niat yang betul. Tiada siapa dapat menafikan hal ini, malah para ulama' juga sebelum menghasilkan karya-karya tertentu, banyak yang memulakannya dengan hadith niat. Rasulullah SAW bersabda,

“Segala amalan adalah berdasarkan niat. Setiap orang hanya mendapat apa yang diniatkan. Justeru, sesiapa yang penghijrahannya adalah menuju kepada Allah dan RasulNya, maka penghijrahannya adalah penghijrahan kepada Allah dan RasulNya. Sesiapa yang penghijrahannya kerana dunia yang bakal diperolehi atau kerana wanita yang bakal dikahwini maka penghijrahannya adalah penghijrahan menuju kepada apa yang dingininya”.Hadis Sahih Bukhari dan Muslim

Jadi, rasanya antara perkara terpenting yang perlu kita(rakan batch3) lakukan adalah menyenaraikan dan memasang niat yang betul untuk kita berhijrah ke Jepun. Umar Abd Aziz dikatakan tidak akan keluar rumah selagi tidak memasang 40 niat. Makanya, kita perlukan berapa niat untuk ke Jepun? Terpulang kepada diri sendiri. Sedikit, biar semuanya tertunai dengan sebaik mungkin. Banyak, biar menjadi pemangkin untuk kita terus berusaha dan tidak membazir masa sesuka hati di sana.

Kalau dilihat kembali hadith di atas, insyaAllah setiap daripada kita akan mendapatkan setiap perkara yang kita niatkan. Ada beberapa orang sempai yang berkongsi niat mereka sebelum ke Jepun.

Ada sempai yang berniat untuk bergerak aktif dalam bidang dakwah di sana, maka Allah permudahkan beliau dengan jadual kelas yang tidak banyak, juga subjek yang sedikit untuk grad.

Ada pula sempai yang berniat untuk belajar bersungguh-sungguh di jepun, maka Allah hadiahkan beliau lecturer yang kibishii(strict) dan jadual yang padat, exam yang susah.

Maka, pentingnya untuk kita memasang niat yang betul sebelum melangkah meninggalkan Malaysia kerana akan mempengaruhi kehidupan kita di sana nanti. Apapun cabarannya, sentiasa bersangka baik dengan Allah SWT atas setiap yang dihadiahkanNya dalam hidup kita. Penting juga untuk kita sentiasa memelihara niat kita untuk memastikan kita berada di trek yang betul.

Penutup
Saya tidak pasti adakah ini post terakhir sebelum fly ataupun tidak. Namun, di kesempatan ini saya ingin memohon maaf jika selama ini ada mengasari anda semua. Minta halalkan segala yang terlebih dan terkurang dari saya. Sesiapa yang saya masih berhutang dengannya mohon tuntutlah dari saya sebelum saya pergi. Mungkin ada yang terlepas pandang sebelum ini.

Hidup ini banyak dugaannya. Kita tidak dapat nak pastikan samada masa depan itu lebih baik atau tidak untuk kita semua. Saya mohon doa daripada semua agar diri ini tetap teguh di atas jalanNya. Tegurlah segala salah silap saya, dan tariklah saya kembali ke trek yang sebenar andai satu hari nanti saya terpesong dari jalanNya. Janganlah dipulaukan diri ini atau dibiarkan dalam kesesatan.

Akhir kata, hadam dan ambil pengajaranlah daripada cerpen ini. Semoga bermanfaat untuk kita semua.

Hasil tulisan saudara Hilal Asyraf(www.langitilahi.com). Terimalah A.I.E.

Sunday, February 14, 2010

Khas Buat Housemateku

Post kali ini saya tujukan khas buat housemate tersayang. Telah 2 tahun kami ditakdirkan untuk serumah, Alhamdulillah Allah permudahkan segalanya kerana adanya mereka ini disekeliling saya. Tahun pertama kami serumah, masing-masing dalam fasa mengenali hati budi. Setelah 4 bulan di KRM, Klang, di Taman Bukit Pelangi kami ditemukan untuk tinggal serumah.

Kenangan Tahun Pertama(2007-2008)
Dengan semangat yang berkobar-kobar setelah berjaya menempatkan diri di JAD, kami merancang pelbagai aktiviti untuk kemudahan belajar kami bersama. Aktiviti menguruskan rumah dirancang dan disusun sebaiknya. Ada jadual memasak, membasuh pinggan malah mengelap meja pun ada. Kadang-kala di saat lapang pada hujung minggu kami bergotong-royong membersihkan toilet dan mengemas rumah.

Waktu makan kami pula sebelum maghrib, dan semua selesa dengan jadual makan yang sebegitu. Sambil makan kami akan menonton televisyen, pada masa tersebut cerita Bella agak famous dan kami semua memang mengikuti cerita tersebut. Pagi-pagi pula kami akan tunggu setiap ahli rumah bersiap dan akan turun sama-sama dari rumah menuju bus. Kalau seorang lambat, yang lain tetap akan tunggu. Sayang sangat dengan korang semua.

Yang menariknya, mungkin kerana semua ahli rumah ini agak skema, kurang rungutan yang didengar atau kuranglah rasa tidak puas hati antara satu sama lain kerana masing-masing seakan faham tanggungjawab masing-masing dan faham adat hidup bermasyarakat yang menuntut kerjasama kita dalam melakukan sesuatu.

Paling tidak dapat dilupakan adalah kenangan Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri yang kami adakan untuk batch 3. Bergotong-royong bersama-sama menyediakan juadah, sangat menggembirakan bila dapat buat rakan-rakan lain berkumpul dan melihat senyuman mereka yang hadir.

Tahun Kedua di JAD
Pada tahun kedua di JAD, kami dipecahkan pula, daripada duduk 1 batch, kepada campur-campur. Bukan nak cakap rumah tahun kedua ni tidak menarik, banyak pengalaman dan pengajaran yang kita boleh dapati apabila bergaul dengan orang yang tidak sebaya dengan kita sebenarnya. Boleh berjumpa dengan orang-orang yang mempunyai gaya berfikir yang pelbagai, dan minda sedikit terbuka dengan perkembangan sekeliling. Tidak hanya berada dalam dunia kita sahaja. Namun, kerana post ini untuk mereka yang serumah dengan saya selama 2 tahun ini, maka saya hanya bercerita tentang mereka sahajalah ya.

Kenangan Tahun Ketiga(2009-2010)
Akhirnya, setelah diberi peluang untuk kembali duduk serumah dengan batch sendiri, dan diberi peluang pula untuk memilih teman serumah, kami sepakat untuk tinggal serumah kembali. Banyak konflik juga sebenarnya apabila diberi pilihan sendiri untuk memilih teman serumah, kerana mungkin banyak hati yang akan terluka apabila kita tidak memilih mereka, atau mungkin kita sendiri yang terluka apabila ada yang memilih untuk tidak serumah dengan kita. Namun, apabila kami memilih untuk serumah kembali, semua tiada komen kerana kami bukanlah terlalu rapat antara satu sama lain, tapi kami mungkin sudah dapat menerima segala baik buruk teman serumah kali ini sebab pengalaman yang lalu.

Alhamdulillah, tahun ketiga ini selari dengan peningkatan umur barangkali, semua semakin matang mengharungi kehidupan bersama. Kami sudah tidak perlukan jadual lagi untuk memasak, membasuh pinggan dan mengemas rumah. Semua seakan-akan sudah faham kalau hari ini Kah yang memasak lauk, Nafisah akan volunteer masak nasi, adik akan tolong potong sayur, Saerah akan tolong menghidang dan saya tolong makan bersama. Hehe..Tapi begitulah keadaanya. Tanpa disuruh setiap hari akan ada yang volunteer memasak. Oleh sebab jadual kelas ME dan EE berlainan, kalau ME balik awal, budak ME akan masak, dan begitulah sebaliknya.

Begitu juga kalau keadaan rumah terlalu kotor, pinggan banyak yang tidak berbasuh, instead of membebel dekat ahli rumah yang lain, akan ada yang volunteer untuk tolong mengemas dan membasuh pinggan tanpa disuruh pun. Tiada pula isu ungkit-mengungkit yang berlaku. Tapi sendiri faham la kalau dalam minggu ni atau bulan ni kita tidak pernah lagi memegang penyapu menyapu rumah, atau tidak pernah lagi mengemas dapur, maka rajin-rajinkanlah diri untuk buat bagi pihak orang lain pula. Dan kerana konsep ‘sendiri mau ingat’ tugas masing-masing ni sangat difahami oleh ahli rumah ini, menjadikan saya sangat bersyukur ditempatkan bersama mereka.

Untuk Kah
Terima kasih sebab selalu bagi pinjam broadband saat-saat saya sangat memerlukannya. Terutamanya ketika malam Rabu, malam yang saya perlu post artikel untuk azzariyat. Kah yang tidak pernah mengeluh dan meminta bayaran walaupun boleh dikatakan sejak ketiadaan internet setiap malam Rabu saya dengan muka tebalnya akan meminjam broadband kah. Terima kasih sangat Kah. InsyaAllah, you got the share too. Terima kasih jugak kah sebab selalu tolong basuh pinggan kat dapur tanpa mengeluh. Sayang Kah sangat. Kalau tak bagi pinjam pun sayang jugak. =D

Untuk Fani@Adik
Sebab Fana panggil Fani adik, maka yang lain pun terikut-ikut jugak. Lagipun bila panggil adik ni terasa lebih mesra sedikit. Nak buli pun takde la rasa bersalah sangat, sebab macam buli adik sendiri. Hehe..gomenne adik atas kenakalan saya selama ni. Terima kasih adik sebab selalu teman saya makan kat shasha semenjak kami memberhentikan aktiviti memasak ni. Terima kasih jugak sebab adik tak pernah mengungkit walaupun hampir setiap hari adik terpaksa mengunci pintu rumah dan menutup lampu di ruang tamu sebab orang lain semua tidur awal. Sayang sangat kat adik. Duduk kat Kinki nanti jangan lupa kat saya ye. =D

Untuk Nafisah@K.cah
Terima kasih sebab menjadi pendengar yang setia pada masalah-masalah saya. Terima kasih juga sebab tak pernah berkira dalam aktiviti mengemas rumah. K.cah yang paling rajin dan pandai memasak antara kami semua. K.cah yang paling rajin mengelap meja makan. Really appreciate it.Terima kasih jugak sebab selalu jadi imam solat asar kitorang kat rumah ni. Sayang k.cah sangat. Terima kasih untuk segalanya.

Untuk grosh@sae
Last but not least for my future housemate too, saerah.Mungkin sebab selalu bersama-sama sae kemana-mana pun, saya jarang dapat mengucapkan terima kasih kepadanya. Betullah orang cakap, bila kita sudah terbiasa dengan kebaikan, kita jarang bersyukur malah merasakan ia adalah suatu hak yang perlu kita perolehi, jadi tidak perlu lagi berterima kasih. Tapi hakikatnya, banyak yang saya terhutang budi dengan sahabat yang seorang ini. Terima kasih sebab selalu mengetuk pintu bilik saya sebelum ke sekolah untuk memastikan saya tidak terlewat. Terima kasih sebab selalu menghalalkan makanan-makanannya yang saya makan tanpa izin. Terima kasih sebab tak pernah berkira dengan saya. Terima kasih sebab selalu menasihatkan saya dan mengingatkan saya. Sayang sangat ke mung sae. Terima kasih atas segalanya.

Terima Kasih Tuhanku
Setinggi-tinggi kesyukuran kepada Allah SWT, Dia Yang Maha Memberi kerana mengurniakan saya sebaik-baik insan sebagai teman serumah yang sangat membantu dalam memudahkan kehidupan yang amat sibuk di JAD ini. Nikmat yang tidak terhingga ini, menjadikan diri saya berasa sangat rendah diri dan terhina, kerana terasa seakan-akan sayalah yang paling bermasalah dan teruk apabila hidup di kalangan insan-inan yang sangat baik dan memahami ini. Seakan-akan sayalah yang paling tidak menyumbang dalam rumah ini.

Apa-apa pun, inilah peluang untuk saya kembali memuhasabah diri. Semoga saya juga termotivasi dengan kebaikan mereka, semoga saya juga dapat menjadi teman serumah yang menyenangkan buat orang lain, walaupun mungkin tidak mampu untuk menjadi sebaik mereka.

Akhir kata, salama sayang dan rindu dari saya buat semua.

Hadirnya keempat-empat kamu dalam hidup saya, sangat besar ertinya buat diri ini.

Semoga ukhwah ini dapat kita jalinkan hingga ke syurganya.

Berpisah di kehidupan sementara ini, semoga bertemu kembali di sana nanti.


p/s : saya tidak perlu berfikir 2 kali untuk mempromote mereka menjadi surirumah tangga anda semua yg masih mencari-cari calon kerana saya yakin mereka mampu untuk menjadi surirumah tangga yang baik...serius, tak tipu=)

Thursday, February 4, 2010

jom tarik nafas dan berehat sebentar...

Saya pasti ramai(student U2) yang dah tak sempat nak menghadap laptop pun tika ini. Saya pun seperti anda semua juga. Tapi, kalau ada ruangan untuk berehat seketika, tariklah nafas dan hayatilah lagu ni. Semoga kita semua beroleh manfaat.





Semalam aku kelukaan,
kecewa kehampaan,
mencalar ketabahan,
mimpi yang sering ku harapkan,
menjadi kenyataan,
namun tak kesampaian.

Allah…
Inginku hentikan langkah ini,
bagaikan tak mampu untuk ku bertahan,
semangat tenggelam,
lemah daya,
haruskah aku mengalah,
namun jiwaku berbisik,
inilah dugaan.

Dan langkahku kini terbuka,
pada hikmah dugaan,
uji keimanan (menguji keimanan),
tak dilontarkanNya ujian,
di luar kekuatan,
setiap diri insan.

Allah…
Pimpinlah diriku,
tuk bangkit semula,
meneruskan langkah,
perjuangan ini,
cekalkan hati dan semangatku,
kurniakan ketabahan,
agar mimpi jadi nyata,
padaMu ku meminta.

Daku mohon agung kudratMu,
wahai Tuhan yang satu,
segalanya dariMu.

Lagu : Bazli
Lirik : Bazli & Atie

Ambillah peluang terakhir ini untuk kita membetulkan kesilapan semalam. Berusahalah selagi terdaya. Minna, gambaroune..


>melihat SATU kepada banyak, melihat banyak kepada SATU<

Wednesday, January 27, 2010

Hikmah orang tua dalam jiwa orang muda

Alhamdulillah, peluang menemui beberapa tokoh besar ISMA dalam program baru-baru ini benar-benar berharga buat saya dan rakan-rakan. Bak kata orang, hikmah orang tua itu seharusnya berada dalam semangat orang muda. Berkenalan secara dekat dari hati ke hati dengan tokoh-tokoh ini membuatkan saya terfikir bahawa, formula dakwah itu bukan sahaja kebolehan bercakap, ilmu yang tinggi, akhlak yang mulia tetapi juga kecemerlangan akademik yang mantap. Barisan-barisan pimpinan ISMA ini rupanya tokoh-tokoh yang hebat semenjak zaman remaja lagi. Masing-masing mempunyai rekod cemerlang dalam akademik di sekolah dan memperoleh peluang belajar di luar Negara. Hebatnya mereka ini, mereka bukan sahaja berjaya dalam bidang kerja yang diceburi, malah bergiat aktif dalam menyampaikan dakwah untuk memperbaiki umat hari ini.

Oleh itu, di kesempatan ini, ingin saya berkongsi dengan para pembaca sedikit biografi tokoh-tokoh hebat ini dan pesanan mereka untuk pedoman kita semua mengharungi hidup yang penuh liku ini.

En Aminuddin Yahaya

Beliau merupakan setiausaha agung ISMA semenjak penubuhannya. Orang yang paling tahu tentang selok belok ISMA, matlamat jangka pendek dan panjangnya, juga maklumat tentang semua kerjasama ISMA dalam dan luar Negara. Mendapatkan tarbiyah pertama sewaktu menuntut di UiTM pada tahun 1981. Melibatkan diri dalam debat semenjak sekolah.

Pesanannya : Sebarkan fikrah ini ke seluruh kelompok masyarakat.

Ustaz Abdul Halim

Merupakan Naib Presiden ISMA. Mendapat pendidikan dalam bidang kejuruteraan di Australia, kemudian berdegil untuk menyambung pelajaran di Mesir demi merasai tarbiyah IM sendiri. Sewaktu di Mesir sering solat berjemaah bersama Mustafa Masyhor dan ke rumah beliau. Seorang yang sangat cemerlang dalam bidang akademik semenjak kecil. Bercita-cita untuk ke Mesir sejak di tingkatan 4 dan Alhamdulillah dengan kedegilannya beliau berjaya menetap selama 10tahun di Mesir dan merasai sendiri tarbiyah IM. Menjadi junior Ustaz Lah(Presiden ISMA) di Mesir. Kini membuka pakej umrah sendiri dan tadika.

Pesanan : Gunakan segala masa, idea dan tenaga yang ada untuk sampaikan dakwah.

Dr Zainur Rashid

Merupakan seorang doktor pakar dan Timbalan Dekan IMU. Aktif bergiat dalam Aman Palestin dan ISMA. Cemerlang semenjak sekolah lagi. Terlibat dalam tarbiyah sejak tingkatan 3. Walaupun sibuk dengan kerjaya sebagai seorang doktor, tetap aktif di medan dakwah.

Pesanan : Dakwah utama pelajar adalah kecemerlangannya dalam bidang yang diceburi.

Ustaz Fauzi Asmuni

Naib Presiden 2 ISMA. Terlibat secara langsung dengan tarbiyah pelajar di luar Negara. Bekas pelajar SMAP Labu dan menyambungkan pelajaran di Mesir. Ceria, suka tersenyum dan buat lawak, selamba. Seorang yang berfikiran besar dan terbuka.

Pesanan : Bangunkan umat Melayu(Islam) di Malaysia. Kaji tentang Malaysia, sasaran utama dakwah kita.

Hikmah Perkenalan

Saya sangat terkesan dengan peribadi tokoh-tokoh besar ini. Ternyata mereka adalah asset berharga Negara dan ummat ini. Banyak uwasa saya dengar tentang ISMA kebelakangan ini, tapi dengan perkenalan hati ke hati bersama tokoh-tokoh di atas, saya semakin yakin dengan keputusan untuk terus bersama ISMA. Tak mungkin orang-orang cemerlang ini membuat keputusan terburu-buru tanpa bermusyawarah sesama mereka. Semoga fikrah ini dapat tersebar ke seluruh masyarakat di dalam dan di luar Negara. Semoga fikrah ini sampai jua ke bumi sakura satu hari nanti.


p/s : Hari ini usia saya meningkat lagi. Tanda saat kematian semakin menghampiri. Semoga tahun ini lebih baik daripada tahun-tahun yang lalu. Semoga di penghujung usia nanti, saya masih teguh berdiri di atas jalan ini. Terima kasih kepada sahabat-sahabat yang selalu mendoakan. Maaf atas segala kesilapan yang lalu.

Monday, January 18, 2010

Melawan Diri Sendiri

Saya tak pasti hanya saya yang merasakan seperti ini. Terasa seperti mempunyai dua orang saya di dalam diri ini. Satu saya yang baik, satu lagi yang agak tak baik. Setiap tindakan yang dilakukan diambil melalui hujah-hujah yang dikeluarkan oleh kedua belah pihak. Nak kata syaitan dengan iman pun boleh, hati dengan akal pun boleh juga. Tapi saya lebih senang untuk menganggapnya sebagai perbicaraan antara hati dan akal.

Beza antara hati dan akal

Hati mungkin lebih banyak mendengar kata nafsu. Banyak yang dipintanya. Di sinilah perlunya akal untuk berhujah dan berfikir apakah tindakan atau solusi yang lebih baik. Tapi, akal pun perlukan sumber untuk menjadi kayu ukur atau garis panduan dalam menetapkan apa yang boleh dan tidak boleh dalam hidup ini.

“Hati inginkan barang yang mahal2..namun akal bertindak untuk berfikir jauh…sekadar keperluan sudah mencukupi…”

“Hati sering meminta lebih…sedangkan akal bertindak untuk menyelamatkan diri daripada kufur dan boros…”

Hakikatnya, kitalah yang seharusnya bertindak memenangkan hujah akal ke atas hujah hati atau nafsu kita semata-mata. Semuanya tidak mudah, tapi

“When there’s a will, there’s a way…”

Kuasa minda dan hati mengatasi segalanya

Baru pulang dari kem motivasi, menurut Tuan Haris, kuasa minda itu sebenarnya lebih besar daripada kuasa fizikal. Walaupun ditekan dengan berbagai dugaan, selagi minda dan hati kita kata kita mampu untuk menghadapinya, insyaAllah kita mampu lakukannya.

Saya tidak mengatakan jalan menuju Allah itu mudah. Pernah beberapa kali tersungkur mencari jalan sebenar sehingga saya kembali mempersoalkan,

“Selangkah kita mendekati Allah, seribu langkah Allah mendekati kita.”

Tapi, kenapa semakin banyak pula ujian dariNya? Bila pertolongan Allah nak sampai ni?

Ya, bila kita bergerak mendekati Allah, makanya kita bergerak menjadikan diri kita sebagai seorang yang beriman. Dan firman Allah SWT,

“Patutkah manusia menyangka mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata,"Kami beriman." Sedangkan mereka tidak diuji??(al-Ankabut:2)”

Pastinya Allah akan menguji setiap yang kita azamkan dan katakan. Untuk menguji samada kita benar-benar beriman dan percaya kepadaNya. Menguji sejauh mana kebenaran dan kesungguhan kita dalam berazam dan berjanji.

Hidup Ikut Sunnah

Hidup ini banyak peraturannya. Mungkin orang melihat saya sebagai seorang yang cerewet. Tak boleh nak minum air Nescafe, milo, apatah lagi coca-cola. Tak boleh pula mencampurkan makanan laut dan darat. Kena minum susu sebelum tidur. Tak boleh meniru dalam peperiksaan dan lain-lain lagi.

Hakikatnya, peraturan-peraturan hidup itu bukanlah saya sendiri tetapkan. Jua bukanlah sesuatu yang saya sukai dan lakukan dengan hati yang rela. Namun, saya percaya, jika inilah cara hidup insan Agung, sebaik-baik manusia di atas muka bumi ini, Nabi Muhammad SAW yang dikatakan al-Quran bergerak, maka apalah salahnya walaupun tidak semua, sedikit daripadanya kita ambil dan aplikasikan dalam hidup ini. Setidak-tidaknya adalah sedikit usaha daripada kita untuk memperbaiki diri menjadi sebaik Rasulullah SAW.

Apalah salahnya kita jaga kesihatan dan pemakanan kita sebaiknya. Tubuh ini juga ada haknya yang perlu kita tunaikan.

Apalah salahnya kita korbankan markah yang tinggi di dalam peperiksaan untuk memupuk sifat jujur dan berani dalam diri. Jujur dengan kemampuan diri, berani menghadapi kegagalan.

Apalah salahnya kita korbankan prinsip diri dan hati sendiri, demi memupuk akhlak mulia, untuk dicintai Allah dan seluruh manusia.

Meniru Dalam Exam

Ya, sejak masuk JAD saya terbiasa dengan aktiviti meniru. Kalau bukan saya yang meniru, saya pula akan ditiru. Namun semenjak artikel tentang meniru dikeluarkan dalam azzariyat, saya berazam untuk tidak lagi meniru dalam apa jua peperiksaan. Ya, saya belajar erti sakitnya kegagalan dan manisnya usaha tanpa putus asa.

Pagi tadi ada satu lagi kuiz. Kuiz Ryuutai(fluid mechanics) yang diadakan sehari selepas kami selesai kem motivasi. Juga ada report eksperimen yang perlu dihantar juga pada hari ini. Ya, jiwa dan minda saya tertekan. Fizikal juga kehabisan tenaga yang menyebabkan saya mengantuk dan tidur seawal jam 10.45malam tanpa ulangkaji mahupun usaha menyiapkan report. Namun, ternyata hati ini tidak tenang. Beberapa kali terjaga dan kata-kata seorang sahabat terngiang-ngiang di telinga saya.

後悔は悲しいことだよ。。。

“Penyesalan itu sesuatu yang menyakitkan…”

Berusaha juga untuk bangun awal dan memahami beberapa topik yang akan diuji. Berusaha juga untuk menahan mata menyiapkan report untuk dihantar. Hampir-hampir saya mengorbankan prinsip diri untuk tidak meniru lagi kerana kurangnya persediaan. Tapi akal dan hati kembali berhujah.

“Kalau result kuiz ni teruk, xde peluang la nak merasa dapat A subjek ni…” hati berbicara.

“Sampai bila aku perlu jadi begini? Kegagalan itu berada dimana-mana. Manusia yang paling berani adalah mereka yang berani menghadapi kegagalan dan berani pula mengubahnya..” akal pula membidas.

Hakimnya pula pastilah diri kita sendiri, kerana pilihan masih di tangan kita untuk melaksanakan atau tidak melaksanakannya. Baik pilihan kita, baiklah ganjaran di hari akhir nanti. Buruk pilihan kita, bersedialah untuk menjawab di hadapan Allah nanti.

Jadi, marilah kita bersama-sama melawan kehendak hati kita sendiri untuk sesuatu yang lebih baik buat kehidupan di sini dan di sana nanti. Pelaburan ini pastinya memerlukan pengorbanan. Namun pengorbanan yang tidak sia-sia kerana ada ganjaran yang lebih besar menanti di Syurga nanti.

Sesungguhnya Allah tidak akan sesekali menghampakan kita.



>melihat SATU kepada banyak, melihat banyak kepada SATU

Wednesday, January 6, 2010

tak semudah yang disangkakan

"Ape ni mazni, dah setengah jam dalam kereta, tak gerak-gerak pon lagi...."

"Haha...mati enjin lagi...korang ni reti bawak kereta ke tak?hehe.."

"kalau gerak macam siput ni...bile kite nak sampai?"

Astaghfirullah...kejam kan saya?pasti ramai sahabat-sahabat saya di luar sana terutamanya mazni, siti shafarwati, diyaizzati dan lain-lain pernah merasakan betapa tensionnya mendengar mulut ini mengomel dan mengkritik mereka memandu kereta. Hanya kata maaf yang mampu kuucapkan, semoga segalanya tidak berbekas di hati kawan-kawan semua. Gomennasai...

Tak semudah yang disangkakan
Alhamdulillah, akhirnya diberi peluang juga oleh Allah SWT untuk mendalami ilmu baru, ilmu memandu kereta. Akhirnya dapat juga keizinan daripada mak dan ayah untuk mendapatkan lesen memandu setelah berbagai-bagai hujah diberikan. Ternyata, ianya tidak semudah yang disangkakan.


Enjin mati di persimpangan.
Termasuk gear salah.
Tertukar kiri dan kanan.

Dan banyak lagi masalahnya. Maka, hari ini, saya belajar untuk menghargai mereka yang banyak memandu saya kemana-mana. Mak, ayah, Farah, Mas, Mazni dan lain-lain. Saya juga belajar untuk mengomen secara empati. Tak semua perkara mudah di dunia ini. Mungkin mudah bagi orang lain, tak mudah pula bagi sesetengah yang lain.

Mulut dan hati
Apa yang terluah di mulut, selalunya akan memberi kesan di hati. Sedari kecil terkenal sebagai seorang yang agak laser, hingga terbawa-bawa ke sekolah menengah, juga ke JAD, banyak hati yang telah saya calari dengan kata-kata yang menyakitkan. Walaupun hakikatnya, kebanyakannya hanyalah sekadar gurauan di bibir saya.

Walaupun kata maaf saya tidak dapat menyembuhkan luka-luka lama di hati anda semua, ketahuilah, hanya itu yang mampu saya ucapkan saat ini. Dan saya hanya mampu berdoa agar Allah membuka hati kalian untuk memaafkan segala kekhilafan diri ini. InsyaAllah, saya akan lebih berhati-hati selepas ini.


Belajarlah untuk melihat orang lain dengan pandangan mata hati kita. Tiada yang tidak pernah melakukan kesilapan dalam hidup ini. juga, tiada manusia yang sempurna segalanya dalam dunia ini. Maka, berpijaklah di alam realiti, nilailah seseorang dengan mata hati kita. Agar mulut dan tindakan kita tidak bertindak sewenang-wenangnya dalam menghakimi orang lain.

Azam Tahun Baru

#Banyakkan berfikir daripada berkata-kata, tak semua yang baik pada pandangan kita, baik pada pandangan orang lain. Gunakanlah neraca Allah untuk menilai baik buruk dalam hidup ini.

#Kurangkan gurauan yang berlebihan dan menghiris perasaan orang. Mungkin saya tidak banyak bergurau berlebihan dengan rakan-rakan JAD, tapi mai, nisa, wawa, maimis, mazni knows me better. InsyaAllah, i'll try my best to zip my lips and i'll learn ways to communicate appropriately.

#Banyakkan mengisi masa dengan membaca.


Semoga segala yang diimpikan, bisa direalitikan. InsyaAllah.
Last words, friends, sorry for all my wrong doing and please help me to improve myself and pray for my success. Love all of you...


XOXO
Dzulaikha Mat Zaini


p/s : saya QTI test hari jumaat ni, doakan ye...

>melihat SATU kepada banyak, melihat banyak kepada SATU