Sedar tak sedar, sudah hampir 7 bulan saya di bumi sakura ini. Dalam masa 7 bulan ini juga banyak benda yang berlaku, dan banyak yang saya pelajari. Suka-duka kehidupan di sini sedikit sebanyak mengajar erti kematangan, bertolak-ansur, bertimbang rasa, juga rasa kebergantungan terhadapNya.
Selepas muhasabah, saya lihat, kebanyakan entry di blog ini selepas terbang ke sini, berkisar tentang kedukaan. Susah sangat ke belajar kat Jepun? Wallahu'alam. Hanya yang merasainya yang lebih mengetahui. Susah yang mungkin menjadi seronok bila kita ubah cara kita berfikir dan menghadapinya. Sifir yang mudah, tapi perlu mujahadah untuk melaksanakannya.
Susah = kifarah dosa = tingkatkan keyakinan padaNya = kejayaan+kemanisan iman
InsyaAllah. Jadi saya kira saya perlu lebihkan mujahadah untuk positive terhadap segala dugaan yang berlalu dan cabaran yang mendatang. Sebab kita adalah apa yang kita fikirkan. Selagi mana kita mampu untuk positive dan yakin segalanya adalah kebaikan untuk diri kita sendiri, maka segala dugaan akan membuahkan kebaikan jua untuk kita, dengan izinNya.
Minggu yang akan menjadi kenangan terindah
Minggu lepas merupakan antara minggu-minggu yang agak mencabar kehidupan di sini. Dihidangkan dnegan report programming yang agak susah, terpaksa pula menghantar seizu(technical drawing), benar-benar menguji saya. Hari minggu dihabiskan di universiti untuk menyiapkan report dan kira-kira untuk seizu.
Hari minggu berlalu, dengan pelbagai masalah di pertengahannya, bilik komputer ditutup, kira-kira yang tidak membuahkan hasil yang diingini walau telah berpuluh kali cuba, akhirnya saya kecundang jua. Rasa diri saitei sangat waktu tu, sebab tiada apa pun yang mampu saya lakukan. Tak dapat juga untuk meneruskan proses melukis sebab kira-kira yang belum selesai.
Tambahan pula saya dikunjungi tetamu dari jauh. Seorang ingin menghabiskan masa bersama housemate saya, manakala seorang lagi bertujuan untuk menziarahi saya sambil belajar mengaji bersama. Kesibukan saya dengan report dan seizu membuatkan tetamu-tetamu saya sedikit terabai. Yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran. Report tak siap, kira-kira tak siap, nak meluangkan masa dengan tetamu juga tak dapat. Ini yang paling saya kesalkan sehingga saat ini.
Saat itu saya merasakan Allah benar-benar mahu menguji keyakinan saya padaNya. Sebab saya menulis artikel ini, saat-saat saya rasa saya masih boleh positive untuk menghadapi segalanya dengan tenang. Akhirnya Allah permudahkan tugasan menyiapkan report. Entah dari mana ilham dan kekuatan datang, berjaya juga untuk disiapkan dan dihantar pada waktunya. Tapi malam tu selepas berjaya hantar report, tetamu saya telah pulang sebelum sempat dia menunaikan objektif ziarahnya. Bilik dan rumah saya dikemaskan, malah makanan malam juga telah terhidang sewaktu saya pulang ke rumah. Terima kasih sahabatku sayang =)
Hari Rabu menjelma, kira-kira saya masih jua belum selesai. Terasa ingin lari untuk tenangkan diri seketika. Maka, saya memilih untuk menghabiskan hari dengan mendengar ceramah tentang Palestin, bumi yang mungkin telah kita lupakan, tapi masih terus terjajah dan terkepung sehingga hari ini. Saya pulang dengan keyakinan yang diberikan oleh ustaz penceramah, "Sesiapa yang menghabiskan masa untuk program-program Palestin biasanya akan dibantu Allah. Ada yang ingin naik pangkat tapi tak dapat jua, setelah ke program talk tentang Palestin, esoknya terus berjaya naik pangkat." Berkatnya bumi Palestin dan mujahid-mujahidah di sana, tempiasnya sampai ke kita di sini. Namun, ingatkah lagi kita pada mereka? Berdoakah lagi kita untuk mereka?
Alhamdulillah, bersama keyakinan iu, Allah mudahkan segala kira-kira saya selepas itu. Allah mudahkan juga saya menyiapkan seizu dan hantar pada masanya. Terima kasih juga kepada sempai tachi yang sudi menghulur bantuan di saat-saat akhir kalut sebelum menghantar seizu. Semoga Allah rahmati sempai tachi sekalian.
Seizu yang telah disemak
Alhamdulillah, lega sangat segalanya berlalu dengan baik, berkat doa dari rakan-rakan jua. Minggu ini akan jadi kenangan terindah selepas ini, insyaAllah. Jua penguat semangat untuk menghadapi cabaran yang mendatang. Cukup sudah segala kisah duka. Hidup ini indah jika segalanya kerana Allah.
Berehat dan melihat alam
Setelah melalui saat-saat yang sukar itu, saya hadiahkan diri saya ketenangan dengan melihat keindahan alam di bumi sakura bersama teman-teman di sini. Benarlah mengikut teori tenaga wanita, cukup dengan bersama teman-teman, berbual dan menghabiskan masa bersama, dapat refresh kembali untuk terus bersemangat menghadapi hari-hari mendatang.
Melihat matahari terbenam di Lalaport bersama kawan-kawan Shibaura Dai
Menikmati keindahan musim luruh, picnic bersama teman sekampus
Harap lepas ni tiada lagi entry sedih di sini. Lebih baik senyap dari menulis dan mengeluh tentang kesusahankan. Senyum sokmo~
p/s : masa untuk fokus...rehat tak perlu lama, nanti diri kurang produktif...
13:58petang, Bilik Study
Tokyo University of Science, Kudanshita Kampus
Menyiapkan report.
No comments:
Post a Comment