Friday, January 1, 2010

Memori di JAD dan harapan 2010

Terasa seperti masa terlalu cepat berlalu. 2010 menjelma juga akhirnya. InsyaAllah bulan mac ini, saya dan rakan-rakan akan berangkat meninggalkan Malaysia. Berpisah mencari sebuah kehidupan untuk masa depan masing-masing. Post ini lebih kepada hidup saya selama 3 tahun di JAD. Kenangan yang amat berharga sepanjang 20 tahun hidup saya ini. Di sini tempat saya mengenal kembali diri saya dan untuk apa saya hidup. Bumi tempat saya menerima tarbiyah. Pastinya kenangan itu sangat manis. Dan tarbiyah itu menjadi bekalan untuk menempuh kehidupan penuh cabaran di masa akan datang.

Semoga pengajaran 3 tahun ini, akan menjadikan saya dan rakan-rakan semua insan yang lebih berjaya dalam meniti kehidupan di dunia dan akhirat.

Menyingkap Memori
2007 : Matrix
Tanggal 7 Januari 2007, saya dan rakan-rakan lain telah diterima untuk program intensif bahasa inggeris dan bahasa jepun. Sejak itu, kami membina ukhwah, berkenalan dan bersahabat dengan orang dari serata negeri. Sebilik dengan Baqiah dan Afiqah, banyak membantu saya untuk mempelajari dialek kelantan. Suatu yang amat saya hargai. Terima kasih kepada kamu berdua.

Tahun ini juga, saya diterima menjadi pelajar JAD. Seminggu selepas mendaftar, seseorang telah datang, menjalin hubungan, menawarkan sesuatu yang berharga buat diri ini dan rakan-rakan. Alhamdulillah, Allah mempermudahkan jalan saya untuk mendekatiNya. Tarbiyah datang tanpa dipinta.

Program-program ilmu pula sangat banyak memenuhi hujung-hujung minggu. Tahun yang sangat bermakna buat saya. Terima kasih kepada sempai-sempai yang tidak jemu-jemu mengajak untuk ke majlis-majlis ilmu ini.

Prestasi akademik juga meningkat, membuatkan hati ini lebih yakin. Yakin yang terjun ke medan tarbiyah dan dakwah bukanlah suatu keputusan yang salah, walaupun banyak masa dicurahkan di sini.

Kepada kouhai tachi : Walaupun dah agak lambat, tapi pesan akak gunakanlah masa anda di zaman matrix dengan sebaiknya untuk menggali ilmu-ilmu yang banyak di bumi JAD. Carilah matlamat sebenar anda di sini.

2008 : U1
Tahun ini adalah tahun yang penuh cabaran buat saya. Tahun yang paling banyak ujian dariNya. Tahun yang penuh dengan kedukaan yang mendewasakan. Tahun yang banyak mendedahkan saya realiti medan juang ini. Tahun yang paling banyak kesilapan dan konflik.

Sungguh, jalan ini tidak ditaburi dengan karpet merah dan kemewahan, tapi penuh dengan duri-duri dan cabaran. Cabaran yang mendewasakan.

Konflik dengan rakan-rakan.
Konflik dengan sempai.
Konflik dalaman untuk memilih yang terbaik buat diri sendiri.

Tarbiyah setahun itu, belum cukup untuk saya menjadi seorang hamba Ilahi yang sempurna. Maka, banyak kesilapan yang dilakukan dalam proses mengenali diri sendiri dan menegakkan apa yang dirasakan benar. Kesilapan yang banyak mengajar saya untuk menjadi seorang pemikir. Berfikir sebelum bertindak dan berkata-kata. Kata orang, ibarat menarik rambut di dalam tepung, berhati-hati agar tepung tidak berselerak dan rambut tidak terputus.

Kepada sesiapa yang pernah terlibat dalam konflik bersama saya tahun 2008 dulu, hanya maaf yang mampu saya ucapkan atas segala kekhilafan diri. Saya juga seorang manusia yang tidak terlepas dari berbuat salah. Kata-kata yang tidak sedap didengari, tindakan yang kurang ajar dan sebagainya, harap tidak berbekas di hati kalian.

Tahun ini juga, saya membuat keputusan yang besar dalam hidup saya. Melaburkan diri dalam medan dakwah secara serius, demi mengutip janjiNya di akhirat nanti. Demi sebuah pembelaan, yang saya juga sebahagian daripada pejuang agamaNya.

2009 : U2
Tahun ini adalah tahun kenangan. Tahun saya meneliti kembali segala potensi diri untuk bergerak mencapai redha Ilahi.

Ada jatuh, ada bangunnya sendiri.

Yang pasti, tahun ini lebih tenang daripada tahun-tahun sebelumnya. Fokus saya hanya kepada pentarbiyahan diri, dan belajar untuk memberi. Memberi demi diri sendiri.

Pelajaran yang semakin sukar, mengajar saya erti kegagalan. Hidup ini ibarat roda. Up is good, but down is not for eternal. Kita tidak selalu berada di atas. Adakalanya perlu berada di bawah, agar dapat belajar kerendahan hati dan kesabaran.

Hubungan sesama rakan dan kouhai semakin baik. Tahun yang menceriakan keseleruruhannya.

Hanya iman yang naik dan turun secara ekstrim. Menstabilkannya adalah terlalu sukar. Semoga Allah kuatkan hati ini untuk terus berusaha mencapai redhaNya dalam hidup ini.

Tahun ini juga, saya mula bergiat aktif sebagai seorang penulis dan blogger. Menulis di sini dan juga di azzariyat. Balajar melakar kata-kata yang mampu menyuntik hati sendiri dan orang sekeliling, agar sama-sama mendapat manfaat untuk hari akhir nanti. Sukar sebenarnya untuk menjadi seorang penulis yang merealisasikan kata-katanya sendiri. Terbayang azab Allah terhadap golongan yang hanya pandai berkata-kata, membuatkan kadangkala saat iman menurun, saya bertindak menyepikan diri. Takut diri ini tidak mampu untuk melaksanakannya.

Semoga segala yang telah berlalu, memberi pengajaran buat diri ini untuk memperbaiki diri pada tahun-tahun akan datang.

Harapan 2010
Takut sebenarnya melangkah ke tahun baru ini. Takut untuk berazam baru, takut untuk meniti hari-hari yang mendatang. Semoga segalanya lebih baik daripada tahun-tahun sebelumnya. Ada beberapa perancangan sebelum melangkah keluar dari bumi Malaysia. Rasa tanggungjawab untuk meninggalkan sesuatu yang berharga buat kouhai tachi di sini. Agar tarbiyah di bumi JAD ini akan berterusan.

Peperiksaan akhir yang hanya tinggal sebulan sahaja lagi, harap dapat dihadapi dengan sebaiknya.


Ya Allah, bantulah kami semua untuk menjalani kehidupan ini dalam redhaMu.
Bantulah kami untuk memperbaiki diri kami, dan meningkatkan amal kami untuk dipersembahkan kepadaMu nanti.
Ikhlaskanlah hati kami dalam setiap amal kami. Semoga segalanya diterima disisiMu.

Amin.


>melihat SATU kepada banyak, melihat banyak kepada SATU

3 comments:

  1. hope u'll get d best 4 u dear..
    will b waitin 4 u in tokyo diz march,iA..
    =)

    ReplyDelete
  2. yeay~
    ok, semoga kte same2 dipanjangkan umur utk pertemuan di tokyo mac ni..:)

    miss u so much wawa..

    ReplyDelete
  3. semoga sentiasa membesar menjadi orang yang lebih tabah dan matang walau apa pun konflik yang datang

    ReplyDelete