Rasulullah s.a.w. bersabda,
“Saya akan beritahukan kepada kalian suatu kaum dari kalangan umatku. Mereka datang pada hari kiamat dengan kebaikan sebesar gunung. Namun Allah menjadikan kebaikan tersebut seperti debu yang berterbangan.”
Tsauban berkata,
“Ya Rasulullah! Terangkan sifat-sifat mereka pada kami, sehingga kami tidak termasuk dari golongan mereka, sedangkan kami tidak menyadarinya.”
Rasulullah s.a.w. bersabda,
“Mereka adalah saudara kalian, dari kalangan kalian pula. Mereka mengisi waktu malam dengan beribadah, seperti yang kalian biasa lakukan. Namun mereka jika sedang bersendirian dan mempunyai kesempatan melakukan perbuatan haram, maka mereka melakukannya”(HR Ibnu Majah)
Bismillahirrahmanirrahim.
Kutujukan bingkisanku ini buat mereka yang bergelar pendokong serta penggerak dakwah walau di mana kalian berada.
Kutujukan juga tulisanku ini buat adik-adik rantaian dakwah yang bakal bergelandangan di arena dakwah luar negara.
Juga kutitipkan perkongsianku ini buat sahabat yang tetap teguh di atas jalan yang dipilih ini. Moga Allah memberkati usaha kalian.
…………………………………………
Penulis pernah diingatkan oleh seseorang bahawa suatu jalan tidak akan ada penamatnya melainkan dengan adanya titik mulanya. Tidak akan ada perjalanan melainkan dengan adanya permulaan kepada perjalanan tersebut. Maka amatlah penting bagi kita untuk memilih permulaan yang betul bagi mencapai penamat yang benar. Langkahan pertama itu akan menjadi penentu ke mana kita bakal menjejakkan kaki di akhirnya. Adakah di tempat yang benar-benar ingin dituju ataupun tersimpang jauh dari penamat yang satu.
Begitu juga dalam memilih permulaan kepada jalan dakwah ini. Jika permulaannya cacat, maka pengakhirannya sudah pastinya hanya penat yang kita dapat dan jika permulaannya adalah hasad, maka di hujungnya sudah pastinya fasad. Tetapi jika ianya dimulakan dengan niat yang suci, maka sudah tentu pengakhirannya adalah murni dan jika ianya dmulakan dengan langkahan yang benar, maka di hujungnya pasti ada sinar.
Ibtida’ yang murni ataupun permulaan yang murni.
Permulaan kepada usaha menyampaikan kebenaran.
Permulaan kepada suatu usaha yang berpanjangan.
Permulaan kepada suatu jalan yang dipenuhi onak duri serta cabaran.
“Wahai orang-orang yang beriman! Jika kamu menolong (agama) Allah, nescaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu.” [Muhammad, 47 : 7]
Bagi menjadi rujukan kepada alam (ustaziatul alam), ianya dimulai dengan pembinaan jiwa yang lunak kepada Islam. Bagi membina jiwa sebegitu, akal dan hati perlu bersama berganding bahu. Bagi memastikan ianya terjadi, maka kuncinya adalah niat yang suci. Pendidikan (tarbiyah) yang berterusan akan memastikan lahirnya seorang akh yang jiwanya selembut Abu Bakr, setegas Umar, sepintar Ali malah tinggi sifat malunya laksana Uthman.
“Dan siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah dan mengerjakan kebajikan dan berkata, ‘Sungguh, aku termasuk orang-orang muslim yang berserah diri?” [Fussilat, 41 : 33]
Sama-sama membetulkan langkahan pertama kita, menyucikan niat kita semata-mata kerana Allah serta murnikan hasrat kita semua. Mudah-mudahan Allah melihat segala usaha murni kita.
Penulis akhiri tulisan kali ini dengan kata-kata seorang alim:
“Al fatrah ba’da mujahadah min fasadil ibtida” (kelesuan selepas mujahadah disebabkan oleh kecacatan di permulaannya).
Mohd Zol Helmi Md Zuki
Sumber: Laman Web ISMA Eropah
No comments:
Post a Comment