Monday, January 31, 2011

Dakwah Bukan Milik Kita


Ketika sedang berhenti di lampu trafik dalam perjalanan membayar bil di Bandar Seremban, sebuah kereta kancil cuba untuk mencelah masuk ke dalam barisan kereta, berhampiran saya. Saya perhatikan kereta tersebut, ada pelekat kereta Palestin di belakangnya, ‘mungkin al-akh’ getus hati saya. Kelihatan zaujahnya (saya sangka) bertudung labuh di sebelah, sayup-sayup pada mata saya. Saya terus memberi ruang untuk dia masuk apabila lampu telah hijau. Apabila dia sudah melepasi saya melihat kembali pelekat Palestin tadi, dia bukan al-akh dari organisasi saya. Di sepanjang perjalanan saya berfikir-fikir tentang ibrah daripada apa yang baru saya lalui tadi.

‘Dan siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah dan mengerjakan kebajikan serta berkata “Sungguh, aku termasuk orang-orang Muslim (yang berserah diri)”.’ [QS:41:33]

Dakwah ini milik siapa? Adakah dakwah ini milik golongan tertentu? Apakah ianya sesuatu yang hanya boleh dilakukan oleh golongan yang eksklusif? Dakwah yang merupakan seruan ini adalah daripada Allah dan akan kembali akhirnya kepada Allah jua. Maka, ia bukan milik sesiapa. Sesiapun tidak bisa menyatakan bahawa dakwah ini hanyalah milik dirinya, hanya dia yang layak mengerjakannya seterusnya menafikan kerja dakwah orang lain, apalagi melakukan dakwah untuk menyeru manusia kepadanya (menjadi pengikutnya).

Ketika di awal fasa menyertai organisasi dakwah, kita difahamkan bahawa seruan Islam ini bukan tanggungjawab yang digalas oleh golongan yang bergelar ‘ustaz’ dan ‘ulama’ semata-mata, maka dengan itu kita dibersihkan dari stigma yang hampir melumpuhkan ummah seluruhnya. Kemudian setelah berada bersama para pendukung dakwah, kita melihat bahawa dunia dakwah ini bukan satu benderanya, malah berjenis-jenis dan bermacam warna, pendukung dakwah ini bukan kita sahaja, bukan di Malaysia sahaja, malah bertebaran fikrah Ikhwanul Muslimin di seluruh pelusuk dunia. Namun, di situ punya cela.

Celanya pada kita yang tidak betah melihat orang lain melakukan kerja dakwah, kita berasa tidak senang apabila ramai orang mengikut seruan mereka. Walhal, dakwah ini (andai kita faham dan cerna) di akhirnya akan ditujukan kepada Allah jua, juga berapa ramai yang terlupa bahawa dakwah ini bukan hak milik eksklusif kita. Bayangkanlah dalam keadaan ummah terkeliru dan masih melekat pada stigma siapa yang berhak menyeru kepada Islam, kita yang berada dalam kelompok sedar yang kecil ini bertelingkah pula siapa yang berhak mengangkat panji dakwah. Apa untungnya untuk ummah? Apa manfaatnya untuk para mad’u?

Kalau saya mahu umpamakan, ummah ini adalah seperti sebuah kota yang di di kelilingi oleh benteng-benteng teguh lagi utuh. Dalam keadaan dan situasi kota ini dihunjam dan dijarah oleh musuh Allah yang sentiasa mencari titik kelemahan untuk menerobos memusnahkan kita, ummah di dalamnya telah bobrok dan rosak dengan parasit sosialisasi yang dihantar secara sulit oleh musuh Allah. Namun, mereka masih lagi boleh diselamatkan kerana adanya pengawal-pengawal benteng yang mengelilingi kota tersebut. para du’atlah yang mengawalnya. Andai para pengawal di pintu utara, timur, barat dan selatan bergaduh sesama mereka, maka nantikanlah keruntuhan benteng ini, seterusnya membenarkan para penjarah menerobos dan membunuh anak-anak kecil dan para wanita kita.

Kitalah pelindung ummah ini, kitalah pembela ummah ini, kitalah harapan ummah ini. Di sebalik mereka tidak menyedari bahaya yang meragut jiwa mereka serta tidak melihat kita sebagai penyelamat, kitalah para du’at yang menjadi jata maruah kepada ummah. Kepelbagaian warna dan bentuk bendera dakwah kita tidak sepatutnya menjadikan kita musuh antara satu sama lain, kerana di sebalik kibaran bendera itu, kita masih saudara seaqidah yang ingin memimpin ummah kepada Allah.

Saya erti ada komplikasi dan isu yang terselit di sebalik cela ini, ia dikomplekskan dengan pelbagai masalah yang berselirat membawakan kita kepada sesuatu yang membawa mudharat seperti ini. Di sebalik semuanya ini, kita perlu mengerti bahawa ada maslahah ‘ammah yang perlu diberi perhatian kerana ia akan memberi impak besar kepada ummah. Ummah tidak akan nampak hal ini kerana kebanyakan daripada mereka sedang tidur. Berapa banyak pula ummah yang inginkan Islam tetapi ditipu oleh penggerak-penggerak dakyah sesat akhirnya kecundang?

Usahlah kita menzalimi diri dan saudara du’at kita, bergeraklah kita masing-masing di medan sendiri dan raikanlah para ikhwan dan akhwat kita yang sama-sama bergerak tanpa menafikan mereka. Berhentilah mencaci dan mengadu domba tanpa kebenaran. Jujurnya saya penat mendengar cerita-cerita seperti ini, yang tiada asasnya, yang tidak jelas beritanya, yang hanya mengeruhkan hubungan sesama ikhwah. Cukuplah, kurangkan berkata-kata, perbanyakkan kerja kita, pembaikpulihan ummah ini banyak memerlukan perih jerih dan usaha kita.

Ya, saya tahu, faham dan sedar, bercakap memang mudah daripada membuatnya, namun membuatnya meskipun dalam penuh kesukaran adalah bukti kesetiaan kita kepada tarbiyyah dan fikrah yang kita yakini. Dakwah bukan milik kita, bukan hak milik eksklusif kita.

Artikel diambil dari : Kalam Yang Berbicara

Wednesday, January 26, 2011

Betulkan langkah kakimu sayangku..

Kepada insan yang kucintai, Dzulaikha..

Esok, mengikut kiraan kalendar masihi, genaplah engkau berumur 22 tahun.
Selama 22 tahun ini apa yang telah engkau lakukan?
Bersediakah engkau untuk menemui Penciptamu?

Rasulullah s.a.w. bersabda,

“Saya akan beritahukan kepada kalian suatu kaum dari kalangan umatku. Mereka datang pada hari kiamat dengan kebaikan sebesar gunung. Namun Allah menjadikan kebaikan tersebut seperti debu yang berterbangan.”

Tsauban berkata,

“Ya Rasulullah! Terangkan sifat-sifat mereka pada kami, sehingga kami tidak termasuk dari golongan mereka, sedangkan kami tidak menyadarinya.”

Rasulullah s.a.w. bersabda,

“Mereka adalah saudara kalian, dari kalangan kalian pula. Mereka mengisi waktu malam dengan beribadah, seperti yang kalian biasa lakukan. Namun mereka jika sedang bersendirian dan mempunyai kesempatan melakukan perbuatan haram, maka mereka melakukannya”(HR Ibnu Majah)

Ya Allah, peliharalah hambaMu ini daripada amal yang sia-sia.
Ya Allah, tingkatkanlah amalku, kerendahan hatiku, keyakinanku padaMu,
semangat aku dalam mencari redhaMu, seiring dengan pertambahan umurku.
Ya Allah, tanamkanlah dalam hatiku cinta kepadaMu dan RasulMu.
Ya Allah, peliharalah aku daripada sifat-sifat mazmumah dan sifat-sifat orang munafik.
Ya Allah, peliharalah aku daripada perkara-perkara yang menjauhkan aku dariMu.
Hanya kepadaMu tempat aku merintih dan mengadu.

Sedarlah sayangku Dzulaikha, masamu untuk bertemu Tuhanmu telah semakin hampir.
Manfaatkan saki baki hidupmu sebaiknya.
Semoga di sana nanti, kau dikurniakan ketenangan dan kesenangan.

-------------------------------------------------------------------

Bismillahirrahmanirrahim.

Kutujukan bingkisanku ini buat mereka yang bergelar pendokong serta penggerak dakwah walau di mana kalian berada.

Kutujukan juga tulisanku ini buat adik-adik rantaian dakwah yang bakal bergelandangan di arena dakwah luar negara.

Juga kutitipkan perkongsianku ini buat sahabat yang tetap teguh di atas jalan yang dipilih ini. Moga Allah memberkati usaha kalian.

…………………………………………

Penulis pernah diingatkan oleh seseorang bahawa suatu jalan tidak akan ada penamatnya melainkan dengan adanya titik mulanya. Tidak akan ada perjalanan melainkan dengan adanya permulaan kepada perjalanan tersebut. Maka amatlah penting bagi kita untuk memilih permulaan yang betul bagi mencapai penamat yang benar. Langkahan pertama itu akan menjadi penentu ke mana kita bakal menjejakkan kaki di akhirnya. Adakah di tempat yang benar-benar ingin dituju ataupun tersimpang jauh dari penamat yang satu.

Begitu juga dalam memilih permulaan kepada jalan dakwah ini. Jika permulaannya cacat, maka pengakhirannya sudah pastinya hanya penat yang kita dapat dan jika permulaannya adalah hasad, maka di hujungnya sudah pastinya fasad. Tetapi jika ianya dimulakan dengan niat yang suci, maka sudah tentu pengakhirannya adalah murni dan jika ianya dmulakan dengan langkahan yang benar, maka di hujungnya pasti ada sinar.

Ibtida’ yang murni ataupun permulaan yang murni.

Permulaan kepada usaha menyampaikan kebenaran.

Permulaan kepada suatu usaha yang berpanjangan.

Permulaan kepada suatu jalan yang dipenuhi onak duri serta cabaran.

“Wahai orang-orang yang beriman! Jika kamu menolong (agama) Allah, nescaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu.” [Muhammad, 47 : 7]

Bagi menjadi rujukan kepada alam (ustaziatul alam), ianya dimulai dengan pembinaan jiwa yang lunak kepada Islam. Bagi membina jiwa sebegitu, akal dan hati perlu bersama berganding bahu. Bagi memastikan ianya terjadi, maka kuncinya adalah niat yang suci. Pendidikan (tarbiyah) yang berterusan akan memastikan lahirnya seorang akh yang jiwanya selembut Abu Bakr, setegas Umar, sepintar Ali malah tinggi sifat malunya laksana Uthman.

“Dan siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah dan mengerjakan kebajikan dan berkata, ‘Sungguh, aku termasuk orang-orang muslim yang berserah diri?” [Fussilat, 41 : 33]

Sama-sama membetulkan langkahan pertama kita, menyucikan niat kita semata-mata kerana Allah serta murnikan hasrat kita semua. Mudah-mudahan Allah melihat segala usaha murni kita.

Penulis akhiri tulisan kali ini dengan kata-kata seorang alim:

“Al fatrah ba’da mujahadah min fasadil ibtida” (kelesuan selepas mujahadah disebabkan oleh kecacatan di permulaannya).

Mohd Zol Helmi Md Zuki
Sumber: Laman Web ISMA Eropah

Friday, January 21, 2011

mari berkenalan~

Assalamualaikum...post ini khas untuk x-housemate saya..
2 tahun kami serumah, mungkin masih tidak mampu untuk berkenalan dan taaruf dengan lebih baik dengan beliau...maka, di kesempatan ini, saya listkan 25 perkara tentang saya yang mungkin awak belum tau lagi...semoga kita dapat lebih memahami antara satu sama lain...sayang kah~

Info ini diambil/dipetik daripada karektor orang yang lahir di bukan januari menurut kajian Dr Fadzilah Kamsah yang saya rasakan bertepatan dengan diri saya.

1. Bercita-cita tinggi dan serius
Tak dinafikan, dalam apa jua bidang yang saya ceburi, saya tak dapat elak untuk target yang terbaik. Kebaikannya, saya akan berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapai apa yang saya targetkan, tetapi keburukannya, saya akan jatuh/sakit/down bila saya tidak berjaya mencapainya. Orang cakap lagi tinggi kita target, lagi sakit kalau kita jatuh.

2. Suka mendidik dan suka dididik
Saya gembira bila dapat ajar/sampaikan/bagitahu/kongsi dengan orang lain apa yang saya tahu dan faham. Saya juga gembira bila ada orang ajar/sampaikan/bagitahu/kongsi dengan saya apa yang saya tak tahu.

3. Sangat mudah melihat kelemahan orang
Mungkin, tapi saya jenis yang tidak kisah, sebab saya tahu itu bukan dalam kawalan diri saya. Yang saya boleh lakukan adalah berbaik sangka dan menerima segala kelemahan itu seadanya, kerana setiap kita adalah manusia. Makhluk yang punya kelemahan.

4. Suka mengkritik
Ini sangat sebati dalam diri saya dan sedaya upaya cuba saya kontrol. Tapi kadang-kadang apabila bersama rakan-rakan yang telah lama mengenali diri ini, saya terlepas juga usikan-usikan yang mungkin terselit kritikan. Gomennasai..insyaAllah cuba perbaiki lagi pasni. rasulullah cakap, "lebih baik diam daripada berkata yang sia-sia."

5. Rajin dan setiap yang dibuat nampak keuntungan
Saya nampak point ini lebih kurang dengan point no 1. Tapi saya hanya akan jadi macam ni bila saya meletakkan target dalam sesuatu yang saya nak capai. Mak saya selalu cakap, "Mak tak risau bila akak nak buat something. Sebab mak tau, akak akan usaha sungguh2 sampai akak dapat. Tapi mak risau, bila akak tak tau ape yang akak nak, tak tau ape matlamat dan target yang akak nak capai."

6. Suka pada kecantikan, kekemasan dan teratur.
Saya rasa point ni ada pada setiap kita individu Muslim. Memang fitrah manusia Allah jadikan sukakan sesuatu yang cantik, kemas dan teratur. Apa yang berada dalam lingkungan kawalan saya, akan saya pastikan berada dalam keadaan cantik, kemas dan teratur. Tapi sensei saya cakap, "orang yang proaktif adalah orang yang akan berusaha menjadikan kawasan yang bukan dalam tanggungjawab dia pun cantik, kemas dan teratur." Kene usaha lagi nampaknya untuk jadi proaktif.

7. Bersifat sensitif
Saya tak suka sifat ni. Saya tak suka Dzulaikha yang sensitif. Saya suka untuk percaya bahawa saya adalah seorang yang tak sensitif walaupun kadang-kadang saya jadi sensitif dan mudah terasa. Tapi saya yakin, kita adalah apa yang kita fikirkan. Jadi, setiap kali timbul perasaan ni, saya akan cakap kat diri sendiri, "Ape la..ini pun nak terase..lemah betul la ko ni...suke fikir yang bukan-bukan...padahal orang tu tak sengaja pun...kifarah dosa ni...dosa aku sakitkan hati orang lain..". Umat Islam kuat! Berjiwa sensitif penting, supaya kita sedar keadaan umat, tapi sensitif/cepat terasa hati ni akan menjadikan kita lemah dan memutuskan banyak ikatan ukhwah. Beware girls~ Termasuk diri ini.

8. Berfikiran mendalam
Kadang-kadang ya dan kadang-kadang tidak. Saya antara orang yang paling cepat fikir dan putuskan apa yang nak dibeli bila keluar shopping dengan kawan-kawan. Saya tak fikir banyak bila saya tau itu baik untuk saya. Tapi kadang-kadang , disitu berlaku kesilapan bila saya tersalah cara atau terlalu cepat bertindak tanpa fikir implikasi-implikasinya. Satu yang saya yakin, Rasulullah cakap, "Takkan menyesal mereka yang bermusyawarah dan beristikharah." Jadi untuk elakkan kita menyesal, better kita bincang dan istikharah dulu. Itu lebih baik untuk hati kita, agar kita tak salahkan Allah nanti bila sesuatu turns out not to be like what we're expecting.

9. Pandai mengambil hati orang lain
Ini saya tak boleh nilai. Kene tanya orang yang di ambil hatinya oleh saya. "Kah, saya tengah cuba ambil hati awak ni, awak rasa terambil tak?hehe =)"

10. Pendiam kecuali diransang
Saya rasa point ni betul. Memang saya banyak cakap. Tapi saya hanya banyak cakap dengan orang yang saya dah kenal lama dan saya selesa berbicara dengannya. Kalau tiada ransangan untuk bercakap(kalau orang tak tegur atau sapa), biasanya saya akan diam. Sewaktu interview JPA dulu, apabila group discussion, saya senyap je sampai interviewer minta saya bagi pandangan. Masa tu baru saya sedar, saya tak bercakap lagi rupanya.

11. Agak pemalu
Sebab tu kot saya jadi pendiam kecuali diransang.

12. Mempunyai daya tumpuan yang sangat tinggi
Ini mungkin benar. Bila saya fokus terhadap sesuatu yang saya buat, saya takkan boleh dengar orang lain cakap dengan saya. terutamanya apabila saya membaca.

13. Mudah mendisiplinkan diri
Ini pun hanya akan terjadi bila saya nakkan sesuatu. Sebab tu saya tak suka cuti dan waktu lapang. Ia akan membuatkan saya nak rehat dan tidak produktif. Mengikut kajian saya terhadap diri saya sendiri, waktu lapang lebih mudah untuk membuatkan saya futur, sebab saya tak tahu macam mana nak gunakan masa saya. Ya Allah, bantulah hambaMu ini..

14. Badannya sihat
InsyaAllah, saya rasa saya sihat. Saya tak suka makan sayur dan buah. Tapi, bila saya bertanya seorang sahabta, apa yang perlu saya perbaiki tahun ni tentang diri saya, dia cakap, "Kurangkan makan benda manis. Sebab badan ni kita nak pakai lama." Salah satu ciri yang perlu ada dalam diri seorang Muslim, adalah tubuh badan yang sihat. Saya dah start makan salad! =)

15. Cukup sayang pada kanak-kanak
Ya, saya sangat sukakan kanak-kanak. Antara cita-cita saya adalah nak membuka sebuah tadika pada umur 30~35tahun. Ustaz Abdul Halim adalah antara insan yang saya kagumi. Seorang engineer, ustaz, dan juga pengusaha tadika. Umur ustaz belum mencecah 50tahun(rasanya), tapi ustaz dah ada 4 cawangan tadika. Ustaz cakap dakwah kepada masyarakat, melalui tadika efektif. Bukan sahaja dapat didik kanak-kanak, tapi bila ada event(maal hijrah, maulidurrasul dsbgnya), boleh invite parents ekali datang sekolah dengar talk. Secara tak langsung, boleh sampaikan dakwah kepada masyarakat.

16. Suka duduk rumah
Saya suka duduk rumah. Saya rasakan perlunya mujahadah yang besar untuk saya melangkah keluar(iron tudung, pakai stokin dll). Jadi saya sangat suka duduk rumah. Kecuali dalam keadaan sekarang, rumah ni terlalu sejuk untuk didiami. Saya lebih suka ke universiti, sana lebih panas dan selesa.

17. Setia pada segala-galanya
Saya susah untuk ubah fikiran bila saya dah mula menyukai sesuatu. Kalau saya suka sesuatu jenama, saya akan terus menggunakan jenama tersebut. Kalau saya suka dengar satu lagu, saya hanya akan ulang dengar lagu tersebut.

18. Perlu belajar kemahiran sosial
Saya selalu cakap lepas. Kadang-kadang saya rasa benda tu normal dan merupakan satu kebenaran, tapi sebab saya kurang kemahiran sosial, cara penyampaian saya selalu menyebabkan orang yang mendengar sakit hati dan tak boleh terima. Saya perlu belajar lagi kemahiran sosial. Semoga dapat jadi seperti Rasulullah SAW.

19. Sifat cemburu yang sangat tinggi
Sangat tinggi?Kadang-kadang saya tak dapat elak untuk rasa cemburu pada orang yang punya banyak kelebihan, lebih dari saya. Saya juga tak suka persaan ni. Bila perasaan ni datang, saya kan berdoa semoga Allah kurniakan lebih lagi pada orang tersebut(Biar padan muka saya yang suka cemburu dekat orang). Alhamdulillah, bila doa macam ni, hati lebih tenang. Kalau orang tu dapat lebih lagi pun, kita akan rasa tenang, sebab tu doa kita yang Allah dah makbulkan. Dan bila kita berdoa untuk seseorang tanpa pengetahuannya, sbeenarnya waktu berdoa tu, ada malaikat yang mendoakan perkara yang sama untuk kita. Percayalah!

Ok, yang dilistkan oleh Dr Fadzilah Kamsah dah habis. Ini lagi 6 point yang saya discover pasal diri saya.

20. Sangat suka makan coklat dan kek.
Saya boleh habiskan sebiji kek coklat dalam satu hari. Saya sangat suka coklat. Kawan-kawan nak beli omiyage(buah tangan), belikan coklat untuk saya ye =). Tak rasa lagi coklat dari Dublin =), india =), Hiroshima =), New Zealand =), Czech =), Korea =), Paris =), New York =) dan lain-lain. (Orang yang makan cili je rase pedas ni..=))

21. Saya suka membaca
Tak kisah bahan bacaan ape pun. Saya suka membaca. Saya suka duduk rumah dan membaca. Tapi, tak semua bahan bacaan sesuai untuk dibaca. Naqibah saya pesan, "kalau suatu buku tu, kita rasa tak boleh baca bismillah masa nak buka untuk baca, maksudnya buku tu tak elok untuk dibaca."

22. Saya lagi suka mengemas dari memasak
Dua-dua skill ni perlu ada pada setiap Muslim, Muslimah terutamanya. Tapi kalau diberi pilihan, saya lagi suka mengemas dari memasak.

23. Saya kedekut(berjimat..)
Saya seorang yang agak kedekut.Eh, berjimat sebenarnya, sebab saya ada banyak cita-cita. Tadika, bakery shop, kereta, rumah, masa depan. Ulama' cakap, "didiklah anak kita 20 tahun sebelum dia dilahirkan." Saya yakin, kewangan pun kita kene start dari sekarang, kalau kita nak anak-anak kita mendapat didikan yang baik. Untuk ke Khalifah Model School pun, yuran kemasukan mencecah RM4000++. Sekolah Hira', bayaran bulanan dalam RM300++. Mane nak korek duit kalau tak mula berjimat dari sekarang?

24. Saya suka menulis
Sebab tu saya wujudkan blog ni. Supaya saya boleh menulis =)

25. Saya sayang sangat sahabat-sahabat saya
Walaupun saya kedekut, saya tak suka berkira dengan orang-orang yang saya sayang. Biarlah saya yang lapar, biarlah saya yang terpaksa pakai baju-baju lama(tak bershopping) asalkan saya dapat berjimat untuk gembirakan hati-hati orang yang saya sayang. Semoga, selamanya Allah bantu kekalkan saya yang begini.

Ok, panjang sangat nampaknya. Selamat berkenalan kah~Semoga dapat bantu kah dalam mengenali diri sendiri jugak. Sebab kah pun birthday bulan 1, sama dengan saya. Birthday sahabat saya ni esok, happy becoming bithday sayang~Semoga ukhwah antara kita, kekal hingga ke syurga.


Monday, January 17, 2011

Kita Mulia kerana Islam

“Wahai Rasulullah, bukankah kita berada di atas kebenaran?”

Baginda menjawab, “Ya.”

Beliau bertanya lagi, “Bukankah mereka berada di atas kebatilan?”

Rasulullah SAW bertanya pula, “Apa pendapatmu, hai Umar?”

“Kita harus keluar dan mengumumkan diri kita…”

Itulah dia saatnya, Islam disebarkan secara terang-terangan. Saidina Umar, pada hari beliau memeluk Islam, inilah pertanyaan yang diajukan kepada baginda Rasulullah SAW. Sejak itu juga, Rasulullah SAW menggelarnya al-Farouq(sang pemisang), kerana Allah memisahkan antara hak dan batil dengan keIslaman Saidina Umar.

Ibnu Mas’ud r.a. juga berkata, “Kami menjadi orang-orang yang gagah dan mulia sejak Umar masuk Islam.”

Malahan, Saidina Umar r.a. sendiri pernah berkata,

“Kita ini adalah orang-orang yang paling hina lalu Allah memuliakan kita dengan Islam. Kalau saja kita mencari kemuliaan pada selain Islam maka Allah akan menghinakan kita lagi…”

Ya, dahulu kita hina, tapi Allah telah muliakan kita dengan Islam.

Ini Kisah kita

Dahulu, bangsa kita bangsa yang hina dan tidak bertamadun. Tanah Melayu sendiri, diungguli oleh 3 bahasa pertuturan utama. Pertamanya, bahasa Sanskrit, kedua, bahasa Jawa, dan yang terakhir adalah bahasa Melayu. Mengikut catatan sejarah, bahasa Melayu adalah bahasa pertuturan golongan kelas paling bawah sekali dalam masyarakat.

Namun, lihatlah, bagaimana Islam mengangkat martabat bahasa Melayu, sehingga sewaktu zaman kegemilangan Melayu Melaka, bahasa ini menjadi lingua franca, menjadi bahasa pertuturan pedagang-pedagang dari seluruh dunia. Bangsa yang dahulunya lemah dan hina, terangkat kedudukan dan kemuliaannya kerana Islam.

Hari ini, melihatkan keadaan umat Islam, khususnya bangsa Melayu di Malaysia, kita sendiri kadang-kadang ragu dan malu untuk mengaku sebagai seorang Melayu. Hakikatnya, bangsa Melayu ini, jika diteliti sejarahnya merupakan bangsa yang hebat. Bangsa pilihan Allah dalam mengembangkan Islam di Kepulauan Melayu. Sama halnya seperti Allah mengangkat bangsa Arab sebagai bangsa tonggak yang menegakkan Islam di Tanah Arab. Kitalah bangsa yang pernah mulia kerana Islam.


Lihat sahaja Melaka ketika itu sudah berperang menggunakan gajah, dan sudah terdapat bangunan 2 tingkat tika itu


Bila disebut kerajaan Melayu Melaka, bukanlah sebesar Melaka yang kita lihat hari ini. Kerajaan Melaka ketika itu merangkumi Kelantan, Perak, sehinggalah ke Johor di bahagian Selatan. Malah, sewaktu Portugis membakar Kota Melaka, dikatakan kebakaran memakan masa berhari-hari. Bayangkan betapa besarnya kerajaan Melaka ketika itu. Kerajaan yang hebat, bangsa yang dimuliakan Allah dengan Islam dan kemajuan dalam bidang perdagangan.

Tentera Portugis batalion askar yang sangat besar, dan menyerang sebanyak 3 kali menandakan kubu Melaka bukan sembarangan. Terdapat kubah menandakan Melaka di bawah naungan empayar Islam tika itu

Kebakaran yang dialami Melaka akibat serangan bertubi-tubi oleh Portugis. Dikatakan tempoh kebakaran seminggu atau lebih.

Inilah sejarah yang telah kita lupakan. Sejarah yang ditutup, agar kita sendiri merasa malu dengan bangsa kita. Agar kita merasa rendah diri, dan tak berkemampuan untuk membangunkan kembali Islam di Tanah air kita.

Bagaimana kemuliaan kita dapat dikembalikan?

Langkah pertama yang harus kita susun dalam agenda memperbaiki keadaan umat Islam dan bangsa kita hari ini adalah, dengan kembali kepada Allah SWT.

“Sesiapa yang mahukan kemuliaan (maka hendaklah ia berusaha mencarinya dengan jalan mematuhi perintah Allah), kerana bagi Allah jualah segala kemuliaan. Kepada Allah lah naiknya segala perkataan yang baik (yang menegaskan iman dan tauhid, untuk dimasukkan ke dalam kira-kira balasan), dan amal yang soleh pula di angkatnya naik (sebagai amal yang makbul – yang memberi kemuliaan kepada yang melakukannya). Dan sebaliknya: orang-orang yang merancangkan kejahatan (untuk mendapat kemuliaan), adalah bagi mereka azab seksa yang berat; dan rancangan jahat mereka (kalau berkesan) akan rosak binasa.” (surah al-Faatir:10)

Kita sedar bahawa agama ini adalah agama yang benar di sisi Allah SWT. Kita juga sedar bahawa kitalah umat yang paling agung. Maka, apa yang harus kita lakukan agar kemuliaan ini kembali kepada kaum Muslimin? Bagaimana kemuliaan ini dapat kembali kepada bangsa Melayu Islam di Malaysia?

Yakinlah bahawa rezeki dan ajal kita semuanya berasa di tangan Allah SWT. Allah juga takkan mengubah nasib kita, melainkan apabila kita semua mengubah diri kita, menuju redhaNya.

Beberapa orang telah pergi menemui seorang isteri yang telah ditinggalkan oleh suaminya yang pergi berjihad di jalan Allah. Mereka berkata kepada perempuan tersebut, “Katakanlah kepada Saidina Umar agar dia tidak mengirim suamimu keluar berjihad. Dari mana kamu mahu mencari sumber untuk member makan anak-anakmu?” Maka, jawab si perempuan tersebut, “Aku tahu bahawa suamiku adalah orang yang biasa makan. Tetapi aku tidak mengetahui dia sebagai pemberi rezeki. Jika orang yang biasa makan pergi, tetapi Sang Pemberi Rezeki masih ada, lalu apa masalahnya?”

Kemuliaan itu pernah menjadi milik kita. Dan ia pasti akan kembali menjadi milik kita suatu hari nanti. Kita bukan bangsa yang malas, bukan bangsa yang layu, bukan bangsa yang mundur. Kita bangsa pilihan Allah yang akan menegakkan kembali Islam di Malaysia dan Kepulauan Melayu. Sama-sama kita usahakan, agar impian ini menjadi kenyataan.

Jom sertai~

Semoga kita dapat memupuk rasa izzah terhadap Islam dan Melayu.

Ya Allah, muliakanlah kami dengan Islam dan muliakanlah Islam dengan adanya kami.

Wednesday, January 12, 2011

nota cinta

Dakwah itu adalah nafas kehidupan. Manakala tarbiyah pula adalah sendi perjuangan. Dakwah adalah cinta dan memang seperti itulah hakikat dakwah. Cinta akan meminta semua dari diri kita; fikiran,perhatian,berjalan,duduk dan tidur kita. Imam Hassan Al-Banna

Dakwah itu cinta
Dakwah itu cinta. Cinta yang akan menuntut segalanya dari kita. Itulah fitrah dan sunnatullahnya. Baik buruk Islam dan dakwah ini, kita cerminannya. Itu yang paling ditakuti. Takut buruk kita, tempiasnya terkena pada Islam dan dakwah ini.

Peringatan ini untuk diri sendiri. Minggu depan bermulalah minggu peperiksaan.
Cintakan Islam dan dakwah? Berusahalah wahai diri...
Semoga Islam dan dakwah ini tidak terfitnah oleh diri dan sikapmu..


Wednesday, January 5, 2011

sahabat datang dan pergi..

Assalamualaikum wbt..

Selamat Tahun Baru..あけましておめでとうございます!!
Baru 2 hari menjejakkan kaki semula ke bumi Jepun. Buat semua yang terlibat dalam jaulah kali ini, ribuan terima kasih diucapkan atas segala kerjasama dan tolak ansur yang diberikan. Kenangan indah bersama kamu semua sentiasa mekar di hati. Semoga ukhwah antara kita, sentiasa dalam rahmatNya.

Sekarang, tiba masa untuk kita muhasabah kembali, seminggu yang telah berlalu. Seminggu yang telah kita habiskan di sana.

Tercapaikah segala matlamat yang telah kita tetapkan?
Penat lelah, suka duka, wang ringgit yang dilaburkan, berbaloikah?
Apa pula perancangan kita untuk memperbaiki diri?

Semoga trip kali ini menghadiahkan kita seribu satu pengajaran, yang akan membantu kita untuk sama-sama berusaha menuju redhaNya. Pengalaman yang tidak boleh dijual beli atau dipindah milik, setinggi-tinggi kesyukuran kepadaNya yang menganugerahkan kita dengan Islam. Pertama kali bersua, terasa seakan sudah kenal lama. Cuaca serendah -15 darjah celcius, kita tetap selamba menikmati keindahan alam ciptaanNya. Tanpa ilmu yang cukup, kita masih berani meluncur ski. Biasiswa yang banyak, kita mampu berbelanja lebih untuk sahabat dan keluarga.

Betapa banyak nikmat yang dikurniakan kepada kita, berapa banyak pula kesyukuran kita padaNya?

Semoga pengalaman seminggu di sana, memberi kita kekuatan dan semangat baru untuk menjadi hamba yang lebih baik kepada Tuhannya.

Minna, aishiteru fillah~




^melihat SATU kepada banyak, melihat banyak kepada SATU^