Wednesday, January 27, 2010

Hikmah orang tua dalam jiwa orang muda

Alhamdulillah, peluang menemui beberapa tokoh besar ISMA dalam program baru-baru ini benar-benar berharga buat saya dan rakan-rakan. Bak kata orang, hikmah orang tua itu seharusnya berada dalam semangat orang muda. Berkenalan secara dekat dari hati ke hati dengan tokoh-tokoh ini membuatkan saya terfikir bahawa, formula dakwah itu bukan sahaja kebolehan bercakap, ilmu yang tinggi, akhlak yang mulia tetapi juga kecemerlangan akademik yang mantap. Barisan-barisan pimpinan ISMA ini rupanya tokoh-tokoh yang hebat semenjak zaman remaja lagi. Masing-masing mempunyai rekod cemerlang dalam akademik di sekolah dan memperoleh peluang belajar di luar Negara. Hebatnya mereka ini, mereka bukan sahaja berjaya dalam bidang kerja yang diceburi, malah bergiat aktif dalam menyampaikan dakwah untuk memperbaiki umat hari ini.

Oleh itu, di kesempatan ini, ingin saya berkongsi dengan para pembaca sedikit biografi tokoh-tokoh hebat ini dan pesanan mereka untuk pedoman kita semua mengharungi hidup yang penuh liku ini.

En Aminuddin Yahaya

Beliau merupakan setiausaha agung ISMA semenjak penubuhannya. Orang yang paling tahu tentang selok belok ISMA, matlamat jangka pendek dan panjangnya, juga maklumat tentang semua kerjasama ISMA dalam dan luar Negara. Mendapatkan tarbiyah pertama sewaktu menuntut di UiTM pada tahun 1981. Melibatkan diri dalam debat semenjak sekolah.

Pesanannya : Sebarkan fikrah ini ke seluruh kelompok masyarakat.

Ustaz Abdul Halim

Merupakan Naib Presiden ISMA. Mendapat pendidikan dalam bidang kejuruteraan di Australia, kemudian berdegil untuk menyambung pelajaran di Mesir demi merasai tarbiyah IM sendiri. Sewaktu di Mesir sering solat berjemaah bersama Mustafa Masyhor dan ke rumah beliau. Seorang yang sangat cemerlang dalam bidang akademik semenjak kecil. Bercita-cita untuk ke Mesir sejak di tingkatan 4 dan Alhamdulillah dengan kedegilannya beliau berjaya menetap selama 10tahun di Mesir dan merasai sendiri tarbiyah IM. Menjadi junior Ustaz Lah(Presiden ISMA) di Mesir. Kini membuka pakej umrah sendiri dan tadika.

Pesanan : Gunakan segala masa, idea dan tenaga yang ada untuk sampaikan dakwah.

Dr Zainur Rashid

Merupakan seorang doktor pakar dan Timbalan Dekan IMU. Aktif bergiat dalam Aman Palestin dan ISMA. Cemerlang semenjak sekolah lagi. Terlibat dalam tarbiyah sejak tingkatan 3. Walaupun sibuk dengan kerjaya sebagai seorang doktor, tetap aktif di medan dakwah.

Pesanan : Dakwah utama pelajar adalah kecemerlangannya dalam bidang yang diceburi.

Ustaz Fauzi Asmuni

Naib Presiden 2 ISMA. Terlibat secara langsung dengan tarbiyah pelajar di luar Negara. Bekas pelajar SMAP Labu dan menyambungkan pelajaran di Mesir. Ceria, suka tersenyum dan buat lawak, selamba. Seorang yang berfikiran besar dan terbuka.

Pesanan : Bangunkan umat Melayu(Islam) di Malaysia. Kaji tentang Malaysia, sasaran utama dakwah kita.

Hikmah Perkenalan

Saya sangat terkesan dengan peribadi tokoh-tokoh besar ini. Ternyata mereka adalah asset berharga Negara dan ummat ini. Banyak uwasa saya dengar tentang ISMA kebelakangan ini, tapi dengan perkenalan hati ke hati bersama tokoh-tokoh di atas, saya semakin yakin dengan keputusan untuk terus bersama ISMA. Tak mungkin orang-orang cemerlang ini membuat keputusan terburu-buru tanpa bermusyawarah sesama mereka. Semoga fikrah ini dapat tersebar ke seluruh masyarakat di dalam dan di luar Negara. Semoga fikrah ini sampai jua ke bumi sakura satu hari nanti.


p/s : Hari ini usia saya meningkat lagi. Tanda saat kematian semakin menghampiri. Semoga tahun ini lebih baik daripada tahun-tahun yang lalu. Semoga di penghujung usia nanti, saya masih teguh berdiri di atas jalan ini. Terima kasih kepada sahabat-sahabat yang selalu mendoakan. Maaf atas segala kesilapan yang lalu.

Monday, January 18, 2010

Melawan Diri Sendiri

Saya tak pasti hanya saya yang merasakan seperti ini. Terasa seperti mempunyai dua orang saya di dalam diri ini. Satu saya yang baik, satu lagi yang agak tak baik. Setiap tindakan yang dilakukan diambil melalui hujah-hujah yang dikeluarkan oleh kedua belah pihak. Nak kata syaitan dengan iman pun boleh, hati dengan akal pun boleh juga. Tapi saya lebih senang untuk menganggapnya sebagai perbicaraan antara hati dan akal.

Beza antara hati dan akal

Hati mungkin lebih banyak mendengar kata nafsu. Banyak yang dipintanya. Di sinilah perlunya akal untuk berhujah dan berfikir apakah tindakan atau solusi yang lebih baik. Tapi, akal pun perlukan sumber untuk menjadi kayu ukur atau garis panduan dalam menetapkan apa yang boleh dan tidak boleh dalam hidup ini.

“Hati inginkan barang yang mahal2..namun akal bertindak untuk berfikir jauh…sekadar keperluan sudah mencukupi…”

“Hati sering meminta lebih…sedangkan akal bertindak untuk menyelamatkan diri daripada kufur dan boros…”

Hakikatnya, kitalah yang seharusnya bertindak memenangkan hujah akal ke atas hujah hati atau nafsu kita semata-mata. Semuanya tidak mudah, tapi

“When there’s a will, there’s a way…”

Kuasa minda dan hati mengatasi segalanya

Baru pulang dari kem motivasi, menurut Tuan Haris, kuasa minda itu sebenarnya lebih besar daripada kuasa fizikal. Walaupun ditekan dengan berbagai dugaan, selagi minda dan hati kita kata kita mampu untuk menghadapinya, insyaAllah kita mampu lakukannya.

Saya tidak mengatakan jalan menuju Allah itu mudah. Pernah beberapa kali tersungkur mencari jalan sebenar sehingga saya kembali mempersoalkan,

“Selangkah kita mendekati Allah, seribu langkah Allah mendekati kita.”

Tapi, kenapa semakin banyak pula ujian dariNya? Bila pertolongan Allah nak sampai ni?

Ya, bila kita bergerak mendekati Allah, makanya kita bergerak menjadikan diri kita sebagai seorang yang beriman. Dan firman Allah SWT,

“Patutkah manusia menyangka mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata,"Kami beriman." Sedangkan mereka tidak diuji??(al-Ankabut:2)”

Pastinya Allah akan menguji setiap yang kita azamkan dan katakan. Untuk menguji samada kita benar-benar beriman dan percaya kepadaNya. Menguji sejauh mana kebenaran dan kesungguhan kita dalam berazam dan berjanji.

Hidup Ikut Sunnah

Hidup ini banyak peraturannya. Mungkin orang melihat saya sebagai seorang yang cerewet. Tak boleh nak minum air Nescafe, milo, apatah lagi coca-cola. Tak boleh pula mencampurkan makanan laut dan darat. Kena minum susu sebelum tidur. Tak boleh meniru dalam peperiksaan dan lain-lain lagi.

Hakikatnya, peraturan-peraturan hidup itu bukanlah saya sendiri tetapkan. Jua bukanlah sesuatu yang saya sukai dan lakukan dengan hati yang rela. Namun, saya percaya, jika inilah cara hidup insan Agung, sebaik-baik manusia di atas muka bumi ini, Nabi Muhammad SAW yang dikatakan al-Quran bergerak, maka apalah salahnya walaupun tidak semua, sedikit daripadanya kita ambil dan aplikasikan dalam hidup ini. Setidak-tidaknya adalah sedikit usaha daripada kita untuk memperbaiki diri menjadi sebaik Rasulullah SAW.

Apalah salahnya kita jaga kesihatan dan pemakanan kita sebaiknya. Tubuh ini juga ada haknya yang perlu kita tunaikan.

Apalah salahnya kita korbankan markah yang tinggi di dalam peperiksaan untuk memupuk sifat jujur dan berani dalam diri. Jujur dengan kemampuan diri, berani menghadapi kegagalan.

Apalah salahnya kita korbankan prinsip diri dan hati sendiri, demi memupuk akhlak mulia, untuk dicintai Allah dan seluruh manusia.

Meniru Dalam Exam

Ya, sejak masuk JAD saya terbiasa dengan aktiviti meniru. Kalau bukan saya yang meniru, saya pula akan ditiru. Namun semenjak artikel tentang meniru dikeluarkan dalam azzariyat, saya berazam untuk tidak lagi meniru dalam apa jua peperiksaan. Ya, saya belajar erti sakitnya kegagalan dan manisnya usaha tanpa putus asa.

Pagi tadi ada satu lagi kuiz. Kuiz Ryuutai(fluid mechanics) yang diadakan sehari selepas kami selesai kem motivasi. Juga ada report eksperimen yang perlu dihantar juga pada hari ini. Ya, jiwa dan minda saya tertekan. Fizikal juga kehabisan tenaga yang menyebabkan saya mengantuk dan tidur seawal jam 10.45malam tanpa ulangkaji mahupun usaha menyiapkan report. Namun, ternyata hati ini tidak tenang. Beberapa kali terjaga dan kata-kata seorang sahabat terngiang-ngiang di telinga saya.

後悔は悲しいことだよ。。。

“Penyesalan itu sesuatu yang menyakitkan…”

Berusaha juga untuk bangun awal dan memahami beberapa topik yang akan diuji. Berusaha juga untuk menahan mata menyiapkan report untuk dihantar. Hampir-hampir saya mengorbankan prinsip diri untuk tidak meniru lagi kerana kurangnya persediaan. Tapi akal dan hati kembali berhujah.

“Kalau result kuiz ni teruk, xde peluang la nak merasa dapat A subjek ni…” hati berbicara.

“Sampai bila aku perlu jadi begini? Kegagalan itu berada dimana-mana. Manusia yang paling berani adalah mereka yang berani menghadapi kegagalan dan berani pula mengubahnya..” akal pula membidas.

Hakimnya pula pastilah diri kita sendiri, kerana pilihan masih di tangan kita untuk melaksanakan atau tidak melaksanakannya. Baik pilihan kita, baiklah ganjaran di hari akhir nanti. Buruk pilihan kita, bersedialah untuk menjawab di hadapan Allah nanti.

Jadi, marilah kita bersama-sama melawan kehendak hati kita sendiri untuk sesuatu yang lebih baik buat kehidupan di sini dan di sana nanti. Pelaburan ini pastinya memerlukan pengorbanan. Namun pengorbanan yang tidak sia-sia kerana ada ganjaran yang lebih besar menanti di Syurga nanti.

Sesungguhnya Allah tidak akan sesekali menghampakan kita.



>melihat SATU kepada banyak, melihat banyak kepada SATU

Wednesday, January 6, 2010

tak semudah yang disangkakan

"Ape ni mazni, dah setengah jam dalam kereta, tak gerak-gerak pon lagi...."

"Haha...mati enjin lagi...korang ni reti bawak kereta ke tak?hehe.."

"kalau gerak macam siput ni...bile kite nak sampai?"

Astaghfirullah...kejam kan saya?pasti ramai sahabat-sahabat saya di luar sana terutamanya mazni, siti shafarwati, diyaizzati dan lain-lain pernah merasakan betapa tensionnya mendengar mulut ini mengomel dan mengkritik mereka memandu kereta. Hanya kata maaf yang mampu kuucapkan, semoga segalanya tidak berbekas di hati kawan-kawan semua. Gomennasai...

Tak semudah yang disangkakan
Alhamdulillah, akhirnya diberi peluang juga oleh Allah SWT untuk mendalami ilmu baru, ilmu memandu kereta. Akhirnya dapat juga keizinan daripada mak dan ayah untuk mendapatkan lesen memandu setelah berbagai-bagai hujah diberikan. Ternyata, ianya tidak semudah yang disangkakan.


Enjin mati di persimpangan.
Termasuk gear salah.
Tertukar kiri dan kanan.

Dan banyak lagi masalahnya. Maka, hari ini, saya belajar untuk menghargai mereka yang banyak memandu saya kemana-mana. Mak, ayah, Farah, Mas, Mazni dan lain-lain. Saya juga belajar untuk mengomen secara empati. Tak semua perkara mudah di dunia ini. Mungkin mudah bagi orang lain, tak mudah pula bagi sesetengah yang lain.

Mulut dan hati
Apa yang terluah di mulut, selalunya akan memberi kesan di hati. Sedari kecil terkenal sebagai seorang yang agak laser, hingga terbawa-bawa ke sekolah menengah, juga ke JAD, banyak hati yang telah saya calari dengan kata-kata yang menyakitkan. Walaupun hakikatnya, kebanyakannya hanyalah sekadar gurauan di bibir saya.

Walaupun kata maaf saya tidak dapat menyembuhkan luka-luka lama di hati anda semua, ketahuilah, hanya itu yang mampu saya ucapkan saat ini. Dan saya hanya mampu berdoa agar Allah membuka hati kalian untuk memaafkan segala kekhilafan diri ini. InsyaAllah, saya akan lebih berhati-hati selepas ini.


Belajarlah untuk melihat orang lain dengan pandangan mata hati kita. Tiada yang tidak pernah melakukan kesilapan dalam hidup ini. juga, tiada manusia yang sempurna segalanya dalam dunia ini. Maka, berpijaklah di alam realiti, nilailah seseorang dengan mata hati kita. Agar mulut dan tindakan kita tidak bertindak sewenang-wenangnya dalam menghakimi orang lain.

Azam Tahun Baru

#Banyakkan berfikir daripada berkata-kata, tak semua yang baik pada pandangan kita, baik pada pandangan orang lain. Gunakanlah neraca Allah untuk menilai baik buruk dalam hidup ini.

#Kurangkan gurauan yang berlebihan dan menghiris perasaan orang. Mungkin saya tidak banyak bergurau berlebihan dengan rakan-rakan JAD, tapi mai, nisa, wawa, maimis, mazni knows me better. InsyaAllah, i'll try my best to zip my lips and i'll learn ways to communicate appropriately.

#Banyakkan mengisi masa dengan membaca.


Semoga segala yang diimpikan, bisa direalitikan. InsyaAllah.
Last words, friends, sorry for all my wrong doing and please help me to improve myself and pray for my success. Love all of you...


XOXO
Dzulaikha Mat Zaini


p/s : saya QTI test hari jumaat ni, doakan ye...

>melihat SATU kepada banyak, melihat banyak kepada SATU

Monday, January 4, 2010

Friday, January 1, 2010

Memori di JAD dan harapan 2010

Terasa seperti masa terlalu cepat berlalu. 2010 menjelma juga akhirnya. InsyaAllah bulan mac ini, saya dan rakan-rakan akan berangkat meninggalkan Malaysia. Berpisah mencari sebuah kehidupan untuk masa depan masing-masing. Post ini lebih kepada hidup saya selama 3 tahun di JAD. Kenangan yang amat berharga sepanjang 20 tahun hidup saya ini. Di sini tempat saya mengenal kembali diri saya dan untuk apa saya hidup. Bumi tempat saya menerima tarbiyah. Pastinya kenangan itu sangat manis. Dan tarbiyah itu menjadi bekalan untuk menempuh kehidupan penuh cabaran di masa akan datang.

Semoga pengajaran 3 tahun ini, akan menjadikan saya dan rakan-rakan semua insan yang lebih berjaya dalam meniti kehidupan di dunia dan akhirat.

Menyingkap Memori
2007 : Matrix
Tanggal 7 Januari 2007, saya dan rakan-rakan lain telah diterima untuk program intensif bahasa inggeris dan bahasa jepun. Sejak itu, kami membina ukhwah, berkenalan dan bersahabat dengan orang dari serata negeri. Sebilik dengan Baqiah dan Afiqah, banyak membantu saya untuk mempelajari dialek kelantan. Suatu yang amat saya hargai. Terima kasih kepada kamu berdua.

Tahun ini juga, saya diterima menjadi pelajar JAD. Seminggu selepas mendaftar, seseorang telah datang, menjalin hubungan, menawarkan sesuatu yang berharga buat diri ini dan rakan-rakan. Alhamdulillah, Allah mempermudahkan jalan saya untuk mendekatiNya. Tarbiyah datang tanpa dipinta.

Program-program ilmu pula sangat banyak memenuhi hujung-hujung minggu. Tahun yang sangat bermakna buat saya. Terima kasih kepada sempai-sempai yang tidak jemu-jemu mengajak untuk ke majlis-majlis ilmu ini.

Prestasi akademik juga meningkat, membuatkan hati ini lebih yakin. Yakin yang terjun ke medan tarbiyah dan dakwah bukanlah suatu keputusan yang salah, walaupun banyak masa dicurahkan di sini.

Kepada kouhai tachi : Walaupun dah agak lambat, tapi pesan akak gunakanlah masa anda di zaman matrix dengan sebaiknya untuk menggali ilmu-ilmu yang banyak di bumi JAD. Carilah matlamat sebenar anda di sini.

2008 : U1
Tahun ini adalah tahun yang penuh cabaran buat saya. Tahun yang paling banyak ujian dariNya. Tahun yang penuh dengan kedukaan yang mendewasakan. Tahun yang banyak mendedahkan saya realiti medan juang ini. Tahun yang paling banyak kesilapan dan konflik.

Sungguh, jalan ini tidak ditaburi dengan karpet merah dan kemewahan, tapi penuh dengan duri-duri dan cabaran. Cabaran yang mendewasakan.

Konflik dengan rakan-rakan.
Konflik dengan sempai.
Konflik dalaman untuk memilih yang terbaik buat diri sendiri.

Tarbiyah setahun itu, belum cukup untuk saya menjadi seorang hamba Ilahi yang sempurna. Maka, banyak kesilapan yang dilakukan dalam proses mengenali diri sendiri dan menegakkan apa yang dirasakan benar. Kesilapan yang banyak mengajar saya untuk menjadi seorang pemikir. Berfikir sebelum bertindak dan berkata-kata. Kata orang, ibarat menarik rambut di dalam tepung, berhati-hati agar tepung tidak berselerak dan rambut tidak terputus.

Kepada sesiapa yang pernah terlibat dalam konflik bersama saya tahun 2008 dulu, hanya maaf yang mampu saya ucapkan atas segala kekhilafan diri. Saya juga seorang manusia yang tidak terlepas dari berbuat salah. Kata-kata yang tidak sedap didengari, tindakan yang kurang ajar dan sebagainya, harap tidak berbekas di hati kalian.

Tahun ini juga, saya membuat keputusan yang besar dalam hidup saya. Melaburkan diri dalam medan dakwah secara serius, demi mengutip janjiNya di akhirat nanti. Demi sebuah pembelaan, yang saya juga sebahagian daripada pejuang agamaNya.

2009 : U2
Tahun ini adalah tahun kenangan. Tahun saya meneliti kembali segala potensi diri untuk bergerak mencapai redha Ilahi.

Ada jatuh, ada bangunnya sendiri.

Yang pasti, tahun ini lebih tenang daripada tahun-tahun sebelumnya. Fokus saya hanya kepada pentarbiyahan diri, dan belajar untuk memberi. Memberi demi diri sendiri.

Pelajaran yang semakin sukar, mengajar saya erti kegagalan. Hidup ini ibarat roda. Up is good, but down is not for eternal. Kita tidak selalu berada di atas. Adakalanya perlu berada di bawah, agar dapat belajar kerendahan hati dan kesabaran.

Hubungan sesama rakan dan kouhai semakin baik. Tahun yang menceriakan keseleruruhannya.

Hanya iman yang naik dan turun secara ekstrim. Menstabilkannya adalah terlalu sukar. Semoga Allah kuatkan hati ini untuk terus berusaha mencapai redhaNya dalam hidup ini.

Tahun ini juga, saya mula bergiat aktif sebagai seorang penulis dan blogger. Menulis di sini dan juga di azzariyat. Balajar melakar kata-kata yang mampu menyuntik hati sendiri dan orang sekeliling, agar sama-sama mendapat manfaat untuk hari akhir nanti. Sukar sebenarnya untuk menjadi seorang penulis yang merealisasikan kata-katanya sendiri. Terbayang azab Allah terhadap golongan yang hanya pandai berkata-kata, membuatkan kadangkala saat iman menurun, saya bertindak menyepikan diri. Takut diri ini tidak mampu untuk melaksanakannya.

Semoga segala yang telah berlalu, memberi pengajaran buat diri ini untuk memperbaiki diri pada tahun-tahun akan datang.

Harapan 2010
Takut sebenarnya melangkah ke tahun baru ini. Takut untuk berazam baru, takut untuk meniti hari-hari yang mendatang. Semoga segalanya lebih baik daripada tahun-tahun sebelumnya. Ada beberapa perancangan sebelum melangkah keluar dari bumi Malaysia. Rasa tanggungjawab untuk meninggalkan sesuatu yang berharga buat kouhai tachi di sini. Agar tarbiyah di bumi JAD ini akan berterusan.

Peperiksaan akhir yang hanya tinggal sebulan sahaja lagi, harap dapat dihadapi dengan sebaiknya.


Ya Allah, bantulah kami semua untuk menjalani kehidupan ini dalam redhaMu.
Bantulah kami untuk memperbaiki diri kami, dan meningkatkan amal kami untuk dipersembahkan kepadaMu nanti.
Ikhlaskanlah hati kami dalam setiap amal kami. Semoga segalanya diterima disisiMu.

Amin.


>melihat SATU kepada banyak, melihat banyak kepada SATU