Hari ni masuk hari keempat cuti. Masih ada 20 hari berbaki untuk cuti kali ini(student JAD). Rasanya masih belum terlambat untuk kita semua merancang perjalanan cuti kali ini. Agar masa lapang yang ada tidak disia-siakan begitu sahaja. Saya pasti kita semua pernah terjumpa atau mendengar pepatah yang berbunyi,
"You're planning to fail, if you fail to plan"
Allah SWT juga ada berfirman dalam surah al-Asr,
Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.(ayat 1-3)
Jadi, agar kita sama-sama dapat memanfaatkan cuti ini sebaiknya, marilah bersama merancang perjalanan cuti kali ini. Sedikit perkongsian tentang rancangan perjalanan cuti saya kali ini, semoga bermanfaat untuk semua. Apapun, kita hanya mampu merancang, tetapi perancangan Allah jualah yang terbaik. Sekurang-kurangnya, dapat jualah perancangan ini menjadi hujah buat kita di akhirat kelak, tanda adanya usaha daripada diri kita untuk tidak menjadi golongan yang rugi.
Plan untuk Iman
Cuti adalah antara faktor penyebab kepada futur. Tidak dinafikan, ketiadaan suasana yang soleh dan islamik, sedikit sebanyak mendorong kita untuk lebih mengutamakan hawa nafsu berbanding iman di hati. Tidur berlebihan, tengok tv berlebihan, shopping berlebihan dan lain-lain lagi. Jadi, sebagai persediaan untuk menghadapi semua ini, buatlah 1 jadual amalan harian yang mampu untuk mengekang kita daripada segala yang berlebihan ini.
contoh jadual amal
Plan untuk keluarga
Bagi mereka yang duduk berjauhan dengan keluarga, inilah saatnya untuk kita kembali menjalin hubungan dan memperbaiki ukhwah sesama keluarga, sanak saudara dan jiran tetangga. Tak salah kalau sekali-sekala kita meluangkan masa menemani ayah ke kebun, menolong emak di dapur dan halaman rumah, menonton tv bersama adik-beradik dan lain-lain lagi. Mereka juga punya hak ke atas diri kita, maka gunakanlah peluang ini sebaiknya untuk kita menebus kembali masa-masa lalu yang tidak dapat untuk diperuntukkan bersama.
Pokok dan buah nangka di kebun ayah
Sharpen Your Skills
Oleh sebab tak lama lagi kita akan tinggal berjauhan dengan keluarga dan tanah air, gunakanlah sisa masa yang ada untuk kita mengaut sebanyak-banyak ilmu daripada mereka disekeliling kita terutamanya emak dan ayah. Belajar memasak makanan dan kuih-muih yang sedap daripada emak, belajar tentang teknologi dan survival skill daripada ayah. Banyak ilmu dan pengalaman orang tua yang dapat kita jadikan pengajaran untuk masa depan.
belajar mengelim karipap daripada emak
Ulangkaji Pelajaran
Mungkin kelihatan agak skema, tapi ingin saya mengingatkan diri saya dan rakan-rakan 1 batch yang lain, walaupun semuanya telah diterima masuk ke universiti pilihan masing-masing, itu bukanlah tiket yang membolehkan kita semua untuk terbang ke Jepun. Kita masih ada exam semester akhir yang kan bermula pada 8 Febuari 2010 nanti. Keputusan itulah yang kan mencorakkan sijil diploma kita dan juga menjadi tiket untuk kita ke Jepun. Jadi, peruntukkanlah sedikit masa untuk kita kembali meneliti dan cuba memahami segala yang telah dipelajari.
Kunci kejayaan : Usaha+mujahadah
Segala yang kita rancangkan akan kekal menjadi perancangan selagi kita tidak bergerak untuk melaksanakannya. Menulis, berkata dan merancang tidaklah sesusah untuk melaksanakannya. Kita semua perlukan usaha dan kesungguhan agar segala yang dirancangkan mampu menjadi suatu kenyataan.
Saat kemalasan hadir, katakanlah kepada diri anda,
"Aku dah xde masa lain dah nak buat semua ni lepas ni, kalau aku tak buat sekarang."
Saat nafsu memberontak untuk membazirkan masa dengan suatu yang sia-sia, jawablah,
"Ini hanya kehendak, bukan keperluan. Banyak lagi plan yang belum selesai. Aku perlu selesaikan semua perancangan dulu sebelum memenuhi kehendak sendiri."
Saat iman dan nafsu berlawan untuk memilih dosa atau pahala, katakanlah,
"Aku telah berusaha sejauh ini untuk mendapatkan hidayahNya, aku takkan lakukan sesuatu yang bakal menghilangkannya daripada hati ini."
Sungguh, perjalanan menuju Allah itu amat sukar. Perlukan semangat yang tinggi, kesabaran, kesungguhan dan usaha yang berterusan. Maka, janganlah kita cacatkan usaha-usaha kita dengan dosa-dosa yang akan menjauhkan kita denganNya.
Kalau jatuh, bangunlah kembali.
Kalau gagal mengikut perancangan, disiplinkanlah diri kembali.
Semoga usaha kecil kita ini, mendapat ganjaran yang besar di sisi Ilahi.
>melihat SATU kepada banyak, melihat banyak kepada SATU