Friday, March 26, 2010

Jepun di mataku...

Alhamdulillah, selamat tiba di Narita Airport pukul 6.05pm waktu Jepun. Maka bermulalah kembara saya di bumi sakura. Pengembaraan mencari ilmu yang menuntut pelbagai pengorbanan. Terkenang kembali buku tulisan Ustaz Hasrizal, “Rindu Bau Pohon Tin” yang saya hadam seminggu sebelum bertolak ke sini. Hingga saat ini saya masih memikirkan berbaloikah pengorbanan ini?Sedangkan banyak keuntungan dan pastinya lebih mudah untuk belajar di negara sendiri bergaul, makan, hidup di tanah air sendiri.

Berkorban untuk tinggal berjauhan dengan keluarga.

Berkorban untuk belajar ilmu kejuruteraan menggunakan bahasa dan tulisan yang sangat asing.

Berkorban untuk tertinggal majlis-majlis perkahwinan adik-beradik dan saudara-mara.

Berkorban untuk meninggalkan makanan yang sedap-sedap di tanah air.

Berkorban untuk hidup di Negara asing yang tidak faham tentang Islam.

Berkorban meninggalkan zaman belajar universiti tempatan bersama-sama teman seperjuangan.

Akhirnya, saya menyimpulkan bahawa berbaloi atau tidaknya pengorbanan ini, segalanya bergantung kepada diri saya sendiri. Segalanya bergantung kepada bagaimana saya melalui kehidupan di sini, yang menjadikan segala yang saya korbankan ini, membuahkan pengajaran berguna untuk kehidupan dan masa depan saya sendiri.

Hari ini, saat artikel ini ditulis, merupakan hari ke-5 saya di sini. Terdapat beberapa pandangan tentang Jepun terbentang di mata saya. Segala imej yang saya bayangkan dahulu, lenyap entah kemana dan menimbulkan pelbagai imej baru di mata saya.

Sejuk

Ya, Jepun sangat sejuk rupanya. Sejuk yang tidak tergambar oleh saya sebelum ini. Selalunya di Malaysia, cuaca panas menyebabkan kita masuk ke bilik berair-cond, tetapi di sini, keluar sahaja bilik, terasa seakan ada air-cond besar yang sentiasa berangin, dengan suhu yang amat rendah. Serius sejuk. Subhanallah, ternyata air-cond yang Allah ciptakan ini maha hebat berbanding ciptaan manusia.

Menakutkan

Saat pertama kali dibawa keluar ke bandar oleh sempai tachi, saya dapat merasakan Jepun adalah sebuah negara yang menakutkan. Walaupun banyak yang mengatakan Jepun Negara yang selamat, dan saya juga yakin tentang itu, tetapi mungkin kerana kita merupakan warga asing di sini, terasa sangat takut. Takut sesat. Takut nak berhadapan dengan orang Jepun. Takut dengan pandangan pelik masyarakat sini. Takut dengan deretan makanan-makanan sedap yang tidak halal. Takut dengan waktu solat yang tidak seperti Malaysia. Takut dengan cuaca sejuk yang melahirkan malas dan macam-macam lagi.

Mudah

Walaubagaimanapun, hidup di Jepun mengajar saya 1 perkara. Yakni mengajar saya bahawa Islam itu mudah sebenarnya. Mampu diamalkan oleh semua peringkat. Tidak mustahil untuk diamalkan walau di mana jua kita berada. Saya belajar untuk mengurangkan was-was dalam wudhu’ dan solat apabila terpaksa mengambil wudhu’ dalam keadaan cuaca yang sejuk, juga belajar untuk yakin bersolat di mana jua kerana hakikatnya bumi Allah ini bersih.

Macam-macam

Macam-macam saya jumpa di sini. Macam-macam jenis orang, dengan bermacam-macam pula perangai dan peribadi. Macam-macam pula peraturan yang dibuat untuk kemudahan bersama. Macam-macam jenis makanan yang tidak lalu diterima oleh tekak ini. Terasa ingin pulang sahaja ke Malaysia apabila terpaksa berlapar kerana tidak dapat menerima dengan baik makanan-makanan di sini. Terkenang kembali dialog bersama teman-teman sebilik di sini,

“Kalau ada doraemon kan best. Boleh mintak pintu suka hati.”

“Haah la. Nak balik Malaysia. Tak kenyang makan kat sini…”

“huhu..tu la…kalau ada pintu suka hati boleh la kite balik selalu…”

“ok, nanti saya belikan doraemon, awak mintakkan pintu suka hati dekat dia ek…”

Maka, roommate lain pun menjerit, “dzu……….dia buat serius pulak…”

Sekadar lawak serius di malam hari yang menyembunyikan rasa hati yang rindukan tanah air. Rindu mak ayah, rindu teman-teman, rindu makanan, rindu cuaca, rindu toilet, rindu segalanya. Kesusahan di sini menjadikan saya membenarkan peribahasa, hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, lebih baik di negeri sendiri. Semoga pengembaraan ini mematangkan diri, melahirkan insan baru yang lebih matang, sabar dan berhati-hati dalam menjalani hidup penuh dugaan ini.

p/s : Doakan saya ye kawan-kawan. Doa kalian penguat semangat saya untuk terus bertahan dan bersabar dengan kehidupan di sini. Mohon sangat…

Tempat orientasi, tinggal di sini sehingga 31Mac ni InsyaAllah



Tuesday, March 2, 2010

tentang saya dan...

Maaflah kerana terlalu lama tidak mengupdate blog ini. Ingatkan minggu peperiksaan adalah minggu yang tersibuk, tapi nampaknya selepas peperiksaan lebih sibuk. Tambahan pula apabila berada di rumah sendiri bersama keluarga, komitmen dan tanggungjawab lebih besar berbanding di hostel menguruskan diri sendiri sahaja. Ala kulli hal, berikut adalah perkembangan terbaru saya untuk teman-teman yang sentiasa tertanya-tanya, bila lah budak ni nak fly.

Perkembangan Terbaru
InsyaAllah, saya dijangka akan bertolak ke jepun pada 21 Mac ini. Teringin sangat nak jumpa kawan-kawan lama sebelum fly, harapannya anda dapatlah menghubungi saya dalam masa terdekat ini untuk kita sama-sama spend masa. Maaf kerana tidak dapat menghubungi anda semua kerana saya kehilangan handphone baru-baru ini, makanya saya juga kehilangan nombor telefon rakan-rakan semua kecuali mereka yang masih setia menghubungi saya. Btw, weekend ni cadangannya nak overnite kat rumah nisa, sesiapa(x-schoolmates) yang nak join meh la. =)

Yang ini pula terbuka kepada rakan-rakan JAD yang berminat nak melawat Taiping, bandar bersejarah pada 13 & 14 Mac ini, dialu-alukan untuk bermalam di rumah saya. Penginapan percuma, cuma tambang sendiri-sendiri la ek. Banyak la juga tempat-tempat menarik di sini. Boleh naik Maxwell Hill, mandi air terjun belakang rumah saya, night SAFARI, bersiar-siar di tasik buatan tertua di Malaysia dan macam-macam lagi. InsyaAllah, tak rugi. Siapa yang berminat boleh hubungi saya terus.

Memasang Niat
Antara perkara terpenting sebelum kita melakukan sesuatu adalah memasang niat yang betul. Tiada siapa dapat menafikan hal ini, malah para ulama' juga sebelum menghasilkan karya-karya tertentu, banyak yang memulakannya dengan hadith niat. Rasulullah SAW bersabda,

“Segala amalan adalah berdasarkan niat. Setiap orang hanya mendapat apa yang diniatkan. Justeru, sesiapa yang penghijrahannya adalah menuju kepada Allah dan RasulNya, maka penghijrahannya adalah penghijrahan kepada Allah dan RasulNya. Sesiapa yang penghijrahannya kerana dunia yang bakal diperolehi atau kerana wanita yang bakal dikahwini maka penghijrahannya adalah penghijrahan menuju kepada apa yang dingininya”.Hadis Sahih Bukhari dan Muslim

Jadi, rasanya antara perkara terpenting yang perlu kita(rakan batch3) lakukan adalah menyenaraikan dan memasang niat yang betul untuk kita berhijrah ke Jepun. Umar Abd Aziz dikatakan tidak akan keluar rumah selagi tidak memasang 40 niat. Makanya, kita perlukan berapa niat untuk ke Jepun? Terpulang kepada diri sendiri. Sedikit, biar semuanya tertunai dengan sebaik mungkin. Banyak, biar menjadi pemangkin untuk kita terus berusaha dan tidak membazir masa sesuka hati di sana.

Kalau dilihat kembali hadith di atas, insyaAllah setiap daripada kita akan mendapatkan setiap perkara yang kita niatkan. Ada beberapa orang sempai yang berkongsi niat mereka sebelum ke Jepun.

Ada sempai yang berniat untuk bergerak aktif dalam bidang dakwah di sana, maka Allah permudahkan beliau dengan jadual kelas yang tidak banyak, juga subjek yang sedikit untuk grad.

Ada pula sempai yang berniat untuk belajar bersungguh-sungguh di jepun, maka Allah hadiahkan beliau lecturer yang kibishii(strict) dan jadual yang padat, exam yang susah.

Maka, pentingnya untuk kita memasang niat yang betul sebelum melangkah meninggalkan Malaysia kerana akan mempengaruhi kehidupan kita di sana nanti. Apapun cabarannya, sentiasa bersangka baik dengan Allah SWT atas setiap yang dihadiahkanNya dalam hidup kita. Penting juga untuk kita sentiasa memelihara niat kita untuk memastikan kita berada di trek yang betul.

Penutup
Saya tidak pasti adakah ini post terakhir sebelum fly ataupun tidak. Namun, di kesempatan ini saya ingin memohon maaf jika selama ini ada mengasari anda semua. Minta halalkan segala yang terlebih dan terkurang dari saya. Sesiapa yang saya masih berhutang dengannya mohon tuntutlah dari saya sebelum saya pergi. Mungkin ada yang terlepas pandang sebelum ini.

Hidup ini banyak dugaannya. Kita tidak dapat nak pastikan samada masa depan itu lebih baik atau tidak untuk kita semua. Saya mohon doa daripada semua agar diri ini tetap teguh di atas jalanNya. Tegurlah segala salah silap saya, dan tariklah saya kembali ke trek yang sebenar andai satu hari nanti saya terpesong dari jalanNya. Janganlah dipulaukan diri ini atau dibiarkan dalam kesesatan.

Akhir kata, hadam dan ambil pengajaranlah daripada cerpen ini. Semoga bermanfaat untuk kita semua.

Hasil tulisan saudara Hilal Asyraf(www.langitilahi.com). Terimalah A.I.E.