Monday, January 17, 2011

Kita Mulia kerana Islam

“Wahai Rasulullah, bukankah kita berada di atas kebenaran?”

Baginda menjawab, “Ya.”

Beliau bertanya lagi, “Bukankah mereka berada di atas kebatilan?”

Rasulullah SAW bertanya pula, “Apa pendapatmu, hai Umar?”

“Kita harus keluar dan mengumumkan diri kita…”

Itulah dia saatnya, Islam disebarkan secara terang-terangan. Saidina Umar, pada hari beliau memeluk Islam, inilah pertanyaan yang diajukan kepada baginda Rasulullah SAW. Sejak itu juga, Rasulullah SAW menggelarnya al-Farouq(sang pemisang), kerana Allah memisahkan antara hak dan batil dengan keIslaman Saidina Umar.

Ibnu Mas’ud r.a. juga berkata, “Kami menjadi orang-orang yang gagah dan mulia sejak Umar masuk Islam.”

Malahan, Saidina Umar r.a. sendiri pernah berkata,

“Kita ini adalah orang-orang yang paling hina lalu Allah memuliakan kita dengan Islam. Kalau saja kita mencari kemuliaan pada selain Islam maka Allah akan menghinakan kita lagi…”

Ya, dahulu kita hina, tapi Allah telah muliakan kita dengan Islam.

Ini Kisah kita

Dahulu, bangsa kita bangsa yang hina dan tidak bertamadun. Tanah Melayu sendiri, diungguli oleh 3 bahasa pertuturan utama. Pertamanya, bahasa Sanskrit, kedua, bahasa Jawa, dan yang terakhir adalah bahasa Melayu. Mengikut catatan sejarah, bahasa Melayu adalah bahasa pertuturan golongan kelas paling bawah sekali dalam masyarakat.

Namun, lihatlah, bagaimana Islam mengangkat martabat bahasa Melayu, sehingga sewaktu zaman kegemilangan Melayu Melaka, bahasa ini menjadi lingua franca, menjadi bahasa pertuturan pedagang-pedagang dari seluruh dunia. Bangsa yang dahulunya lemah dan hina, terangkat kedudukan dan kemuliaannya kerana Islam.

Hari ini, melihatkan keadaan umat Islam, khususnya bangsa Melayu di Malaysia, kita sendiri kadang-kadang ragu dan malu untuk mengaku sebagai seorang Melayu. Hakikatnya, bangsa Melayu ini, jika diteliti sejarahnya merupakan bangsa yang hebat. Bangsa pilihan Allah dalam mengembangkan Islam di Kepulauan Melayu. Sama halnya seperti Allah mengangkat bangsa Arab sebagai bangsa tonggak yang menegakkan Islam di Tanah Arab. Kitalah bangsa yang pernah mulia kerana Islam.


Lihat sahaja Melaka ketika itu sudah berperang menggunakan gajah, dan sudah terdapat bangunan 2 tingkat tika itu


Bila disebut kerajaan Melayu Melaka, bukanlah sebesar Melaka yang kita lihat hari ini. Kerajaan Melaka ketika itu merangkumi Kelantan, Perak, sehinggalah ke Johor di bahagian Selatan. Malah, sewaktu Portugis membakar Kota Melaka, dikatakan kebakaran memakan masa berhari-hari. Bayangkan betapa besarnya kerajaan Melaka ketika itu. Kerajaan yang hebat, bangsa yang dimuliakan Allah dengan Islam dan kemajuan dalam bidang perdagangan.

Tentera Portugis batalion askar yang sangat besar, dan menyerang sebanyak 3 kali menandakan kubu Melaka bukan sembarangan. Terdapat kubah menandakan Melaka di bawah naungan empayar Islam tika itu

Kebakaran yang dialami Melaka akibat serangan bertubi-tubi oleh Portugis. Dikatakan tempoh kebakaran seminggu atau lebih.

Inilah sejarah yang telah kita lupakan. Sejarah yang ditutup, agar kita sendiri merasa malu dengan bangsa kita. Agar kita merasa rendah diri, dan tak berkemampuan untuk membangunkan kembali Islam di Tanah air kita.

Bagaimana kemuliaan kita dapat dikembalikan?

Langkah pertama yang harus kita susun dalam agenda memperbaiki keadaan umat Islam dan bangsa kita hari ini adalah, dengan kembali kepada Allah SWT.

“Sesiapa yang mahukan kemuliaan (maka hendaklah ia berusaha mencarinya dengan jalan mematuhi perintah Allah), kerana bagi Allah jualah segala kemuliaan. Kepada Allah lah naiknya segala perkataan yang baik (yang menegaskan iman dan tauhid, untuk dimasukkan ke dalam kira-kira balasan), dan amal yang soleh pula di angkatnya naik (sebagai amal yang makbul – yang memberi kemuliaan kepada yang melakukannya). Dan sebaliknya: orang-orang yang merancangkan kejahatan (untuk mendapat kemuliaan), adalah bagi mereka azab seksa yang berat; dan rancangan jahat mereka (kalau berkesan) akan rosak binasa.” (surah al-Faatir:10)

Kita sedar bahawa agama ini adalah agama yang benar di sisi Allah SWT. Kita juga sedar bahawa kitalah umat yang paling agung. Maka, apa yang harus kita lakukan agar kemuliaan ini kembali kepada kaum Muslimin? Bagaimana kemuliaan ini dapat kembali kepada bangsa Melayu Islam di Malaysia?

Yakinlah bahawa rezeki dan ajal kita semuanya berasa di tangan Allah SWT. Allah juga takkan mengubah nasib kita, melainkan apabila kita semua mengubah diri kita, menuju redhaNya.

Beberapa orang telah pergi menemui seorang isteri yang telah ditinggalkan oleh suaminya yang pergi berjihad di jalan Allah. Mereka berkata kepada perempuan tersebut, “Katakanlah kepada Saidina Umar agar dia tidak mengirim suamimu keluar berjihad. Dari mana kamu mahu mencari sumber untuk member makan anak-anakmu?” Maka, jawab si perempuan tersebut, “Aku tahu bahawa suamiku adalah orang yang biasa makan. Tetapi aku tidak mengetahui dia sebagai pemberi rezeki. Jika orang yang biasa makan pergi, tetapi Sang Pemberi Rezeki masih ada, lalu apa masalahnya?”

Kemuliaan itu pernah menjadi milik kita. Dan ia pasti akan kembali menjadi milik kita suatu hari nanti. Kita bukan bangsa yang malas, bukan bangsa yang layu, bukan bangsa yang mundur. Kita bangsa pilihan Allah yang akan menegakkan kembali Islam di Malaysia dan Kepulauan Melayu. Sama-sama kita usahakan, agar impian ini menjadi kenyataan.

Jom sertai~

Semoga kita dapat memupuk rasa izzah terhadap Islam dan Melayu.

Ya Allah, muliakanlah kami dengan Islam dan muliakanlah Islam dengan adanya kami.

Wednesday, January 12, 2011

nota cinta

Dakwah itu adalah nafas kehidupan. Manakala tarbiyah pula adalah sendi perjuangan. Dakwah adalah cinta dan memang seperti itulah hakikat dakwah. Cinta akan meminta semua dari diri kita; fikiran,perhatian,berjalan,duduk dan tidur kita. Imam Hassan Al-Banna

Dakwah itu cinta
Dakwah itu cinta. Cinta yang akan menuntut segalanya dari kita. Itulah fitrah dan sunnatullahnya. Baik buruk Islam dan dakwah ini, kita cerminannya. Itu yang paling ditakuti. Takut buruk kita, tempiasnya terkena pada Islam dan dakwah ini.

Peringatan ini untuk diri sendiri. Minggu depan bermulalah minggu peperiksaan.
Cintakan Islam dan dakwah? Berusahalah wahai diri...
Semoga Islam dan dakwah ini tidak terfitnah oleh diri dan sikapmu..


Wednesday, January 5, 2011

sahabat datang dan pergi..

Assalamualaikum wbt..

Selamat Tahun Baru..あけましておめでとうございます!!
Baru 2 hari menjejakkan kaki semula ke bumi Jepun. Buat semua yang terlibat dalam jaulah kali ini, ribuan terima kasih diucapkan atas segala kerjasama dan tolak ansur yang diberikan. Kenangan indah bersama kamu semua sentiasa mekar di hati. Semoga ukhwah antara kita, sentiasa dalam rahmatNya.

Sekarang, tiba masa untuk kita muhasabah kembali, seminggu yang telah berlalu. Seminggu yang telah kita habiskan di sana.

Tercapaikah segala matlamat yang telah kita tetapkan?
Penat lelah, suka duka, wang ringgit yang dilaburkan, berbaloikah?
Apa pula perancangan kita untuk memperbaiki diri?

Semoga trip kali ini menghadiahkan kita seribu satu pengajaran, yang akan membantu kita untuk sama-sama berusaha menuju redhaNya. Pengalaman yang tidak boleh dijual beli atau dipindah milik, setinggi-tinggi kesyukuran kepadaNya yang menganugerahkan kita dengan Islam. Pertama kali bersua, terasa seakan sudah kenal lama. Cuaca serendah -15 darjah celcius, kita tetap selamba menikmati keindahan alam ciptaanNya. Tanpa ilmu yang cukup, kita masih berani meluncur ski. Biasiswa yang banyak, kita mampu berbelanja lebih untuk sahabat dan keluarga.

Betapa banyak nikmat yang dikurniakan kepada kita, berapa banyak pula kesyukuran kita padaNya?

Semoga pengalaman seminggu di sana, memberi kita kekuatan dan semangat baru untuk menjadi hamba yang lebih baik kepada Tuhannya.

Minna, aishiteru fillah~




^melihat SATU kepada banyak, melihat banyak kepada SATU^

Wednesday, December 1, 2010

Tersentap di pagi hari..

Ini cerita hujung minggu lalu. Baru berkesempatan untuk menulis pada hari ini.
Dalam kesibukan menyiapkan seizu, curi masa sebentar untuk berkongsi dengan pembaca.

Hujung minggu lalu saya dikunjungi oleh beberapa orang teman, jauh dan dekat. Perbualan kosong kami pagi itu entah bagaimana boleh berkisar tentang sebuah hadith.

Dan daripada Wabisoh ibni Ma’bad r.a. beliau berkata: Aku telah menemui Rasulullah SAW lalu baginda bersabda: Engkau datang mahu bertanya tentang kebajikan? Aku berkata: Ya. Baginda bersabda: Mintalah fatwa dari hatimu. Kebajikan itu ialah suatu perkara yang diri dan hati merasa tenang tenteram terhadapnya,dan dosa itu ialah suatu perkara yang tergetar dalam dirimu dan teragak-agak di hati, sekalipun ada orang yang memberikan fatwa kepadamu dan mereka memberikan fatwa kepadamu.(Hadis Hasan riwayat Imam Ahmad dan Ad-Darimi dengan sanad yang baik)

"Macam mana nak bezakan antara was-was dan rasa tak tenteram dalam hati?"
"Ulama' kata, was-was tu datangnya dari syaitan. Kene cuci hati dulu untuk hilangkan was-was."

Kata-kata yang memberi kesan mendalam pada saya. Sentiasa terngiang-ngiang di telinga dan bermain dalam fikiran. Rupanya, bukan sebarangan hati boleh memberi fatwa atau petunjuk kepada diri. Hanya hati yang suci, mampu membolehkan kita atau memberikan kita keputusan sama ada sesuatu perkara itu baik atau sebaliknya.

Maka, mari sama-sama kita muhasabah kembali. Bila kali terakhir kita cuci hati kita?
Agak-agak hati kita, bagaimana keadaannya sekarang?

Dosa-dosa kita sewaktu bergaul seharian dengan teman-teman dan masyarakat.
Dosa membuang masa dengan sia-sia.
Dosa bercakap perkara-perkara lagho.
Dosa solat di akhir waktu.
Dan macam-macam lagi. Sudahkah kita pinta ampunan dariNya?
*Peringatan : Taubat bukan untuk penzina dan peminum arak sahaja.

Bila kali terakhir kita bercakap dengan Allah?
Bila kali terakhir kita solat dengan sebenar-benar solat?
Bila kali terakhir air mata kita bergenang membaca ayat-ayat Allah?
Bila kali terakhir kita menangis sewaktu berdoa kepadaNya?
Bila kali terakhir kita rasa diri kita hamba yang sangat perlu kepadaNya?




Ya Allah, terima kasih atas peringatan ini.
Semoga aku, ibu bapaku, dan insan-insan yang aku kasihi sentiasa dalam jagaanMu..
Golongkanlah kami dalam golongan insan-insan yang Engkau kasihi...
Amin...


Baca link untuk huraian lanjut berkenaan hadith di atas.

Thursday, November 25, 2010

konokokoro dan facebook

Assalamualaikum...

Minggu ni cuti dan saya bertapa meluangkan masa bersama sahabat-sahabat yang dekat tapi jauh di sini. Semoga Allah sentiasa memelihara ukhwah kami dan semoga kami sentiasa mensyukuri nikmatnya mengurniakan kami sahabat-sahabat yang menyenangkan hati.

Alhamdulillah...konokokoro dah ada facebook. Padam mulanya saya memang bertegas untuk tidak mempunyai facebook kerana beberapa ketakutan.

1. Masa
2. Pergaulan
3. Teknologi

3 perkara ini yang menjadikan saya takut untuk mendekati fb ini. Sebagai manusia biasa, terus terang, pengurusan masa saya tidaklah sebaik mana, maka masa yang ada sepatutnya dimanfaatkan kepada perkara yang lebih berfaedah menjadikan saya takut untuk mendekati fb yang dikatakan berjaya mencuri banyak masa rakan-rakan saya yang bergelumang dengannya. Pergaulan juga begitu. Fb seakan membuka pintu kepada fitnah yang lebih besar. Berkenaan dengan teknologi pula, saya memang tidak mahir bab ini, orang cakap orang yang tidak berilmu, lebih mudah untuk diperdayakan. Makanya, saya langsung tidak berminat dan menutup pintu hati terhadap fb sehinggalah satu saat, seseorang menyedarkan saya dengan sebuah hadith.

Hadis Ibn Umar R.A, "Seorang mukmin yang bergaul dengan orang ramai dan bersabar di atas kesakitan yang timbul akibat pergaulan itu, adalah lebih baik daripada mukmin yang tidak bercampur dengan orang ramai dan tidak sabar di atas kesakitan akibat pergaulan itu"
(Al-tirmizi 2507, Ibn Majah 4032)
Tak dinafikan, fb merupakan satu lagi lorong yang jika dimanfaatkan sebaiknya mampu menyumbang kepada perkembangan dakwah Islam itu sendiri. Dan pasti bersabar dengan kesakitan dan teguran akibat percampuran itu lebih baik dan akan membuatkan kita lebih kebal dan kuat menjaga diri. Maka, setelah berfikir panjang, saya pun telah membuat 1 akaun fb. Kepada rakan-rakan di luar sana, add la saya =). Semoga dapat mengeratkan lagi ikatan hati antara kita. Tapi maaf andai ada komen-komen dan sebagainya yang saya tak reply, sebab saya memang kurang bab teknologi. Dekat mana wall saya pun saya tak tahu sehingga diberitahu. Saya hanya diajar untuk post status sahaja oleh teman serumah saya. Mungkin cukup sekadar itu kot yang perlu saya tahu setakat ini. InsyaAllah, ada masa nanti saya teroka lagi lorong mana yang baik untuk dimanfaatkan di sini. =)


Sekali lagi peringatan untuk diri sendiri,

"Sesuatu yang kecil boleh menjadi BESAR sebab niat, sesuatu yang BESAR boleh menjadi kecil sebab niat."

"Melihat SATU kepada banyak, melihat banyak kepada SATU"

Wednesday, November 17, 2010

Rayaku di perantauan

Eido mubarak minna~

Alhamdulillah, kali ni Allah bagi peluang untuk menyambut raya di Jepun. Tambahan pula kelas tiada pada hari ini. Maka seusai solat subuh, dengan cuaca yang sejuk 7 darjah Celcius, saya tunaikan mandi sunat hari raya Aidiladha. Setelah itu, siap-siap, bersarapan sedikit dan bergerak ke Masjid Otsuka yang terletak berhampiran rumah saya(15minit menaiki train).

Sewaktu sampai di train station yang terletaknya masjid tersebut, kelihatan ramai yang berkopiah menuju ke arah train station, menandakan solat sunat hari Raya telah selesai ditunaikan dan mereka perlu bergegas ke tempat kerja masing-masing memandangkan hari ini adalah hari bekerja. Mujur juga hari ini hujan, maka saya dan sahabat pun menyorokkan muka kami dengan payung, menundukkan pandangan dari eye contact dengan orang-orang masjid yang telah selesai bersolat. Kami nekad untuk tetap ke masjid, biarpun solat sudah selesai ditunaikan.

Sesampainya di sana, kelihatan orang ramai beratur panjang menghala ke masjid. Saya dan sahabat pun seakan-akan hairan. Di hujungnya kelihatan gerai-gerai kebab, choco banana, gula-gula dan lain-lain dijual. Maka, kami pun menganggap "diorang ni beratur untuk jamuan makan kot...sebab dah habis solat kan..."

Orang beratur membeli kebab setelah round ke2 solat

Namun, setibanya dihadapan pintu masjid, rupa-rupanya barisan panjang itu adalah barisan orang yang mengambil giliran untuk menunaikan solat sunat Aidiladha. Disebabkan ruang masjid yang sempit, solat terpaksa diadakan banyak kali dan para jemaah terpaksa menunggu giliran untuk bersolat.

Sugoi!!MasyaAllah, ramai rupanya umat Islam di bumi Jepun ini. Ramai rupanya yang nak bersolat jemaah di masjid, biar terpaksa beratur dalam hujan pun. Saya seakan-akan terlihat sinar kebangkitan Islam semula. Biar bermacam masalah yang melanda umat hari ini, selagi masih ada golongan yang mahukan Islam, komited dalam beramal dengan Islam, insyaAllah cita-cita menjadikan Islam itu ustaziyatul alam akan tercapai jua satu hari nanti.

Ramainya para pemuda ni, sampai kami tiada ruang untuk masuk ke ruangan solat wanita. Dengan keadaan teragak-agak nak masuk, sahabat saya bertanyakan seorang perempuan di gerai di luar masjid, (dialog dalam bahasa jepun tapi sudah dialih bahasa)

"Boleh masuk ke ni? Macam mana nak masuk?"
"Boleh, awak cakap je, tumpang lalu..."

Maka, kami pun meredah mereka. Satu lagi keindahan Islam yang menakjubkan saya. Para pemuda tersebut memberi laluan kepada kami. Malah ada pakcik(bangsa ape tak tau) yang tolong cakap kat pemuda-pemuda yang berasak-asak untuk keluar dan masuk masjid,

"Brothers, make way please...let the ladies first..."

Tapi ada juga yang tidak mendengar, atau mungkin mereka sedang mencari-cari kasut di hadapan masjid sebelum memberi laluan kepada kami. Laluan sedikit terbuka, tapi memang tak boleh mencelah masuk ke ruangan wanita tanpa bersentuhan dengan mereka. Sekali lagi pakcik tersebut mendepakan tangannya dan menolak brothers yang menghalang laluan kami, dan memberikan laluan yang agak luas untuk kami lalu.

Subhanallah~!!Indahkan Islam mengajar umatnya untuk memelihara dan menghormati para wanita. Hampir menitis air mata saya mengenangkan pakcik tersebut dan betapa bertuahnya saya memeluk Islam. Ya Allah tetapkan hatiku untuk terus bersama dan izzah dengan agamaMu.

Setelah itu kami ke Malaysian Embassy untuk makan besar bersama rakan-rakan Malaysia di sekitar tokyo.

Comel kan baby ni? Macam astronaut bile pakai baju sejuk (anak nihonjin muslim)
Jumpe di masjid Otsuka



p/s : saya kehilangan handphone sewaktu di Embassy. Sesiapa yang berhajat untuk menghubungi saya boleh berhubung melalui housemate saya buat masa ini.

Sunday, November 14, 2010

Trip ke Korea, Winter 2010(kepada yang berkenaan)

Ketua : Farah Liana bt Mohd Redzuan

Bendahari : Nafisah bt Hamidon

Pendahuluan

Alhamdulillah, setelah di shortlisted, kita seramai 11 orang akan bersama-sama ke trip menziarahi bumi Korea pada winter kali ini. Segala maklumat tentang lawatan kita kali ini adalah seperti yang tertera di bawah. Namun ini semua hanyalah sekadar perancangan kita, manusia yang hakikatnya lemah dalam merancang, yang pandangannya tak mampu untuk melihat masa depan. Mungkin berlaku perubahan dari semasa ke semasa, harap semua dapat berlapang dada dengan setiap perubahan. Apa yang utama adalah niat kita ke sana. Apa yang ingin kita capai dengan ke sana. Kita berhabis duit, penat lagi, menahan cuaca sejuk, mungkin terpaksa berlapar, sakit hati dengan ahli rombongan, harap segalanya mendapat ganjaran di sisi Allah SWT, dan menambah keimanan kita kepadaNya.

Life is about making decision. Setiap kita akan mendapat apa yang kita niatkan. Setiap kita juga bertanggungjawab atas setiap jalan yang kita pilih dalam hidup ini. Segala yang diaturkan, perkara yang dilistkan sebagai perkara wajib dibuat, kepatuhan kepada ketua bergantung kepada diri kita sendiri untuk mematuhinya atau tidak. Tidak timbul isu paksaan di sini. Terpulang kepada anda semua untuk melaksanakannya atau tidak. Tapi kesatuan antara hati-hati kitalah yang akan menjayakan trip kali ini, dengan izinNya jua. Doa-doa kitalah akan menambah barakah terhadap lawatan kali ini. Kesabaran dan kerjasama antara kita jualah yang akan membuahkan kemanisan ukhwah di antara kita.

Semoga trip kali ini menjadikan kita lebih dekat denganNya, lebih ringan untuk patuh kepada suruhan dan laranganNya, lebih menghargai erti sebuah ukhwah dan persahabatan yang dijalin keranaNya.

Objektif

1. Menambah keimanan dengan melihat keindahan bumi sonata ciptaan Allah SWT

2. Merasai kemanisan ukhwah, membetulkan niat kita berhubungan kerana Allah SWT

Penginapan 28~29 Dec

JIN Guesthouse, seorang ±20000Won/per nite.

Penginapan 30Dec~3Jan

Rumah student Malaysia di Seoul.

Makan&Minum

Masak sendiri dan makan di restoran halal/restoran makanan Korea. Tertakluk kepada suara ramai.

(Pencarian makanan halal di Korea mungkin lebih susah dari Jepun, student Malaysia di sana suggest kita untuk masak sendiri, lagipun disediakan dapur di Guesthouse)

Kos

Segala perbelanjaan di sana, termasuk kos penginapan, transport, makan minum, shopping dan sebagainya adalah sebanyak ±350000Won=±25000Yen. Tertakluk kepada kadar penggunaan wang masing-masing.

Tentatif

28 Dec 2010

Ketibaan di bumi sonata lebih kurang pukul 1600petang waktu tempatan. Bergerak terus ke JIN Guesthouse. Perjalanan menaiki bas, mengambil masa lebih kurang 1jam 45 minit dari airport, dengan kos ±15000Won. InsyaAllah, bajet untuk sampai dan check in di Guesthouse, pukul 1800petang. Rehat, urusdiri dan lepak-lepak sehingga jam 2000malam.

Seterusnya kita akan ke bandar Myeongdong. Terletak 1 stesen dari Guesthouse. Tempat menarik untuk aktiviti membeli-belah aka shopping.

29 Dec 2010

Untuk perjalanan hari kedua, waktu tak dapat nak diperincikan, terpulang bagaimana kita di sana nanti. Namun, tempat-tempat yang di plan untuk dikunjungi adalah:

1. Namdaemun

Tempat shopping yang murah dan berpatutan untuk barang-barang seperti brooch dan omiyage. Ala-ala Pasar Siti Khadijah di TerengganuKelantan, ataupun Ueno di Tokyo. =)

2. Ittaewon

Ini pun tempat shopping juga. Mari melabur lagi di sini. =) Di Bandar ini juga terdapat restoran makanan halal. Bajet untuk solat zuhur dan asar di sini sambil menikmati makanan halal setelah penat shopping.

3. 63 Building

Kalau siapa yang biasa tengok drama Korea, bangunan ni banyak dipopularkan, dikatakan sangat cantik pemandangan waktu malam dari atasnya. Maka, kita juga insyaAllah, tidak akan ketinggalan untuk melihat keindahan bumi sonata dari tingkat 63 bangunan ini nanti.

4. Han River

Menikmati pemandangan malam yang cantik di Sungai Han. Kalau berpeluang mungkin kita akan menaiki cruise merentasi sungai ini.

30 Dec 2010

Hari ini dikhususkan untuk aktiviti bermain salji. Kita akan bertolak ke kawasan bersalji untuk sama-sama mencuba sukan-sukan yang melibatkan salji seperti ski, snowboard dan lain-lain. Setakat ni masih tak jumpa lagi kawasan yang berdekatan dengan Seoul. Kebanyakan tempat-tempat bersalji yang menarik terletak di utara Korea Selatan, dan perjalanan ke sana mengambil masa yang agak lama. Mungkin seperti kita mahu ke Hokkaido. Tapi ada juga yang berhampiran(2 jam lebih dari Seoul). Kalau sesiapa ada info tempat menarik untuk kita bermain salji, sila maklumkan ye.

Pagi sebelum bertolak kita akan check out dari Guest House, tempatkan segala barang di rumah student Malaysia dahulu sebelum bertolak ke tempat Ski. Perjalanan mungkin panjang, dan kita akan menghabiskan keseluruhan hari di sana sebelum pulang semula ke rumah student Malaysia pada malam tersebut. Bermain dengan salji akan membasahkan pakaian kita. Maka, harap semua bersedia dengan sebuah beg kecil selain beg besar kita untuk memudahkan kita membawa pakaian persalinan.

Kos juga bergantung kepada tempat ski yang ingin dikunjungi. Akan dimaklumkan kemudian.

31 Dec 2010

Badan dah penat. Duit pun dah habis membeli-belah. Maka hari ini kita akan berjalan melihat keindahan alam di Pulau Nami(Nami Island). Pulau yang cantik terletak berhampiran Seoul. Dipopularkan oleh cerita Winter Sonata. Hari ini kita akan bergambar kenangan sepuas-puasnya di sini.

Malamnya kita akan bergerak ke Camp Site, untuk join program winter gathering student Malaysia di Korea. Beramah mesra dan menambah kenalan. Mana tahu lepas ni kita akan ke sini lagi kan?

1 Jan 2010

Berprogram bersama student Malaysia Korea sepanjang hari. Program indoor dan outdoor. Main salji dengar talk dan sebagainya.

2 Jan 2010

Bertolak pulang ke rumah student Malaysia dan bersiap-siap untuk ke destinasi terakhir. Kita akan menaiki Korea Tower, bershopping kali terakhir di kawasan sekitarnya. Dinner terakhir dengan masakan Korea.

3 Jan 2010

Pulang ke nihon.

Perkara Wajib dibuat

Sebelum Terbang ke Korea

1. Mulai hari ini, berdoa agar Allah selamatkan perjalanan pergi dan balik kita. Semoga diberkati permusafiran kita, dirahmati ukhwah di antara kita.

2. Pagi sebelum bertolak, solat sunat musafir 2 rakaat di rumah masing-masing.

3. Flight kita semua adalah selepas masuknya waktu Zuhur, maka harap semua dapat tunaikan solat Jamak takdim, qasar sewaktu di Narita/Osaka airport.

4. Sebelum bertolak, pastikan niat kita ke Korea adalah seperti yang tertera di objektif. InsyaAllah kita akan dapat apa yang kita niatkan. Harap perjalanan kita tidak menjadi sia-sia tanpa pahala disisiNya.

5. Sebab kita bertolak secara berasingan, berlainan airport dan sebagainya, harap di setiap airport sebelum bertolak dilantik seorang yang akan mengetuai bacaan doa untuk musafir, sebelum menaik kapal terbang.

Sewaktu di Korea

1. Setiap solat fardhu dilaksanakan secara berjemaah, kecuali ada kesulitan tertentu(solat di tempat umum, laluan orang ramai yang sempit) yang tidak membolehkan kita untuk berjemaah.

2. Membaca al-Ma’thurat secara berjemaah selepas solat subuh.

3. Menjaga niat kita ke sana dan bersabar dengan sebarang kesulitan.

4. Patuh pada setiap arahan ketua.

Selepas Pulang dari Korea

1. Solat sunat syukur 2 rakaat kerana selamat tiba.

2. Muhasabah kembali segala yang telah kita lalui,adakah kita mencapai objektif ke sana ataupun tidak. Perbaiki segala kelemahan diri.

注意事項

1. Kita akan ke sana sewaktu winter, maka siang akan menjadi lebih pendek daripada malam. Cuaca sejuk, masa mungkin sangat padat, harap semua dapat all out untuk menjayakan trip kali ini. =)

2. Kita pergi secara berkumpulan, ada 11 kepala di sini, maka ada 11 ragam juga. Ada yang shopping brooch 5 minit, ada juga yang memilih brooch sampai 2 jam lamanya. Harap semua dapat bertolak ansur antara satu sama lain dan patuh pada arahan ketua.

3. Ini sekadar perancangan awal. Jadual mungkin berubah bergantung kepada keadaan kita dan pengurusan masa kita di sana.

4. Sebarang ketidakpuashatian, bolehlah dirujuk terus kepada ketua.

Lain-lain

Lain-lain perkara bilangan baju yang perlu dibawa, bekalan makanan, pembahagian tugas memasak dan sebagainya akan diupdate dari semasa ke semasa.

Wallahu'alam.


Yang menjalankan tugas,

Dzulaikha Mat Zaini

AJK Penyiaran dan perhubungan