Saturday, June 12, 2010

Langit tak selalu cerah....

Hidup tidak selalunya indah...
Langit tak selalu cerah...

Usah mengharapkan kesenangan..
Dalam perjuangan perlu pengorbanan...

"Lebih baik belajar menerima takdir daripada menyesali apa yang telah berlaku.."

Teruskan langkah kakimu..

Demi waktu dhuha.
Dan demi malam apabila telah sunyi
Tuhanmu tidak meninggalkanmu, dan tidak pula membencimu
dan sungguh yang kemudian itu lebih baik bagimu daripada yang permulaan.
Dan sungguh, kelak Tuhanmu pasti memberikan kurniaNya kepadamu, sehingga engkau menjadi puas.
Bukankah Dia mendapatimu sebagai seorang yatim, lalu Dia melindungimu.
Dan Dia mendapatimu sebagai seorang yang bingung, lalu Dia memberikan petunjuk.
Dan Dia mendapatimu sebagai seorang yang kekurangan, lalu Dia memberikan kecukupan.
Maka terhadap anak yatim janganlah engkau berlaku sewenang-wenang.
Dan terhadap orang yang meminta-minta, janganlah engkau mengherdiknya.
Dan terhadap nikmat Tuhanmu, hendaklah engkau nyatakan dengan bersyukur.
(ad-Duha : 1~11)






Dalam sukar hitunglah kesyukuranmu...
Dalam senang awasi kealpaanmu...
Setitis derita melanda...
Segunung kurniaanNya...

Daripada Abu Said al-Khudri r.a. dan Abu Hurairah r.a., Nabi SAW bersabda:"Tidak menimpa seorang Mukmin suatu penyakit yang berpanjangan, kepayahan, sebarang jenis kesakitan, dan kesedihan malahan kedukacitaan, melainkan dihapuskan sebahagian dosa-dosanya." (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Daripada Abu Hurairah r.a., Nabi SAW bersabda:"Siapa yang Allah kehendaki kepadanya kebaikan, nescaya Allah mengujinya." (Riwayat al-Bukhari)

Yeay~
Allah sayang Dzulaikha.
Tuhanmu tidak meninggalkanmu, dan tidak pula membencimu
dan sungguh yang kemudian itu lebih baik bagimu daripada yang permulaan.
Dan sungguh, kelak Tuhanmu pasti memberikan kurniaNya kepadamu, sehingga engkau menjadi puas.
you just have to believe!!



~melihat SATU kepada banyak, melihat banyak kepada SATU~

Wednesday, June 2, 2010

sudah sampaikah berita tentang itu?

Sudahkah sampai kepadamu berita tentang hari kiamat?

Pada hari itu banyak wajah yang tertunduk terhina.

Kerana bekerja keras lagi kepayahan

Mereka memasuki neraka yang sangat panas.

Tidak ada makanan bagi mereka selain dari pohon yang berduri,

yang tidak menggemukkan dan tidak menghilangkan lapar.

pada hari itu banyak pula wajah yang berseri-seri,

merasa senang kerana usahanya sendiri,

mereka dalam syurga yang tinggi,

di sana kamu tidak mendengar perkataan yang tidak berguna.

Di sana ada mata air yang mengalir.

Di sana ada dipan-dipan yang ditinggikan,

dan gelas-gelas yang tersedia,

dan permaidani-permaidani yang terhampar.

Maka tidakkah mereka memerhatikan unta, bagaimana diciptakan?

Dan langit, bagaimana ditinggikan?

Dan gunung-gunung bagaimana ditegakkan?

Dan bumi bagaimana dihamparkan?

Maka berilah peringatan, kerana sesungguhnya engkau hanyalah pemberi peringatan,

Engkau bukanlah orang yang berkuasa atas mereka,

kecuali orang yang kafir dan berpaling

maka Allah akan mengazabnya dengan azab yang besar.

Sungguh, kepada kamilah mereka kembali,

kemudian sesungguhnya Kamilah membuat perhitungan atas mereka.

(Surah al-Ghashiyah : 1-26)

Monday, May 10, 2010

warkah untukmu sahabat

Assalamualaikum...
Terlalu lama rasanya tidak mencoret sesuatu di sini...
Tak kusangka kehidupan di sini sesibuk ini...
Tiada lagi teman2 untuk dibawa berbincang tentang homework yang susah...
Tiada lagi sensei2 yang bersedia untuk mengajar berulang kali perkara yang tidak difahami...
Tiada lagi tempat untuk bergantung dan mengadu masalah...

Kini aku dan kamu, hanya ada Dia...
Dia yang sentiasa di sisi, sentiasa di hati juga insyaAllah...
Kehidupan ini banyak mengajar...
Hanya Dia tempat bergantung yang sebenar-benarNya...

Ya Allah, kusyukuri kesusahan ini...
Hanya kepadaMu jua aku berharap dan memohon pertolongan...

Ya Allah, aku mohon Kau pelihara iman di hati ini, jua hati mereka...
Ya Allah, aku mohon Kau pelihara ukhwah kami, walau badai melanda...

Sahabat, aku rindu kamu...
Sahabat, tiada yang paling indah dalam hidup ini, selain kasih dan doamu untukku...
Sahabat, hanya ini yang mampu aku titipkan, buat bekalan kita semua...
bekalan mengharungi kehidupan penuh cabaran ini...




Sahabat, aishiteru fillah...



~melihat SATU kepada banyak, melihat banyak kepada SATU~

Sunday, April 25, 2010

dulu dan kini...

Dulu....

Ni meja study masa kat JAD. Dahsyatkan penangan kimatsu shiken(final exam). Kenangan terakhir sebelum ke nihon.


Ni pulak katil n bantal peluk kesayangan. Juga kenangan terakhir sewaktu kimatsu shiken. Tak cukup meja, atas katil pun penuh dengan nota-nota.

Rindunya kesibukan tu. Rindu meja dan katil di tbp. Kouhai tachi, hargailah nikmat tu.

Kini segalanya berubah...

Ni ruang study di bilik saya yang baru.

Percaya tak? Setiap malam tidur atas karpet sebelah meja ni je. Katil dah takde.

Ni pulak penjuru lain bilik.

Bilik ni ada koridor, tempat sidai baju.

Ni pulak pemandangan luar dari koridor bilik. Ni jalan nak pergi eki(train station). Setiap hari lalu jalan ni untuk ke universiti.


Kalau tengok bawah, ade jalan raya.

Tapi yang paling cantik, bunga ni kan. Sebab ni Allah yang ciptakan.

Hari ni cerah, jadi rasa bersemangat untuk tangkap gambar. Lagipun keseorangan di rumah, jadi rindu pada suasana di JAD dulu. Rindu tbp. Rindu Malaysia. Tapi, ni jalan yang Allah dah tetapkan untuk saya. Harus harunginya jua, walau sesukar mana pun ia.

Semoga di ruangan ini, saya mencipta kenangan baru. Semoga ruangan ini pula menjadi saksi hari-hari saya di sini.

Ya Allah,
permudahkanlah urusanku di sini...
tabahkan hatiku untuk melalui hari-hari penuh cabaran di sini...
teguhkan iman di hatiku, agar aku tidak terpedaya dengan kemaksiatan di sini...
peliharalah hati ini agar terus berusaha mencari redhaMu...


"Melihat SATU kepada banyak, melihat banyak kepada SATU"

Saturday, April 17, 2010

Semoga semangatmu terus subur dalam hati kami...

Pada 17 April 2004 pulanglah seorang syahid menemui Kekasih yang didambakan. Satu tribute untuk as-Syahid Dr Abdul Aziz Rantisi

Kita sering tercari-cari siapakah di kalangan manusia pada hari ini yang pantas dijadikan contoh ikutan dalam perjuangan menegakkan kalimah al-Haq. Kita mahu mencontohi beliau baik dari sisi istiqamahnya, baik dari segi tsabatnya, baik dari segi jihad, kesungguhan dan pengorbanannya.

Nah! Salah seorang dari insan yang pernah memiliki sifat-sifat ini ialah as-Syahid Dr Abdul Aziz Rantisi. Pada hari ini, 17 April 2010 genaplah enam tahun as-Syahid meninggalkan kita semua. Beliau dibedil oleh helikopter Apache Zionis Israel dengan peluru berpandu Hellfire yang juga telah mengambil nyawa as-Syahid Syeikh Ahmad Yassin dua puluh enam hari lebih awal.


Sebelum kakinya melangkah keluar dari rumah kerana menziarahi keluarga selepas waktu Isya’, beliau dengan hati penuh harap berkata ‘Semoga Engkau masukkan kami ke dalam syurga mu Ya Allah. Inilah puncak harapanku..” Tidak beberapa langkah dia meninggalkan rumah, kedengaranlah bunyi ledakan. Ternyata helicopter Apache telah siap menunggu dan menganugerahkan apa yang didambakan oleh as-Syahid.


“Ia adalah kematian samada dengan pembunuhan atau barah. Tidak ada yang berubah samada dengan Apache atau sakit jantung. Dan aku memilih Apache..” Bukti bahawa as-Syahid gembira dengan anugerah ini tergambar dari senyuman yang menguntum dari bibirnya dan darah yang terus mengalir setelah 24 jam beliau syahid yang menghamburkan bau harum kasturi.

Semua yang hadir menziarahi jenazah as-syahid yang mulia melihat kebesaran Allah dan benarnya janji Allah dan Rasulnya. “Jangan kamu menyangka mereka yang mati syahid itu mati, bahkan mereka hidup dan diberi rezeki, hanya kamu tidak mengetahuinya.”

Pendirian As-Syahid Abdul Aziz Rantisi terhadap perjuangan, cintanya terhadap tanah-airnya bumi Palestin dan Baitul Maqdis yang suci telah sedia kita maklumi. Dia mengabdikan seluruh hidupnya untuk jihad dan untuk al-Quds.

Inilah yang digambarkan oleh isteri as-syahid Ummu Muhammad, beliau adalah gambaran ayat Allah ‘Sesungguhnya tidak dijadikan manusia dan jin melainkan untuk menyembah Dia.’ Sebagaimana juga as-Syahid syeikh Ahmad Yasin yang mendahului beliau, Israel tidak pernah merasa aman dengan beliau yang tidak pernah mengenal erti mengalah dan lemah. Tidak seperti pemimpin-pemimpin Palestin secular yang siap untuk menggadaikan prinsip dan tanah air atas nama rundingan damai, As-Syahid Abdul Aziz Rantisi tidak pernah berganjak dari keyakinan bahawa bumi Palestin tidak mungkin ditukar ganti dengan apapun.

Pilihan yang ada pada Israel hanya satu iaitu keluar dari bumi Palestin yang mereka jajah dan kembalikan hak rakyat Palestin yang mereka rampas. Jika mereka gagal untuk melakukan ini maka bersedialah untuk berhadapan dengan api jihad yang akan terus bersemarak membakar jiwa-jiwa para mukmin sehingga akhir.

Hasrat Zionis untuk melihat lumpuhnya HAMAS dengan terbunuhnya dua pemimpin utama dalam selang 4 minggu meleset sama sekali. Bahkan kematian dua tokoh ini menyuburkan lagi jihad di bumi Palestin dan kini setelah enam tahun kedua mereka meninggalkan kita, Palestin terus berdiri teguh berhadapan dengan segala macam kekuatan yang ditalakan dunia ke atas mereka.

Bukan sahaja mereka diperangi oleh senjata-senjata terkini bahkan mereka dikepung dan di kelilingi oleh tembok-tembok kematian serta dikhianati pula oleh saudara-saudara seagama yang bersekongkol dengan musuh-musuh untuk mencengkam Gaza dan Tanah suci al-Quds. Inilah karamah yang terbit dari kehebatan as-syahid Syeikh Ahmad Yassin dan as-Syahid Dr Abdul Aziz Rantisi.

‘Di belakang seorang lelaki yang agung pastinya seorang wanita yang mulia’, demikianlah ungkapan yang disebut kepada isterinya Ummu Muhammad. Namun Ummu Muhammad segera menyanggah kata-kata ini. Sebaliknya beliau memuliakan ibu as-syahid yang mana di atas didikan kemuliaan dan kehebatan dari almarhumah ibunyalah lahir as-syahid Abdul Aziz Rantisi.

Beliau digambarkan oleh isterinya sebagai seorang suami, ayah dan datuk yang bukan sahaja melimpah dengan kasih-sayangnya terhadap isteri, anak-anak dan cucu-cucu bahkan kasih-sayang itu akan segera diluahkan sebaik sahaja ada ruang dan kesempatan. Bahkan ketika dikelilingi oleh tugasan yang banyak termasuk ketika melayan para tetamu dan wartawan beliau akan berhenti sebentar untuk menegur anak-anaknya dengan penuh kemesraan.

Lantaran itu tidak seorang pun dari anak-anaknya dan cucu-cucu (14 orang semuanya) yang tidak merasakan kemesraan ayah dan datuk mereka sehingga mereka semua bercita-cita untuk mengikuti jejak langkah as-syahid dalam perjuangan.

Kelembutan as-syahid terhadap keluarga digambarkan oleh Ummu Muhammad dalam satu pengalaman di mana beliau tersinggung peti televisyen sehingga pecah skrinnya. Beliau begitu bimbang kerana sekatan ekonomi tidak memungkinkan mereka menggantikan TV yang pecah itu. Tetapi as-Syahid yang melihat kebimbangan Ummu Muhammad telah memujuk beliau dan berkata “Qadarallah maa syafaa’a fa’al” (Setiap sesuatu itu ada tempoh akhirnya).

Semoga contoh-contoh kecil dari tokoh besar ini membekas di hati kita semua dan menjadikan kita berjiwa besar dan tidak terikat dengan dunia. Sesungguhnya membebaskan diri dari kesempitan dunia lah yang menjadikan seseorang itu mendambakan kehidupan akhirat yang kekal abadi.

Ketegasannya di dalam perjuangan tidak dipersoalkan. Sewaktu as-Syahid Abdul Aziz Rantisi diusir bersama 416 oarng pejuang oleh Israel di selatan Lubnan pada tahun 1992, beliau didatangi oleh seorang wartawan media barat mengajukan soalan ‘Kenapa HAMAS enggan iktiraf Israel’. Jawapan yang diberikan oleh as-Syahid Abdul Aziz Rantisi meninggalkan wartawan tersebut sendiri kebingungan. Israel yang mana? Israel 1948? Atau Israel 1967? Atau Israel 1981? Atau Israel 1993? Atau Israel 2000?

Hakikatnya Israel adalah entiti palsu yang tidak punya sebarang sempadan yang hakiki. Bagaimana mengiktiraf sebuah Negara haram yang tidak punya sebarang ketentuan sempadan kerana ia didirikan di atas Negara orang lain yang dirampok dan dirampas semaunya dan sekehendak hati mereka. Lantaran itu as-Syahid Abdul Aziz Rantisi berikrar “Israel tidak akan mengenal keamanan, kami akan memerangi mereka sehingga Palestin dibebaskan, dibebaskan seluruhnya.”

Inilah gambaran orang-orang beriman yang digambarkan oleh Allah SWT ‘…Mereka kasih kepada Allah dan Allah kasih kepada mereka, mereka berkasih sayang sesame mukmin (izillah alal mu’mimin) dan tegas terhadap golongan kafir (a’izatul alal kafirin), mereka berjihad pada jalan Allah dan tidak takut kepada celaan orang-orang yang mencela…”

As-syahid Abdul Aziz Rantisi dilahirkan pada 23 Oktober 1947 berhampiran Jaffa (Yaffa) dan syahid pada 17 April 2004.

Dr Hafidzi Mohd Noor

Ahli Lembaga Pengarah Aqsa Syarif

Friday, March 26, 2010

Jepun di mataku...

Alhamdulillah, selamat tiba di Narita Airport pukul 6.05pm waktu Jepun. Maka bermulalah kembara saya di bumi sakura. Pengembaraan mencari ilmu yang menuntut pelbagai pengorbanan. Terkenang kembali buku tulisan Ustaz Hasrizal, “Rindu Bau Pohon Tin” yang saya hadam seminggu sebelum bertolak ke sini. Hingga saat ini saya masih memikirkan berbaloikah pengorbanan ini?Sedangkan banyak keuntungan dan pastinya lebih mudah untuk belajar di negara sendiri bergaul, makan, hidup di tanah air sendiri.

Berkorban untuk tinggal berjauhan dengan keluarga.

Berkorban untuk belajar ilmu kejuruteraan menggunakan bahasa dan tulisan yang sangat asing.

Berkorban untuk tertinggal majlis-majlis perkahwinan adik-beradik dan saudara-mara.

Berkorban untuk meninggalkan makanan yang sedap-sedap di tanah air.

Berkorban untuk hidup di Negara asing yang tidak faham tentang Islam.

Berkorban meninggalkan zaman belajar universiti tempatan bersama-sama teman seperjuangan.

Akhirnya, saya menyimpulkan bahawa berbaloi atau tidaknya pengorbanan ini, segalanya bergantung kepada diri saya sendiri. Segalanya bergantung kepada bagaimana saya melalui kehidupan di sini, yang menjadikan segala yang saya korbankan ini, membuahkan pengajaran berguna untuk kehidupan dan masa depan saya sendiri.

Hari ini, saat artikel ini ditulis, merupakan hari ke-5 saya di sini. Terdapat beberapa pandangan tentang Jepun terbentang di mata saya. Segala imej yang saya bayangkan dahulu, lenyap entah kemana dan menimbulkan pelbagai imej baru di mata saya.

Sejuk

Ya, Jepun sangat sejuk rupanya. Sejuk yang tidak tergambar oleh saya sebelum ini. Selalunya di Malaysia, cuaca panas menyebabkan kita masuk ke bilik berair-cond, tetapi di sini, keluar sahaja bilik, terasa seakan ada air-cond besar yang sentiasa berangin, dengan suhu yang amat rendah. Serius sejuk. Subhanallah, ternyata air-cond yang Allah ciptakan ini maha hebat berbanding ciptaan manusia.

Menakutkan

Saat pertama kali dibawa keluar ke bandar oleh sempai tachi, saya dapat merasakan Jepun adalah sebuah negara yang menakutkan. Walaupun banyak yang mengatakan Jepun Negara yang selamat, dan saya juga yakin tentang itu, tetapi mungkin kerana kita merupakan warga asing di sini, terasa sangat takut. Takut sesat. Takut nak berhadapan dengan orang Jepun. Takut dengan pandangan pelik masyarakat sini. Takut dengan deretan makanan-makanan sedap yang tidak halal. Takut dengan waktu solat yang tidak seperti Malaysia. Takut dengan cuaca sejuk yang melahirkan malas dan macam-macam lagi.

Mudah

Walaubagaimanapun, hidup di Jepun mengajar saya 1 perkara. Yakni mengajar saya bahawa Islam itu mudah sebenarnya. Mampu diamalkan oleh semua peringkat. Tidak mustahil untuk diamalkan walau di mana jua kita berada. Saya belajar untuk mengurangkan was-was dalam wudhu’ dan solat apabila terpaksa mengambil wudhu’ dalam keadaan cuaca yang sejuk, juga belajar untuk yakin bersolat di mana jua kerana hakikatnya bumi Allah ini bersih.

Macam-macam

Macam-macam saya jumpa di sini. Macam-macam jenis orang, dengan bermacam-macam pula perangai dan peribadi. Macam-macam pula peraturan yang dibuat untuk kemudahan bersama. Macam-macam jenis makanan yang tidak lalu diterima oleh tekak ini. Terasa ingin pulang sahaja ke Malaysia apabila terpaksa berlapar kerana tidak dapat menerima dengan baik makanan-makanan di sini. Terkenang kembali dialog bersama teman-teman sebilik di sini,

“Kalau ada doraemon kan best. Boleh mintak pintu suka hati.”

“Haah la. Nak balik Malaysia. Tak kenyang makan kat sini…”

“huhu..tu la…kalau ada pintu suka hati boleh la kite balik selalu…”

“ok, nanti saya belikan doraemon, awak mintakkan pintu suka hati dekat dia ek…”

Maka, roommate lain pun menjerit, “dzu……….dia buat serius pulak…”

Sekadar lawak serius di malam hari yang menyembunyikan rasa hati yang rindukan tanah air. Rindu mak ayah, rindu teman-teman, rindu makanan, rindu cuaca, rindu toilet, rindu segalanya. Kesusahan di sini menjadikan saya membenarkan peribahasa, hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, lebih baik di negeri sendiri. Semoga pengembaraan ini mematangkan diri, melahirkan insan baru yang lebih matang, sabar dan berhati-hati dalam menjalani hidup penuh dugaan ini.

p/s : Doakan saya ye kawan-kawan. Doa kalian penguat semangat saya untuk terus bertahan dan bersabar dengan kehidupan di sini. Mohon sangat…

Tempat orientasi, tinggal di sini sehingga 31Mac ni InsyaAllah



Tuesday, March 2, 2010

tentang saya dan...

Maaflah kerana terlalu lama tidak mengupdate blog ini. Ingatkan minggu peperiksaan adalah minggu yang tersibuk, tapi nampaknya selepas peperiksaan lebih sibuk. Tambahan pula apabila berada di rumah sendiri bersama keluarga, komitmen dan tanggungjawab lebih besar berbanding di hostel menguruskan diri sendiri sahaja. Ala kulli hal, berikut adalah perkembangan terbaru saya untuk teman-teman yang sentiasa tertanya-tanya, bila lah budak ni nak fly.

Perkembangan Terbaru
InsyaAllah, saya dijangka akan bertolak ke jepun pada 21 Mac ini. Teringin sangat nak jumpa kawan-kawan lama sebelum fly, harapannya anda dapatlah menghubungi saya dalam masa terdekat ini untuk kita sama-sama spend masa. Maaf kerana tidak dapat menghubungi anda semua kerana saya kehilangan handphone baru-baru ini, makanya saya juga kehilangan nombor telefon rakan-rakan semua kecuali mereka yang masih setia menghubungi saya. Btw, weekend ni cadangannya nak overnite kat rumah nisa, sesiapa(x-schoolmates) yang nak join meh la. =)

Yang ini pula terbuka kepada rakan-rakan JAD yang berminat nak melawat Taiping, bandar bersejarah pada 13 & 14 Mac ini, dialu-alukan untuk bermalam di rumah saya. Penginapan percuma, cuma tambang sendiri-sendiri la ek. Banyak la juga tempat-tempat menarik di sini. Boleh naik Maxwell Hill, mandi air terjun belakang rumah saya, night SAFARI, bersiar-siar di tasik buatan tertua di Malaysia dan macam-macam lagi. InsyaAllah, tak rugi. Siapa yang berminat boleh hubungi saya terus.

Memasang Niat
Antara perkara terpenting sebelum kita melakukan sesuatu adalah memasang niat yang betul. Tiada siapa dapat menafikan hal ini, malah para ulama' juga sebelum menghasilkan karya-karya tertentu, banyak yang memulakannya dengan hadith niat. Rasulullah SAW bersabda,

“Segala amalan adalah berdasarkan niat. Setiap orang hanya mendapat apa yang diniatkan. Justeru, sesiapa yang penghijrahannya adalah menuju kepada Allah dan RasulNya, maka penghijrahannya adalah penghijrahan kepada Allah dan RasulNya. Sesiapa yang penghijrahannya kerana dunia yang bakal diperolehi atau kerana wanita yang bakal dikahwini maka penghijrahannya adalah penghijrahan menuju kepada apa yang dingininya”.Hadis Sahih Bukhari dan Muslim

Jadi, rasanya antara perkara terpenting yang perlu kita(rakan batch3) lakukan adalah menyenaraikan dan memasang niat yang betul untuk kita berhijrah ke Jepun. Umar Abd Aziz dikatakan tidak akan keluar rumah selagi tidak memasang 40 niat. Makanya, kita perlukan berapa niat untuk ke Jepun? Terpulang kepada diri sendiri. Sedikit, biar semuanya tertunai dengan sebaik mungkin. Banyak, biar menjadi pemangkin untuk kita terus berusaha dan tidak membazir masa sesuka hati di sana.

Kalau dilihat kembali hadith di atas, insyaAllah setiap daripada kita akan mendapatkan setiap perkara yang kita niatkan. Ada beberapa orang sempai yang berkongsi niat mereka sebelum ke Jepun.

Ada sempai yang berniat untuk bergerak aktif dalam bidang dakwah di sana, maka Allah permudahkan beliau dengan jadual kelas yang tidak banyak, juga subjek yang sedikit untuk grad.

Ada pula sempai yang berniat untuk belajar bersungguh-sungguh di jepun, maka Allah hadiahkan beliau lecturer yang kibishii(strict) dan jadual yang padat, exam yang susah.

Maka, pentingnya untuk kita memasang niat yang betul sebelum melangkah meninggalkan Malaysia kerana akan mempengaruhi kehidupan kita di sana nanti. Apapun cabarannya, sentiasa bersangka baik dengan Allah SWT atas setiap yang dihadiahkanNya dalam hidup kita. Penting juga untuk kita sentiasa memelihara niat kita untuk memastikan kita berada di trek yang betul.

Penutup
Saya tidak pasti adakah ini post terakhir sebelum fly ataupun tidak. Namun, di kesempatan ini saya ingin memohon maaf jika selama ini ada mengasari anda semua. Minta halalkan segala yang terlebih dan terkurang dari saya. Sesiapa yang saya masih berhutang dengannya mohon tuntutlah dari saya sebelum saya pergi. Mungkin ada yang terlepas pandang sebelum ini.

Hidup ini banyak dugaannya. Kita tidak dapat nak pastikan samada masa depan itu lebih baik atau tidak untuk kita semua. Saya mohon doa daripada semua agar diri ini tetap teguh di atas jalanNya. Tegurlah segala salah silap saya, dan tariklah saya kembali ke trek yang sebenar andai satu hari nanti saya terpesong dari jalanNya. Janganlah dipulaukan diri ini atau dibiarkan dalam kesesatan.

Akhir kata, hadam dan ambil pengajaranlah daripada cerpen ini. Semoga bermanfaat untuk kita semua.

Hasil tulisan saudara Hilal Asyraf(www.langitilahi.com). Terimalah A.I.E.